Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tambah seri dengan padanan aksesori pada tudung

Nov 17, 2025 | 1:36 PM
Aksesori minimalis seperti pin kecil, anak tudung selesa, dan cincin skarf, kini menjadi pilihan bagi memberi sentuhan peribadi serta aura tersendiri pada gaya tudung.
Aksesori minimalis seperti pin kecil, anak tudung selesa, dan cincin skarf, kini menjadi pilihan bagi memberi sentuhan peribadi serta aura tersendiri pada gaya tudung. - Foto TUDUNGPEOPLE

Dengan pin minimalis, kerongsang berukir dan topi bergaya, penggayaan tudung kini tampil lebih kreatif.

Wanita bertudung semakin mahir memadankan elemen sopan dan moden dengan penggunaan aksesori, sekali gus memberi sentuhan peribadi serta aura tersendiri pada gaya hijab mereka.

Tudung jenis satin dan sifon dipadankan bersama anak tudung pelbagai warna untuk menghasilkan gaya lebih menarik, manakala tiara bertatah batu permata digunakan bagi menyerlahkan penampilan.

Kerongsang klasik juga kembali mendapat tempat dalam penggayaan tudung untuk memberi sentuhan glamor dan anggun, lapor The Star.

Menurut majalah fesyen Hijabista, antara aksesori utama yang dapat menaikkan seri wanita bertudung termasuk pemakaian topi, klip, cermin mata hitam besar serta anting-anting.

Peranan jenama fesyen sopan

Menyumbang kepada evolusi ini ialah jenama fesyen sopan yang memperkenalkan pilihan bergaya untuk pemakai tudung, serta pempengaruh di media sosial yang berkongsi tip dan tutorial bagi cara menggayakan skarf mengikut gaya yang ingin ditonjolkan atau jenis majlis yang bakal dihadiri.

Daripada tudung beralun yang dihias dengan kerongsang atau cincin dan digayakan bersama tudung jenis matte satin, sehingga topi sukan mesra hijab yang dipadankan dengan cermin mata hitam besar bagi penampilan ala streetwear (pakaian jalanan), trend fesyen tudung kini dipelbagaikan daripada gaya chic sehingga berani namun mengekalkan kesopanan si pemakai.

Pengasas jenama fesyen Umma yang menggabungkan estetika moden dengan kesopanan, Cik Zairin Azman, berkongsi pandangannya tentang aksesori hijab.

“Trend kini banyak memberi perhatian kepada kerongsang dan pin hiasan untuk tudung. Ia mudah dan sesuai untuk digayakan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, pengasas TudungPeople, Cik Fazrena Aziz, berkata kebelakangan ini penggayaan hijab semakin menekankan keselesaan dan ekspresi diri.

“Aksesori minimalis kini menjadi pilihan – anak tudung selesa, cincin skarf, dan anting-anting yang padan tetapi tidak menjejaskan penampilan tudung.

“Ramai lebih cenderung kepada aksesori yang praktikal namun tetap dapat menyerlahkan penampilan keseluruhan. Ia bukan tentang lilitan tudung rumit, sebaliknya lebih kepada gaya yang kemas dan tersusun,” jelas Cik Fazrena.

“Di TudungPeople, kami memberi tumpuan kepada elemen asas yang melengkapkan skarf – daripada anak tudung (inner cap) yang selesa dan kekal rapi sepanjang hari, kerongsang minimalis, sehinggalah cincin skarf yang menambah sentuhan gaya halus.”

Jenama fesyen sopan ini turut menitikberatkan kajian dalam penghasilan skarf itu sendiri, bagi memastikan kain dan potongan tudung kekal cantik beralun tanpa memerlukan terlalu banyak aksesori.

“Bagi kami, aksesori dipakai untuk menyerlahkan (penampilan), bukan menenggelamkan – semuanya masih perlu selari dengan gaya peribadi anda,” kata Cik Fazrena, yang menawarkan pin, cincin dan kerongsang tudung untuk memudahkan penggayaan serta memastikan tudung kekal kemas.

Pengasas jenama fesyen sopan Bi.Albak, Cik Najihah Mohd Shahrudin, berkata antara aksesori yang popular dan sentiasa ‘trendy’ termasuk anting-anting, topi, dan cekak rambut dengan hiasan menarik.

Bagi pakaian harian, Cik Najihah lebih gemar gaya ringkas.

“Ringkas, pantas dan mudah – gaya yang hanya menggunakan satu pin atau kadangkala langsung tiada pin, bergantung pada jenis kain tudung.

“Untuk majlis istimewa pula, kami memilih gaya yang lebih sofistikated yang menggunakan banyak pin dan kerongsang,” jelas Najihah.

Lagi ringkas, lagi bergaya

Kebiasaannya, gaya tudung beralun yang moden dan aksesori mewah lebih sesuai untuk digayakan bagi majlis istimewa, manakala ramai memilih gaya minimalis untuk pakaian harian.

“Pastikan ia ringkas dan praktikal. Padankan dengan anak tudung yang selesa supaya tudung kekal kemas sepanjang hari,” kata Cik Zairin.

Cik Fazrena juga percaya satu aksesori utama sudah cukup untuk menyerlahkan penampilan, dan penggunaan terlalu banyak aksesori boleh menjadikan gaya tudung kelihatan sarat.

“Mungkin hanya padankan dengan cincin skarf cantik atau kerongsang menonjol – sementara selebihnya dikekalkan ringkas.

“Kuncinya adalah keseimbangan: jika anda memakai corak tudung menonjol, pilih aksesori yang neutral atau ringkas; jika tudung anda polos, anda boleh menambah sedikit kilauan (aksesori),” kata Cik Fazrena.

“Bagi saya, tudung masih kekal sebagai tumpuan utama dan aksesori hanya berperanan untuk menyerlahkannya,” jelas Cik Fazrena.

Trend ini berlandaskan niat – setia pada tuntutan agama sambil tetap menonjolkan keselesaan, kesopanan dan keunikan si pemakai.

“Penggayaan tudung kini semakin ekspresif, menekankan keunikan peribadi yang halus berbanding teknik lilitan yang rumit,” jelas Cik Zairin.

“Secara asasnya, aksesori yang dipakai membolehkan seseorang menyerlahkan kesopanan mereka, sambil menunjukkan personaliti melalui tekstur, tona dan perincian, bukannya melalui pendedahan,” tambahnya.

Cik Fazrena menekankan bahawa butiran kecil mampu memberi kesan besar kepada penampilan.

“Jenis aksesori yang anda pilih banyak menceritakan tentang personaliti anda – sama ada anda gemar garis minimalis dan kemas, atau sentuhan feminin dan elegan.

“Cara anda meletakkan pin, memilih material, malah cara menggayakan skarf – semuanya adalah cerminan diri anda. Saya rasa itulah keindahan tudung – halus, tetapi sangat peribadi,” jelas Fazrena.

“Menambah butiran kecil ini memang boleh menaikkan penampilan daripada biasa-biasa menjadi luar biasa, sambil menonjolkan personaliti seseorang. Ia juga menunjukkan perhatian seseorang terhadap butiran serta mencerminkan ciri dan sikap individu itu,” tambah Najihah.

Apabila jenama tempatan dan pemakai tudung semakin bereksperimen dengan gabungan fabrik serta rekaan yang bersifat tidak lapuk dek zaman atau ‘timeless’, penggayaan aksesori tudung kini tidak lagi sekadar mengejar trend. 

Sebaliknya, ia lebih tertumpu kepada membentuk penampilan yang benar-benar serasi dengan personaliti si pemakai.

Sama ada ia kerongsang berkilau, pin minimalis, atau topi bergaya yang memastikan semuanya kekal kemas, tudung bukan sekadar penutup kepala – ia adalah ekspresi gaya peribadi dan keyakinan diri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg