Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Slam beri jiwa raga walau Zamani kurang sihat

Band yang mempopularkan lagu ‘Gerimis Mengundang’ turut sanjung sumbangan kumpulan Exists dan Ekamatra dalam konsert
Jun 13, 2023 | 04:28 PM



SEHARI dua sebelum acara Slam 30th Anniversary Concert berlangsung di The Star Theatre, sudah dimaklumkan kepada media bahawa vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, dilanda demam dan kurang sihat.


Lantaran itu, sewaktu menyaksikan konsert tersebut pada Sabtu, jangkaan tinggi tidak diletakkan untuk konsert yang meraikan tiga dekad band terkenal ini mewarnai industri seni Nusantara.

Penulis dan deejay stesen Warna 942, Aura Shai, yang kebetulan duduk di sebelah hanya mengharapkan agar Zamani, 52 tahun, dapat mengeluarkan suaranya dan dimudahkan urusannya bagi menghiburkan lautan peminat tegar kumpulan itu yang membanjiri dewan konsert.


Ternyata, Zamani tidak mengecewakan apabila menyanyikan lagu, Biarkannya, Kini Hanya Sepi, Jika Kau Rasa Getarnya, Maria Mariana dan lagu ‘cover’ The Alleycats, Rayuan Di Puncak Genting dalam konsert yang dibawakan khas oleh Greendoor Studios.


Segmen pertama konsert itu berjalan baik. Ramai akur dengan kejujuran Zamani mendedahkan bahawa keadaan kesihatannya tidak mengizinkannya untuk melontar vokal sebagaimana yang diharapkan peminat.

Namun, beliau enggan mengecewakan mereka dan anggota Slam yang lain iaitu Shah, Lili, Man dan Eddie, yang telah bekerja keras untuk meraikan ulang tahun ke-30 mereka bersama sebagai sebuah kumpulan, di Singapura.

Beberapa kali Zamani meminta maaf atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Seingat penulis, suara Zamani pada zaman-zaman kegemilangannya memang tidak mengecewakan malahan lagu-lagu balada cintanya menjadi siulan dan dikenang sehingga ke hari ini sebagai mahakarya yang malar segar.

Ketulusan dan kerendahan hati Zamani dari dahulu sehingga kini menjadi faktor tarikan mengapa Slam diingati hingga ke hari ini.

Bagaikan babak dalam filem dengan episod satu, dua dan tiga, konsert itu juga dibahagikan pada beberapa segmen.

Episod kedua disambung dengan Kembali Merindu, Masih Ada Cahaya, Entah Mengapa, Tak Mungkin Berpaling dan Rindiani.


Yang menariknya, Slam juga memberi sanjungan kepada dua band Malaysia yang tidak asing lagi iaitu Exists dan Ekamatra, memandangkan dua anggota kumpulan itu iaitu ketua band, Shah, pernah menganggotai Exists manakala Eddie pula pernah menjadi sebahagian daripada Ekamatra.

Lagu ikonik Exists, Untukmu Ibu, yang menyentuh kalbu khususnya buat mereka yang kehilangan kasih seorang ibu yang sudah menemui panggilan Ilahi, didendangkan Zamani. Kedengaran penonton yang teruja mengayunkan huruf S, L, A dan M di udara, sambil menyanyi bersama.


Ramai yang tangkas mengeluarkan telefon bimbit dan menyalakan lampu secara automatik tanpa disuruh Zamani atau anggota lain Slam.

Ini disusuli dengan lagu ‘tangkap lentok’ Ekamatra, Sentuhan Kecundang, yang mengingatkan penulis tentang lagu ini yang sering berkumandang di corong radio, menemani diri ini belajar pada larut malam.


Apabila suara yang sakit sudah banyak digunakan, rasanya ia menjadi satu perkara yang menyukarkan Zamani.

Lantas itu, beberapa lagu yang sudah dirancang untuk dipersembahkan tidak dapat diteruskan kerana sudah ‘Suratan (sebagaimana judul lagu Slam).


Penonton perlu akur dan ‘Biarkan Ia Pergi’ dengan harapan ‘Mentari Muncul Lagi’ pada lain kesempatan Slam datang bertandang ke Singapura lagi.


Mujurlah, lagu wajib Slam, Gerimis Mengundang, yang sudah digunakan sebagai iklan agensi air negara PUB (dengan Hady Mirza tampil sebagai penyanyinya), tidak ditinggalkan dan menjadi penawar rindu peminat yang sudah lama menanti masa dibuai suara syahdu Zamani.


Pujian wajar diberikan kepada Greendoor Studios kerana mengusahakan sistem bunyian yang lunak dan selesa didengar penonton di samping santapan visual videografi pada layar lebar di pentas yang mewujudkan suasana konsert yang nyaman dan menyeronokkan.

Keratan filem Syair Si Pari-Pari yang dilakonkan kumpulan itu turut dipaparkan. Paparan video lama Slam dan kulit album serta keratan akhbar menunjukkan perjalanan seni kumpulan ini selama 30 tahun.


Sewaktu pemuzik tertentu sedang beraksi, juruvideo turut tangkas merakam mereka lalu dipancarkan di layar buat tatapan penonton yang duduk jauh dari pentas.

Semua ini sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan, apabila vokal Zamani tidak mengizinkannya untuk terus beraksi atas sebab kesihatan.

Syabas juga buat Shah, Lili, Man dan Eddie kerana tumpuan penonton tidak hanya pada Zamani tetapi permainan muzik yang menghiburkan dengan jurutera bunyian memastikan tiada bunyi yang membingitkan kedengaran.

Slam merupakan contoh band dengan lagu-lagu hit yang kaya dengan penulisan lirik yang menusuk kalbu.

Semoga ada masa dan ketikanya Slam dapat kembali dengan lontaran kesegaran vokal Zamani yang dinanti-nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >