Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suara matang Liza Aziz pukau juri, penonton GV11

Anak ikon filem Melayu klasik, Aziz Jaafar dan Normadiah, tinggalkan jauh 13 peserta
Nov 26, 2024 | 5:30 AM
Liza Aziz menampakkan kematangan dan kemantapan vokal yang luar biasa untuk berada di tangga teratas konsert minggu pertama, ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) dengan markah 77.5 peratus.
Liza Aziz menampakkan kematangan dan kemantapan vokal yang luar biasa untuk berada di tangga teratas konsert minggu pertama, ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) dengan markah 77.5 peratus. - – Foto-foto ASTRO

Belum bermula persembahan konsert pertama Gegar Vaganza 11 (GV11) di kaca televisyen Astro Ria, ramai netizen sudah mula meramalkan malam itu milik pelantun lagu Bermula Cerita, Liza Aziz.

Sebagaimana sebahagian bait lagu itu yang berbunyi, “Apakah keajaibannya kehadiranmu itu? Sehingga ku terpesona...”, baik juri mahupun penonton di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan rumah cukup terpaku dan terpesona dengan persembahan Liza, 61 tahun.

Ternyata, usia hanya angka dan bukan penentu pencapaian peserta dalam GV11 yang membuka tiranya pada 24 November.

Orang lama atau ‘otai’ ternyata masih berbisa berbekal pengalaman sebagai penyanyi latar dan iklan termasuk untuk jenama sabun pencuci piring, Axion.

Liza yang merupakan anak bongsu dua tokoh perfileman Melayu klasik, seniman Aziz Jaafar dan seniwati Normadiah, membuktikan pengalaman, darah seni yang mengalir deras serta latihan konsisten menempatkannya di tangga tertinggi pertandingan.

Dengan markah 77.5 peratus, beliau meninggalkan jauh 13 peserta lain termasuk penyanyi Indonesia, Dadali Dyrga, 43 tahun, yang berada di tangga kedua dengan markah 67.5 peratus.

Fairuz Selamat, 39 tahun, dan Ning Baizura, 49 tahun, berkongsi markah serupa 67 peratus, di tempat ketiga dan keempat (ditentukan pengadil berdasarkan prestasi persembahan secara menyeluruh).

Pramugari Malindo Air, Sheila Abdull, 36 tahun, yang pernah menjuarai peraduan zon selatan, Suara Bintang Adnan Abu Hassan 2006, pula di tangga kelima dengan markah 65.75 peratus.

Dalam pada itu, persembahan Liza turut disisipkan dengan unsur misteri berupa kehadiran penari berkot putih, berkaca mata hitam, bertopi dan bertopeng, sebagaimana dalam filem XX Ray, di mana Bermula Cerita dijadikan salah satu runut bunyi rasmi (OST)-nya.

Pada akhirnya, ramai (termasuk Liza) terkejut dengan kemunculan istimewa pengarah dan pelakon XX Ray, Aziz M. Osman, yang mengakui sulit menari ligat pada usia 62 tahun.

Ketua juri, Datuk Ramli MS, yang kagum dengan nyanyian Liza berkata: “You look mega! Suara pun mega!... Subang tu berapa harga?”

Liza menjawab spontan: “Ini pemberian penaja. Jadi saya tak pasti harganya.”

Banyak komen positif yang dikongsi netizen di YouTube mengenai persembahan Liza.

“Liza menyanyi ikhlas. Suaranya pun ikhlas sebab itu, keluar ikhlas.

“Beliau anak seni yang bertanggungjawab. Suaranya menampakkan penggunaan banyak teknik... mungkin kerana pengalamannya yang terlalu banyak termasuk di belakang tabir menjadi penyanyi latar dan iklan.

“Saya lihat beliau tekankan tentang kesempurnaan persembahan dan nyanyian. Sebab itu, jarang menghampakan,” kata netizen yang menggunakan nama Brian Shablee71.

Cik Pan Official pula menambah: “Saya suka betul dengan suara Liza Aziz yang jelas dan boleh dilentur. Beliau menjaga tempo dan tekniknya dipelbagaikan.

“Beliau juga boleh ‘rap’ dan menjaga patah perkataan dengan baik. Saya tunggu minggu rok atau irama Malaysia.”

Ketika diminta media seberang mengulas kejayaannya di sidang media yang diadakan secara langsung di YouTube, Liza dengan penuh kerendahan hati, berkata:

“Apa-apa pun, alhamdulillah. Saya bersyukur dan menetapkan jangkaan yang biasa-biasa sahaja.

“Sebab, hari ini kita di atas. Esok-esok, kalau kita nyanyi tak betul, kita pun boleh jatuh ke bawah.

“Saya bersyukur dapat markah tertinggi minggu ini. Juri berhak menilai dan memberi kritikan membina. Saya pasti jangkaan mereka pada minggu-minggu akan datang lebih tinggi lagi.

“Mudah-mudahan, saya dapat terus memberi persembahan yang terbaik dengan mendendangkan pula lagu kakak saya (Azlina Aziz), Wajah Siapa Di Hatimu.

Menurut Liza, memasuki GV11 adalah peluang keemasan sepanjang hayat.

Sebelum ini, beliau sibuk menyanyi di luar negara dan tidak dapat menerima lamaran Astro.

“Saya menjaga aspek senaman dan pemakanan. Saya kira itu membantu saya menyanyi dengan baik. Alhamdulillah, masih boleh menyanyi pada usia sebegini. Kalau tak boleh, saya tak masuk GV,” ujarnya.

Juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, dalam pengamatannya berkata ramai peserta masih takut-takut dan teragak-agak untuk keluar dari zon selesa mereka.

“Saya lihat ramai terlalu berhati-hati sebab takut salah. Mereka berfikir ini peraduan besar. Jadi nampak takut nak cuba sesuatu yang baru.

“Tapi tak mengapa. Kita masih ‘chill’ dan beri ruang peserta untuk relaks dan selesakan diri sebab kebanyakannya dah lama tak berada di pentas yang besar.

“Minggu depan, kita kasi ‘kawkaw’ (betul-betul menilai secara serius),” tambah Syafinaz.

Beliau menambah semua peserta berkemampuan menyanyi tetapi memandangkan GV11 ini diadakan selama 12 minggu, peserta perlu melakar strategi dan memiliki stamina yang baik untuk kekal bertahan lama.

Seorang lagi juri tetap, Hetty Koes Endang, dari Indonesia, pula menambah minggu pertama adalah ruang pengenalan baginya mengenali warna suara, kekuatan dan kelemahan peserta.

“GV adalah pertandingan skala besar. Anda harus bangga kalau diundang oleh Astro untuk menyertainya.

“Saya mencari ciri khas setiap peserta dan ini perlu dikeluarkan dalam minggu-minggu mendatang. Tidak kira nyanyi dangdut atau rok, kalian semua harus siap, siap dan siap.

“Saya tak mengenali peserta. Jadi minggu pertama untuk saya kenali setiap orang.

“Kalau diberi komen pedas, saya harap peserta terima sahaja sebab kami dipilih Astro bukan untuk mengajar tetapi sebagai karyawan seni yang sudi berkongsi untuk perbaiki lagi persembahan setiap peserta,” jelasnya.

GV11 disiarkan setiap Ahad, mulai 9 malam di Astro Ria (Saluran 608. Singtel TV).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg