Ulang tahun ke-46 menjadi detik paling bermakna bagi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, apabila disambut meriah oleh kelab peminatnya, Sitizoners di kawasan segi tiga emas, Bukit Bintang, pada malam 11 Januari.
Kelab peminat, Sitizoners, menyambut hari lahir pelantun lagu, Bukan Cinta Biasa, dengan cara unik, menayangkan enam video khas yang dipaparkan di skrin digital gergasi di tengah-tengah pusat beli-belah dan hiburan terkenal itu.
Video itu melambangkan perjalanan seni Siti yang luar biasa sebagai simbol penghargaan dan penghormatan atas pencapaian dalam industri muzik di rantau ini.
Menerusi rakaman video yang dikongsi, keriangan jelas terpancar di wajah ayu penyanyi asal Temerloh, Pahang itu yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan anak-anak, Siti Aafiyah serta Muhammad Afwa dalam acara sambutan hari jadinya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Seramai 2,000 peminat kemudian dilihat mengerumuni ibu dua anak berusia enam dan tiga tahun bagi merakam detik indah bersama di Bukit Bintang.
Menyanyikan lagu malar segarnya, Aku Cinta Padamu, biduanita yang dikenali dengan sikap rendah hati, turut beramah-tamah bersama peminat daripada pelbagai lapisan usia mahupun bangsa.
Dalam pada itu, Siti turut menzahirkan ucapan penghargaan buat peminat, Sitizoners, yang menganjurkan acara itu menerusi satu perkongsian video di laman TikTok.
Katanya: “11 Januari 2025 ialah hadiah istimewa Sitizoners pada hari lahir saya.
“Terima kasih sekali lagi untuk enam versi video berbeza yang ditayangkan berulang kali dari 9.30 malam hingga 11.30 malam.
“Saya sayangkan anda semua!”
Terdahulu, Siti menerima penghormatan sebagai Biduanita Negara di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 13 November 2024 dalam acara Anugerah Seni Negara, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Selain piala, Siti menerima wang tunai RM30,000 ($8,996) dan kain songket watikah serta status sebagai Seniman Tamu daripada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg