Kalau dah namanya anak saudara Tok Ti, mestilah bakat yang dimiliki pun ‘mengalir’ deras dalam diri remaja 14 tahun, Ummi Umairah.
Selepas membawa pulang pingat emas pada Kejuaraan Seni Persembahan Sedunia (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Julai 2024, Umairah menandatangani kontrak sebagai artis di bawah pengurusan syarikat milik ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, SN Legacy Sdn Bhd, pada 20 Januari.
Umairah, atau mesra disapa Umai, menjadi artis pertama di bawah SN Legacy Sdn Bhd, selepas syarikat berkenaan membuka cabang baru dengan memberi fokus kepada pengurusan artis.
Siti, 46 tahun, memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), dengan pembabitan Umai bersama syarikatnya, secara tidak langsung dirinya mampu memberi bimbingan secara profesional, selain memastikan Umai dapat menyambung legasi keluarga dalam bidang muzik.
“Saya harap dengan termeterai kontrak ini, syarikat saya dapat menjaga anak saudara saya ini dan memberi bimbingan dalam muzik secara profesional.
“Saya berharap Umai akan terus belajar untuk menjadi anak seni yang lebih cemerlang. Mungkin lebih baik daripada saya, suatu hari nanti.
“Saya lihat Umai sebagai salah seorang penyambung legasi dalam keluarga,” kata Siti pada sidang media sempena meraikan Umai sebagai artis di bawah SN Legacy Sdn Bhd di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
Dengan kontrak yang ditandatangani, Umai akan berada di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd selama lima tahun mulai 1 Januari 2025.
Sementara itu, Umai berharap peluang diberi mampu membentuk dirinya menjadi anak seni lebih berjaya.
“Saya bersyukur kerana dapat peluang bernaung di bawah SN Legacy Sdn Bhd. Ini adalah detik bermakna dan terindah dalam hidup saya.
“Saya akan gunakan peluang ini dengan baik untuk memajukan diri dan jadi artis lebih berjaya.
“Saya mengharapkan doa daripada semua untuk mengharungi industri muzik dengan cekal dan mengharumkan nama negara serta keluarga,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg