KUALA LUMPUR: Pengarah filem, The Original Gangster, Syamsul Yusof, 39 tahun, mendoakan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana, 38 tahun, bertemu jodoh dengan lelaki baik.
Menurut Syamsul, beliau mahu bekas isteri dan anak-anak mengecapi kebahagiaan dan memulakan hidup baru, lapor Berita Harian Malaysia.
Namun, katanya, pertalian sebagai bapa dan anak-anak tidak akan terputus sampai bila-bila.
“Walaupun bukan bergelar suami isteri, saya tetap berharap Puteri Sarah bertemu lelaki yang boleh menjaganya dengan baik.
“Saya doakan Puteri Sarah temui kebahagiaan. Saya harap dia bertemu jodoh dengan seseorang yang baik dan boleh membahagiakannya.
“Jika anak-anak ada bapa baru, saya juga akan terima,” katanya.
Tambah Syamsul, meskipun sudah berpisah, namun itu bukan pengakhiran hubungannya dengan bekas isteri kerana mereka akan tetap kekal berhubung demi anak-anak.
“Ikatan kami akan kekal demi anak-anak. Apa yang boleh bantu, saya akan tolong kerana beliau tetap ibu kepada anak-anak saya,” katanya.
Terdahulu, Syamsul melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas pada Rabu, 12.25 tengah hari selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, enam tahun, dan Summayah, empat tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg