Tidak boleh dinafikan, Switzerland telah lama menambat hati pelancong dengan keindahan perkampungan yang terletak di sekitar pergunungan Alp bak gambar poskad.
Ini di samping puncak gunungnya yang diselimuti salji putih serta budaya ski bertaraf dunia.
Baru-baru ini, konsultan perjalanan kanan syarikat pengendali pelancongan mewah, Scott Dunn, Cik Koo Ying Ying, mengembara ke Switzerland dan melibatkan diri dalam kegiatan lasak seperti sukan ski.
“Sebelum Switzerland, saya telah ke Alp Perancis dan Dolomites Italy, dan saya boleh katakan dengan penuh yakin bahawa setiap daripadanya menyajikan keindahan tersendiri.
“Pergunungan Alp di Swiss sangat menakjubkan, menampilkan Matterhorn megah di mana perjalanan kereta api membawa anda melalui pemandangan indah tersebut,” kata Cik Ying kepada Berita Minggu (BM).
Sebagai penggemar ski yang berpengalaman, Cik Ying berkongsi empat tip bagi mereka yang mahu ke sana buat pertama kali.
Sebut sahaja Switzerland dan beberapa destinasi popular akan muncul dalam fikiran.
Zermatt, Andermatt dan St. Moritz popular tetapi terdapat perbezaan antara kesemuanya yang boleh menjadikan destinasi tersebut lebih atau kurang menarik berdasarkan cita rasa masing-masing.
Jika sukan ski menjadi keutamaan, Zermatt perlu dikunjung.
“Ia sebahagian besarnya dianggap salah satu tempat terbaik di dunia untuk bermain ski, kerana ia terletak di bawah gunung Matterhorn yang terkenal dan mempunyai lebih 300km cerun ski, menjadikannya salah satu yang terbesar di Eropah,” kata Cik Ying.
Zermatt menawarkan pelbagai rupa bumi, dari cerun sesuai bagi mereka yang berjinak-jinak ke laluan mencabar, semuanya berlatarbelakangkan Matterhorn yang ikonik.
Paling penting, glasier di kawasan itu membolehkan pengunjung bermain ski sepanjang tahun, walaupun ketika musim panas.
St. Moritz pula tempat kumpulan sosial berkumpul, dan pengunjung boleh menikmati kemewahan dalam kawasan pergunungan.
Pada musim sejuk, tasik Saint Moritz membeku dan berubah menjadi hab sosial yang menjalankan acara utama seperti White Turf, satu-satunya perlumbaan kuda di dunia atas tasik beku.
Sementara itu, Andermatt sesuai untuk pengembara yang mencari pengalaman perkampungan Switzerland yang asli.
Musim ski di Switzerland berlangsung dari Disember hingga April, justeru pengunjung boleh menjangkakan keadaan salji yang optimal.
Namun, mereka dinasihati agar berhati-hati dengan bilangan pengunjung yang lebih ramai sekitar tempoh perayaan dan cuti separuh penggal Februari, iaitu apabila kebanyakan keluarga Eropah berpusu-pusu ke kawasan ski, kata Cik Ying.
Bagaimanapun, tempoh terbaik untuk berkunjung ke Switzerland ialah Januari dan Mac – mutu salji hebat dan bilangan pengunjung berkurangan di samping harga lebih berpatutan.
Jika melakukan kegiatan ski bukan sebahagian rancangan anda, musim panas juga seronok.
Ia menawarkan suhu yang selesa untuk meneroka kawasan luar, membolehkan anda menghirup udara gunung yang segar di laluan hiking indah di Switzerland.
Switzerland terkenal dengan laluan kereta apinya yang menyajikan pemandangan indah, terutamanya di Glacier Express yang terkenal.
Keseluruhan perjalanan mengambil masa lapan jam dan bermula di Zermatt sebelum berakhir di St. Moritz, dengan beberapa perhentian di sepanjang jalan.
Cik Ying mengesyorkan agar pengunjung singgah di Andermatt untuk menginap di The Chedi.
“Ini membantu mengurangkan pemindahan yang lama, dan menambah masa untuk anda rehat dengan spa di pertengahan perjalanan,” katanya.
Di Glacier Express, terdapat perbezaan bagi tiga kelas kabin.
Walaupun semua kelas di dalam kereta api menawarkan pemandangan panorama dari tingkap yang serupa, kabin asas (dipanggil kelas ke-2) mempunyai tempat duduk yang disusun dalam format lorong 2-2 – yang mungkin sesetengah orang mendapati agak sempit.
Kelas ‘Excellence’ peringkat teratas menawarkan ruang paling banyak dengan hanya satu tempat duduk bagi setiap lorong, tetapi tidak selalu beroperasi semasa di luar musim sibuk – akhirnya.
Secara peribadi, Cik Ying mengesyorkan Kelas Pertama, yang menawarkan keseimbangan sempurna antara keselesaan dengan nilai.
Switzerland bukan sekadar ‘syurga’ bagi penggiat ski.
“Negara ini menawarkan banyak kegiatan walau bagi mereka yang tidak beraksi di cerun (ski),” kata Cik Ying.
Bagi kunjungan ke Matterhorn Glacier Paradise di Zermatt, orang ramai boleh menaiki siri gondola yang membawa mereka semakin tinggi hingga ke stesen kereta kabel tertinggi di Eropah.
Platform menikmati panorama 360 darjah juga membolehkan pengunjung menghayati pemandangan 38 puncak berbeza dan 14 glasier merentas pergunungan Alp Perancis, Italy dan Switzerland.
Salah satu cara untuk benar-benar menghargai suasana di Switzerland adalah dengan menikmati tanpa tergesa-gesa.
“Kita kini tinggal dalam dunia digital yang bergerak pantas, menghabiskan kebanyakan masa memikirkan apakah langkah selanjutnya, daripada benar-benar menghayati detik tersebut.
“Semasa mengambil perjalanan indah menggunakan kereta api di Switzerland, saya meluangkan masa untuk menghabiskan buku yang saya ingin baca sejak sekian lama.
“Apabila saya berehat, ia bukan untuk menatal media sosial seperti yang biasa saya lakukan – saya hanya memalingkan pandangan ke luar tingkap untuk menghayati pemandangan indah yang mengelilingi saya.
“Switzerland benar-benar pengalaman perjalanan yang sangat menakjubkan,” tambah Cik Ying.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg