Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan oleh kejadian membabitkan tiga pelajar Darjah 3 di sebuah sekolah rendah di Singapura.
Rakaman audio ugutan yang tular, bahkan terhadap orang dewasa, menimbulkan kekhuatiran: bagaimanakah kanak-kanak berusia sembilan tahun, boleh melontarkan kata-kata sekasar itu?
Perbuatan mengugut keganasan ke atas orang lain bukan sekadar satu paparan emosi kanak-kanak yang tidak terkawal, tetapi petanda keretakan nilai-nilai murni yang malangnya semakin menyerlah dalam kalangan segelintir generasi muda kita.
Pada masa yang sama, satu lagi kisah tragis dari negara jiran kita, menarik perhatian ramai.
Seorang pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, dilaporkan meninggal dunia pada pertengahan Julai setelah ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asramanya di Sabah.
Kes yang awalnya diklasifikasikan sebagai kematian akibat jatuh, disiasat terus kerana dicurigai melibatkan unsur buli. Dalam kes Zara Qairina, pihak pendakwa raya, mengesahkan bahawa lima individu yang akan didakwa atas kes buli adalah remaja di bawah usia 18 tahun.
Kedua-dua kes ini, walau berlaku dalam konteks dan kepada kanak-kanak dalam lingkungan usia yang berbeza, membuka mata kita: isu buli adalah gejala masyarakat yang amat membimbangkan.
Apakah langkah wajar yang boleh diambil oleh setiap lapisan masyarakat: ibu bapa, rakan sebaya, guru-guru dan juga masyarakat awam, untuk memastikan mangsa buli dilindungi, dan pelaku, yang kadangkala merupakan kanak-kanak kecil mahupun remaja, diberi peluang untuk berubah sebelum benar-benar terlambat?
Isu buli bukanlah isu baru. Dahulu, kes-kes buli banyak berlaku di bilik darjah atau di ruang-ruang lain di sekolah, tetapi kini ia turut menular ke dunia digital melalui telefon bimbit dan alat-alat digital lain yang mendampingi anak-anak kita pada hampir setiap saat.
Di Singapura, dapatan sebuah kajian pada 2018, yang diketuai oleh Dr Cheung Hoi Shan daripada Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU) bersama Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Singapore Children’s Society, menunjukkan bahawa kira-kira 1 daripada 4 murid sekolah rendah (umur sembilan hingga 13 tahun) pernah dibuli.
Daripada 581 responden, sekitar 23 peratus mengaku menjadi mangsa, namun hanya sekitar 5 peratus melaporkan perkara itu kepada guru atau kaunselor sekolah terlebih dahulu.
Sebaliknya, kebanyakan lebih selesa berkongsi dengan ibu bapa atau kawan rapat mereka.
Dapatan ini selari dengan kajian yang lebih terkini oleh Fung, Hong, dan Chan (2024), yang menegaskan bahawa fenomena buli di Singapura melibatkan kedua-dua jantina, cuma bentuknya berbeza: murid lelaki cenderung kepada perbuatan membuli secara fizikal dan verbal, manakala murid perempuan lebih banyak terlibat dalam tingkah mensabotaj hubungan sosial seperti pengasingan atau penyebaran khabar angin tentang mangsa.
Bentuk kelakuan buli yang paling kerap berlaku secara keseluruhan ialah ejekan verbal dan penghinaan, diikuti dengan pengasingan sosial serta serangan fizikal.
Menurut kajian tersebut, walaupun kadar buli siber dilaporkan lebih rendah berbanding buli bersemuka, ia tetap menimbulkan kebimbangan kerana berlaku dalam ruang peribadi seperti melalui mesej dan media sosial, menjadikan mangsa sukar melarikan diri.
Kajian menegaskan bahawa isu buli tidak boleh dilihat sebagai salah laku ‘biasa’ daripada kanak-kanak atau remaja yang dianggap ‘kurang matang’.
Ia adalah tanda-tanda awal corak hubungan sosial yang tidak sihat, dan jika tidak ditangani sejak mula lagi dengan serius, boleh meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja terhadap mangsa, tetapi terhadap pembuli itu, sehingga dewasa.
Pakar psikologi, Professor Dan Olweus, dari Norway, mendefinisikan perbuatan membuli sebagai tingkah laku agresif yang berulang dan dilakukan dalam situasi ketidakseimbangan kuasa.
“Buli bukan sekadar konflik. Ia adalah bentuk penyalahgunaan kuasa yang berulang terhadap individu yang tidak dapat mempertahankan diri,” kata Professor Olweus.
Perbuatan membuli bukan sekadar gurauan yang keterlaluan atau usikan sesama rakan.
Ia adalah tingkah laku berulang kali yang melibatkan niat menyakiti orang lain, sama ada secara fizikal, lisan, sosial, atau melalui ruang digital.
Apa yang membezakan perbuatan membuli daripada konflik biasa ialah wujudnya ketidakseimbangan kuasa antara seorang yang lebih dominan dengan seorang lagi yang sukar mempertahankan dirinya.
Ahli psikologi, Erik Erikson, menjelaskan bahawa kanak-kanak melalui fasa pencarian identiti.
Ada yang mencari pengiktirafan dengan cara positif, tetapi ada juga yang melakukannya dengan cara menindas orang lain.
“Setiap fasa kehidupan manusia ialah perjuangan identiti. Jika sokongan positif tiada, anak akan mencarinya melalui jalan yang salah,” kata Erikson.
Kajian psikologi turut membuktikan bahawa sebahagian pembuli sendiri pernah mengalami tekanan atau berasa terpinggir, lalu menjadikan perbuatan membuli sebagai cara memulihkan semula rasa kuasa dan kawalan bagi diri mereka sendiri, meskipun dengan melukai orang lain.
Hal ini menegaskan bahawa selain daripada dikenakan hukuman atas tindakan mereka yang sudah tentunya salah, pembuli juga memerlukan bimbingan dan sokongan emosi.
Jika dibiarkan, fenomena membuli ini akan terus berputar dalam kitaran, yang merugikan kita semua.
Malangnya, dalam kesibukan harian, ada kalanya ibu bapa tidak menyedari betapa anak-anak mudah terdedah kepada pengaruh negatif, khususnya melalui skrin digital di tangan mereka.
Kata-kata yang digunakan oleh pempengaruh misalnya, mungkin tidak kesat tetapi tetap kasar, dan apabila diulang-ulang, boleh membentuk cara kanak-kanak kecil berfikir dan bercakap.
Dalam permainan dalam talian pula, istilah seperti kill (bunuh), hit (pukul), die (mati) dan enemy (musuh) dilontarkan secara berulang tanpa berfikir panjang, sehingga dianggap lumrah dan tidak berbahaya hanya kerana ia tidak tersenarai sebagai perkataan kesat.
Hakikatnya, pengulangan sebegini boleh meninggalkan kesan lebih mendalam.
Ia membiasakan anak-anak kecil dengan unsur keganasan yang akhirnya dirasakan wajar dan boleh diterima sebagai perkara biasa sahaja.
Justeru, ibu bapa perlu lebih peka, bukan hanya tentang berapa lama anak-anak mereka menatap skrin, malah tentang apa yang ditonton mereka di dalam talian.
Peranan ibu bapa adalah untuk membimbing anak-anak agar dapat membezakan antara yang wajar diteladani dan yang harus ditolak.
Dengan meluangkan masa bersama (walaupun sedikit), serta menunjukkan contoh hormat dan empati di rumah, ibu bapa bukan sahaja melindungi anak-anak mereka daripada pengaruh negatif, malah membekalkan mereka panduan jelas tentang cara berinteraksi secara positif dengan orang lain.
Bagi mangsa, pengalaman dibuli bukan sekadar luka yang meninggalkan parut kecil di hati.
Ia boleh meninggalkan kesan yang panjang dan mendalam, daripada perasaan takut untuk ke sekolah, hilang keyakinan diri, bahkan masalah tidur dan keresahan yang berpanjangan.
Pelbagai kajian menunjukkan mangsa buli lebih berisiko mengalami kemurungan.
Malah, kesannya boleh terbawa hingga ke alam dewasa, menjejaskan pencapaian akademik, hubungan sosial dan kesejahteraan mental secara keseluruhan.
Dalam keadaan paling parah, penderitaan mangsa boleh mencapai tahap yang menggugat kesejahteraan hidup mereka dengan amat serius.
Apa yang sering terlepas pandang ialah betapa sunyinya dunia seorang mangsa buli.
Ramai, khususnya kanak-kanak dan remaja, memilih untuk berdiam diri kerana takut tidak dipercayai atau bimbang keadaan menjadi lebih buruk, terutama di ruang yang mereka sangka selamat, seperti sekolah.
Justeru, tidak hairanlah jika kajian menyatakan rakan sebaya atau ibu bapa sering menjadi tempat pertama mereka meluahkan isi hati.
Walaupun guru mempunyai kuasa bertindak dan membantu, pada persepsi mangsa buli, langkah yang diambil kadangkala boleh mengubah suasana bilik darjah atau sekolah dengan terlalu mendadak, sesuatu yang mungkin ditakuti oleh mangsa, yang memikirkan hari-hari mendatang dan bagaimana dia harus mengharunginya.
Peranan rakan sebaya dan ibu bapa amat penting dalam memberi perlindungan awal kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa buli.
Rakan-rakan mereka selalunya menjadi orang pertama yang tahu. Ada rakan yang berani membela, ada juga yang memilih berdiam diri.
Dalam hal ini, kita harus secara jelas membimbing anak-anak kita bahawa memilih untuk berdiam diri, memberi isyarat bahawa perbuatan pembuli itu ke atas rakan-rakan mereka boleh diterima.
Galakkan kanak-kanak untuk terbiasa memberi sokongan positif dan dorongan, walau sekecil mana pun, kepada rakan mereka.
Ajarkan mereka mendahulukan keihsanan bukan kecaman sesama rakan.
Begitu juga dengan ibu bapa, yang menurut kajian, sering menjadi tempat pertama anak-anak di Singapura meluahkan rasa resah akibat dibuli.
Ini sebenarnya menunjukkan kepercayaan dan hubungan kekeluargaan yang rapat dan sihat antara sebilangan besar anak-anak di Singapura dengan ibu bapa mereka.
Respons ibu bapa terhadap anak yang dibuli sangat penting.
Anak yang berasakan luahannya tidak didengari akan berasa semakin terasing, manakala anak yang diyakinkan dengan tenang akan memperoleh kekuatan untuk bertahan.
Dalam situasi sebegini, ibu bapa perlu mengutamakan kesejahteraan anak mereka dengan mendengar tanpa menghakimi, menenangkan mereka dan meyakinkan bahawa mereka tidak sendirian dan tindakan mereka untuk berkongsi detik pedih dibuli, merupakan tindakan yang betul.
Sesakit dan seberat mana pun hati ibu bapa mangsa, sebagai seorang dewasa, penting untuk menahan diri daripada bertindak terburu-buru atau melepaskan kemarahan dengan niat membalas dendam.
Tindakan sebegitu selalunya hanya melegakan perasaan marah kita sebagai ibu bapa, tetapi jarang membantu anak-anak kita, malah boleh membuat mereka lebih takut dan tertekan.
Walaupun amat payah untuk menahan amarah, yang lebih utama ialah membantu anak-anak mengurus emosi mereka, mencari penyelesaian bersama pihak sekolah atau kaunselor, dan memastikan anak-anak kita berasa benar-benar disokong.
Apa yang anak-anak kita perlukan pada saat itu bukanlah tindakan dramatik atau hantaran viral yang memalukan mana-mana pihak, tetapi rasa bahawa mereka didengari, difahami, dan dilindungi oleh insan-insan yang mereka percayai.
Walaupun hanya sebahagian kecil murid-murid di Singapura melaporkan pengalaman mereka dibuli kepada guru terlebih dahulu, itu tidak bermakna guru tidak peduli.
Setiap hari, di dalam dan luar kelas, para guru menunjukkan keprihatinan yang mendalam, menenangkan, menasihati dan membina suasana positif di sekolah.
Mesej antibuli juga sering ditegaskan dengan jelas di sekolah.
Namun, kejadian yang tidak diinginkan kadangkala berlaku secara tiba-tiba, terutama dalam saat-saat tegang apabila anak-anak yang masih belajar mengawal emosi, tersilap langkah.
Inilah sebabnya sekolah tetap menjadi benteng penting, bukan sahaja melalui penetapan undang-undang antibuli yang ketat, tetapi melalui budaya positif yang dibina setiap hari bersama.
Apabila guru, kaunselor dan ibu bapa berganding bahu, mesejnya jelas: tiada ruang untuk buli berleluasa, hanya ruang untuk sokongan, empati dan keberanian membela satu sama lain.
Ketika kes buli di antara pelajar Darjah 3 baru-baru ini menjadi tumpuan, reaksi orang dewasa di media sosial ada kalanya terlalu keras, menghukum, malah menjatuhkan maruah kanak-kanak yang terlibat.
Inilah ironinya: dalam menentang buli, ada di antara kita yang dewasa, tanpa sedar membuli pula – kali ini di ruang maya.
Kata-kata tokoh psikologi, Encik Albert Bandura, tepat mengingatkan kita:
“Kanak-kanak belajar bukan hanya melalui kata, tetapi dengan memerhati tingkah laku orang dewasa.”
Jika orang dewasa memilih untuk kekal tenang, berhemah dan saling menghormati dalam menangani konflik, anak-anak akan belajar hal yang sama.
Tetapi jika orang dewasa sendiri menghina, mengaibkan, atau melabel, mesej jelas yang diterima anak-anak adalah: menjatuhkan dan memalukan orang lain itu boleh diterima.
Kawalan diri orang dewasa, khususnya di media sosial, menjadi sebahagian daripada pendidikan penting bagi generasi Alpha. Kita tidak boleh menyeru anak-anak agar berani menolak perbuatan buli, ataupun menghindari sikap buli, sedangkan kita sendiri menormalisasikan budaya memalukan orang lain secara terbuka.
Anak-anak meniru lebih daripada mendengar; maka teladan kitalah yang paling berkesan.
Menangani isu buli memerlukan keberanian kolektif daripada seluruh masyarakat.
Ibu bapa berperanan mendidik dengan kasih dan empati; kanak-kanak dan para remaja kita perlu menjadi rakan sebaya yang berani menolak perbuatan salah; guru membina suasana bilik darjah dan sekolah yang selamat; dan orang-orang dewasa mesti menjadi teladan, termasuk di alam maya.
Apabila semua pihak bersatu memainkan peranan, mesejnya jelas: perbuatan membuli tidak diterima dalam apa jua bentuk dan ruang.
Hakikatnya, menangani isu buli bukan sekadar tentang menghentikan tingkah laku yang salah, tetapi tentang membina generasi yang lebih berani, empati dan manusiawi.
Kepada semua mangsa buli, kami hulurkan simpati yang tulus.
Semoga pengalaman pahit anda menjadi iktibar yang menggerakkan masyarakat membina ruang lebih selamat dan penuh belas kasihan.
Penulis ialah pensyarah di Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) – Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg