Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarikat produksi, D’Ayu Pictures bawa filem M’sia ke China, Kemboja
Syarikat produksi, D’Ayu Pictures bawa filem M’sia ke China, Kemboja
Syarikat produksi, D’Ayu Pictures bawa filem M’sia ke China, Kemboja
Syarikat produksi, D’Ayu Pictures Sdn Bhd, bakal menjalin kerjasama dengan Kemboja dan China bagi menayangkan filem Malaysia di pawagam di kedua-dua negara terbabit.
Pengarah Urusan D’Ayu Pictures Sdn Bhd, Datuk Rosmarayu Mokhtar, berkata pihaknya sudah bertemu dengan 200 usahawan berpotensi di Guangzhou, China, dua minggu lalu bagi membincangkan potensi filem tempatan ditayangkan di republik itu.
“China ada kira-kira 5,000 panggung wayang dan wakil di sana menunjukkan minat untuk menayangkan filem kita di negara mereka.
“Bagaimanapun, mereka tidak berminat dengan filem seram kerana alasan boleh mengganggu budaya. Mereka sukakan filem bergenre drama dan kekeluargaan.
“Kali terakhir filem kita berjaya menembusi pawagam di negara itu adalah melalui filem ‘Abang Adik’. Selepas itu, tidak ada lagi. Jadi, kita berhasrat untuk memasarkan filem ‘Mencari Ramlee’ di sana,” katanya yang ditemui pada majlis D’Ayu Pictures Gathering di Sri Kembangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rosmarayu berkata pihaknya sedang dalam proses ‘pitching’ dan jika pihak di China berminat, barulah filem penuh akan diserahkan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Kita masih dalam proses rundingan dan ‘pitching’. Jika mereka berminat, baru kita akan serahkan filem penuh.
“Kemudian barulah mereka akan maklumkan berapa pawagam akan tayangkan filem kita,” katanya lagi.
Mengenai filem ‘Mencari Ramlee’, Rosmarayu berkata pihaknya menerima permintaan tinggi untuk menayangkan naskhah itu di Indonesia.
“Sejak syarikat umumkan tayangan ‘Mencari Ramlee’ di pawagam pada 19 Jun ini, saya terima banyak mesej langsung (DM), termasuk daripada selebriti Indonesia yang mahu filem itu ditayangkan di negara mereka.
“Saya terima banyak DM termasuk daripada Acha Septriasa yang meminta agar filem ‘Mencari Ramlee’ dibawa ke sana.
“Selama enam tahun berkecimpung dalam bidang penerbitan dan pengedaran filem, saya tahu bukan mudah untuk filem kita tembusi pasaran Indonesia,” katanya.
Rosmarayu berkata pihaknya cuba berunding dengan pengendali pawagam di Indonesia agar ‘Mencari Ramlee’ dapat ditayangkan di Indonesia.
“Namun, saya fikir bukan dengan syarikat Cinema 21 kerana mereka khabarnya ada lebih 300 filem ‘beratur’ untuk tayangan,” katanya.
Filem ‘Mencari Ramlee’ mengisahkan Zakaria, iaitu peniru gaya (impersonator) Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mempunyai masalah kewangan dan mempunyai kesukaran untuk mendapat kerja. Keadaan itu berlaku berikutan populariti P. Ramlee yang sudah merudum.
Filem arahan Megat Shahriz itu dibintangi Tony Eusoff, Datin Sofia Jane, Mimi Lana serta ramai lagi.
Pada majlis itu, D’ Ayu Pictures turut mengumumkan 10 filem tempatan dan Indonesia, terbitan dan edaran syarikatnya, iaitu Laknat, Mencari Ramlee, Munajjim, Penghukum Nusantara Assasin, Keajaiban Air Mata Wanita, Anak Medan, Sajen Satu Suro, Insha Allah Baroqah, Badik dan Taneuh Kelaknat yang akan ditayangkan sepanjang 2025.
