Topic followed successfully
Go to BHkuTaman Warisan Melayu baru mesra kanak-kanak, tawar kegiatan menarik, pameran interaktif
Taman Warisan Melayu baru mesra kanak-kanak, tawar kegiatan menarik, pameran interaktif
Penulis dan anak seronok sertai kegiatan sesuai untuk seisi keluarga
Taman Warisan Melayu baru mesra kanak-kanak, tawar kegiatan menarik, pameran interaktif
Pembukaan Taman Warisan Melayu (TMW) baru-baru ini setelah tiga tahun ditutup bagi menjalani kerja baik pulih pasti membuat ramai teruja mengunjunginya.
Pusat budaya itu kini mengetengahkan tema baru, ‘Dari Rantau Ke Rumah’, melalui enam galeri tetap yang mempamerkan 279 artifak.
Naratif itu menelusuri evolusi identiti Melayu di Singapura, serta bagaimana hubungan masyarakat Melayu Singapura dengan masyarakat majmuk dan dunia Melayu yang lebih luas telah membentuk jati dirinya.
Bagi ibu bapa dengan anak kecil yang mahu ke sana tetapi khuatir si kecil berasa bosan, jangan risau.
Ada beberapa kegiatan yang sesuai dilakukan kanak-kanak, selain pameran yang membolehkan pengunjung cilik mengambil bahagian.
Saya telah membawa dua anak saya yang berumur tujuh tahun dan tiga tahun ke sana untuk ‘cuba try test’ dan nampaknya, mereka seronok dan dapat juga belajar seperkara dua.
Ini kali pertama saya membawa anak-anak saya ke muzium, dan jika anda juga merancang membawa anak-anak buat kali pertama, lihat panduan di sebelah untuk pengalaman yang tenang dan terkawal.
Buku kecil Kembara Alam Melayu
Di pintu masuk TWM, anak sulung saya diberikan pensel dan buku kecil berjudul, Kembara Alam Melayu, yang sesuai digunakan kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas.
Buku kecil itu mengandungi kegiatan yang boleh dilakukan kanak-kanak di setiap galeri yang dikunjungi.
Misalnya, di ruang Pembuka Galeri, pengunjung diperkenalkan kepada Alam Melayu dan kedudukan Singapura di dalamnya.
Pengunjung cilik kemudian boleh melekatkan pelekat bendera negara-negara Alam Melayu pada peta dalam buku kecil mereka.
Ruang Aksara Nusantara
Di Koridor Kenangan Budaya: Aksara-Aksara Nusantara di galeri tengah di tingkat satu, kanak-kanak berpeluang melihat nama mereka ditulis dalam aksara Jawi, Rejang atau Lontara.
Menggunakan skrin sentuh, atau touch screen, kanak-kanak boleh menaip nama dan melihatnya ditulis dalam aksara pilihan.
Kemudian mereka boleh cuba menulis nama mereka dalam aksara tersebut dan akhir sekali mencetak tulisan itu pada kertas kecil untuk dibawa pulang.
Anak-anak saya meluangkan hampir 10 minit di sini kerana mahu mencetak nama semua ahli keluarga dalam aksara Jawi.
Skrin yang diletakkan rendah membolehkan kanak-kanak yang boleh membaca melakukan kegiatan ini dengan mudah tanpa memerlukan bantuan orang dewasa.
Ruang Riang
Di ruang ini, kanak-kanak boleh menggunakan boneka wayang kulit dan cuba membuat bayangannya berjalan, berlari dan kelihatan marah di dinding.
Kanak-kanak juga boleh melihat perbezaan pada bayangan yang dihasilkan jika mereka berdiri dekat atau jauh dari dinding.
Ruang Tulis & Cap
Kanak-kanak berpeluang melakukan kegiatan batik cap di ruang ‘Tulis & Cap’ di galeri tengah di tingkat dua TWM ini.
Mereka boleh menggunakan empat cap berlainan corak dan warna yang disediakan untuk menghiasi buku kecil, My Batik Design (Rekaan Batik Saya), yang boleh diambil di ruang itu juga.
Buku kecil itu juga mempunyai maklumat tentang kegunaan batik serta coraknya yang pelbagai.
Cap yang disediakan mudah digunakan kanak-kanak tanpa bantuan orang dewasa, cuma ia terletak agak tinggi dan sukar dicapai kanak-kanak lebih kecil.
Bermain congkak digital
Di Koridor Kenangan Budaya: Kraf dengan Alam Semula Jadi di galeri tengah di tingkat dua juga kanak-kanak boleh melihat papan congkak yang menampilkan Petala Wati, seekor burung mitos dari Kelantan.
Mereka kemudian boleh cuba bermain congkak secara digital di skrin sentuh.
Pameran interaktif
Di sudut interaktif Gema Bunyi Istana, kanak-kanak boleh menekan butang yang mengeluarkan bunyi alat-alat muzik nobat yang digunakan dalam upacara pertabalan.
Mereka juga boleh menyentuh alat muzik yang dipamerkan.
Anak-anak saya meluangkan masa paling lama di sudut ini berbanding ruang lain dalam muzium, kerana mereka dapat melakukan sesuatu di sini (menekan butang dan menari mengikut rentak muzik) dan tidak sekadar melihat dan membaca.
Cari objek di galeri
Kanak-kanak boleh mencari objek-objek dalam buku kecil mereka seperti sikat, lesung batu dan pengering rambut di Galeri 5.
Galeri ini meneroka bagaimana tradisi, kenangan dan nilai-nilai Melayu diwarisi, disesuaikan dan dikekalkan dalam keluarga dan dalam kehidupan seharian.
Jika ibu bapa tidak dapat membawa anak-anak mengunjungi semua galeri, tidak mengapa.
Mereka boleh datang berkali-kali dengan si kecil kerana masuk percuma bagi warga Singapura dan penduduk tetap.
Sambil meneliti artifak yang dipamerkan, ibu bapa dan anak-anak boleh juga merenungkan soalan-soalan berikut, yang dikemukakan Penolong Kurator TWM, Cik Syafiqah Jaaffar, semasa previu galeri untuk media pada 22 April:
“Warisan apakah yang ingin anda bawa bersama kita? Warisan apakah yang ingin anda hidupkan kembali, dan warisan apakah yang ingin anda lahirkan semula?”
