Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:34
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘Sukma Rindu Jalan Ampas’ kembalikan nostalgia penonton, artis veteran

Tujuh bintang filem lama diberi penghormatan
Nov 09, 2023 | 05:30 AM



Dialog lucu filem P. Ramlee akan terpahat dalam ingatan peminat setia seniman agung itu setiap kali ada yang buka cerita mengenai mahakaryanya.

Anda mungkin tercuit hati dengan aksi pelakon cilik ‘Ayu 20 Sen’ atau nama sebenarnya, Sri Rahayu Sudarmaji, yang menutup rahsia kakaknya Zaiton (Jeton) yang menjalin hubungan dengan jiran depan rumah, Sudin, dengan meminta upah 20 sen. Dengan ibu mereka (lakonan Siti Tanjung Perak), pun didesaknya duit syiling 20 sen itu setiap kali diminta lakukan sesuatu.

Wajah jelita Dayang Sofia dan Zaiton Abdullah serta karisma Datuk Rosnani Jamil yang beralih dari bidang lakonan kepada arahan juga ‘melekat’ dalam fikiran sebab merekalah seniwati yang dikenang kerana sumbangan mereka kepada perkembangan industri filem Melayu.

Di atas ingatan mereka yang masih lagi ada sebagai contoh kecekalan bintang filem veteran era Malay Film Productions inilah, maka penganjur acara Wadah Seni Entertainment yang diterajui Ukhti Aminah atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail, mengadakan acara sanjungan dan mengenang nostalgia Jalan Ampas pada Sabtu lalu di Istana Ballroom@86 Marine Parade Central.

Acara Sukma Rindu Jalan Ampas itu memberi penghargaan kepada tujuh artis 1950-an dan 1960-an iaitu seniwati Zaiton, Rosnani, Dayang Sofia, Sri Rahayu, K. Fatimah, Habibah Haron dan Normah Zainal.


Ia turut dihadiri aktivis kemasyarakatan, Encik Amrin Amin, selaku tetamu terhormat, penggiat seni Datuk Khadijah Ibrahim, Asmah Atan, Ponisah Bachik, Eddy Ali dan Fauziah Zie serta pelakon filem Air Mata Duyung, Salina Zaini.


Eksekutif Jabatan Filem-Filem Melayu, Shaw Organisation, Rosie Othman, juga hadir memberi sokongan dan menemani artis veteran ini.

Sepanjang dua jam, orang ramai dihiburkan dengan lagu-lagu lama era perfileman klasik yang dinyanyikan Rudy Djoe, Sheera J, Rozita Rohaizad, Rose Rusli, P. Radhi, Fir Ramlee dan Putri Emily Joehaidi.

Tiga pemuzik pengiring terdiri daripada Danial Ariffin Azman, Abdul Shukor Jalil dan Mohammad Hidayat Rahmad, yang tidak asing lagi dalam menyumbang pada kerencaman muzik Singapura.

Sukma Rindu Jalam Ampas ini ditaja The Malayan Council, Hilwah Maid Agency & Employment Services, Ally Delicacies dan Carebio Asia.


Sambil menjamu selera, hadirin berpeluang bergambar dengan artis veteran yang selama ini hanya ditonton di kaca televisyen. Ada yang datang dengan koleksi gambar lama untuk ditunjukkan kepada bintang ini betapa mereka meminati lakonan yang disajikan sekian lama.

Tatkala Rozita meminta penonton mengiringinya, beberapa mak cik tampil dengan bersahaja dan ‘sporting’ menari atau menyanyi sama, bagaikan terkenang zaman ‘darah muda’ mereka dahulu.

Ada juga yang diketengahkan dalam pusingan busana tercantik di mana mereka perlu memperagakan pakaian berkerdipan atau penambah anggun di pentas persis watak ‘peragawati Sarimah’ dalam babak pertunjukan fesyen bagi filem Labu Labi.


Ukhti Aminah yang merupakan antara penganjur yang memberi tumpuan pada bintang veteran gembira dapat melihat penonton bertemu idola mereka dan sekali gus meraikan legenda yang masih lagi aktif menjalani kehidupan seharian meskipun sesetengahnya sudah melepasi usia 70 tahun.

“Selagi segelintir bintang veteran ini masih ada, selagi itulah kita perlu menyanjung budi mereka dengan mengetengahkan mereka pada acara sebegini. Saya harus berterima kasih kepada teman-teman yang banyak memberi sokongan untuk saya melaksanakan acara sanjungan untuk artis veteran kegemaran ramai.

“Alhamdulillah, acara disambut baik kerana masih ramai yang ingin dengar lagu lama ataupun ingin dekati dengan bintang filem lama yang masih segar di ingatan,” katanya.

Mengetengahkan P. Radhi, peserta peraduan tiru gaya P. Ramlee, Bintang P. Ramlee, lebih sedekad lalu merupakan satu perkara baik kerana ramai sedia maklum dengan tularnya video beliau menyanyikan lagu kumpulan Kris dan ciptaan Datuk M. Nasir, Tiara, dengan suara mirip P. Ramlee.


Gandingannya bersama bakat muda bersuara matang dan lunak, Putri Emily, dalam lagu Semarak Hati (runut bunyi filem Juwita), juga cukup mempesona. Lagu tersebut merupakan dendangan asal P. Ramlee dan Rubiah.


P. Radhi kemudian berpadu suara dengan Fir Ramlee, penyanyi Singapura yang gemar mendendangkan lagu-lagu P. Ramlee. Lagu yang berkumandang berjudul Bila dan dipopularkan ketika P. Ramlee bersama Panca Sitara.


Sri Rahayu melahirkan rasa terharunya dilibatkan dalam Sukma Rindu Jalan Ampas sambil mengimbau nostalgia bersama rakan artis lain dan bertemu orang ramai.


Pelakon kanak-kanak dalam filem Bujang Lapok itu berkata: “Saya lihat hari ini ramai yang seronok dan gembira. Mereka menari sama. Kalau ada kesempatan mengadakan acara ini lagi, saya harap tiada yang ketinggalan mengikutinya.”

Cuma penulis berharap jika diadakan acara seperti ini lagi, dapatlah diadakan dalam bentuk konsert atau segmen sembang santai bersama artis veteran persis yang pernah diusahakan Wadah Seni Entertainment untuk mengimbau jasa Zaiton dan Wahid Satay.

Pastinya hadirin ingin dengar lebih banyak pengalaman balik tabir yang berharga dan dialami bintang filem atau penyanyi runut bunyi filem ini yang tidak pernah diketahui sebelum ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >