Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan siasatan terhadap kes kematian pelajar dari Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, dilaksanakan secara telus tanpa sebarang cubaan menutup kes sebagaimana dakwaan yang berlegar di media sosial.
Beliau menyifatkan naratif palsu di media sosial termasuk mengaitkan pembabitan orang kenamaan (VVIP) sebagai punca tercetusnya gelombang besar yang mengelirukan masyarakat.
Menurut Datuk Saifuddin, pihak polis, antaranya, telah menahan seorang guru bahasa Inggeris yang memuat naik kandungan di TikTok, mendakwa Allahyarhamha Zara Qairina meninggal dunia akibat dibuli dengan dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Apabila kita soal siasat, jawapannya sekadar ‘saya nak buat content (kandungan)’. Tetapi cara dia susun ayat seolah-olah itulah punca kematian.
“Malangnya, content itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, hingga mencetuskan sentimen yang membengkak,” katanya pada sesi Penerangan oleh Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat, pada 18 Ogos.
Datuk Saifuddin turut menjelaskan setakat ini, 21 kertas siasatan telah dibuka, antaranya melibatkan penyebaran berita palsu di media sosial dan penipuan yang mendorong kepada himpunan jalanan.
Menurutnya, beberapa tuduhan yang berlegar di media sosial, antaranya, kononnya cubaan berlaku cover-up (tutup kes), penglibatan cucu kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman; pengetua sekolah adalah isteri kepada menteri dan Allahyarhamha maut akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh, telah memburukkan keadaan.
“Sudah jadi toksik macam itu sekali keadaannya. Siasatan polis tidak menemui semua perkara yang disebut begitu. Tidak ada sama sekali setelah keterangan daripada 195 saksi diambil.
“Tuduhan mengatakan bahawa kes ini cuba ditutup, cuba dimanipulasi adalah tuduhan yang sangat berat, tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini,” katanya sambil menjelaskan diari Allahyarhamha turut diambil sebagai sebahagian siasatan.
Datuk Saifuddin Nasution juga mengesahkan siasatan kes membabitkan unsur jenayah buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian Zara Qairina.
“Pentadbir sekolah harus diingatkan jika ada insiden buli dibawa ke tengah, itu sebabnya siasatan kita menjurus kepada elemen buli yang sudah dilengkapkan siasatan.
“Ada juga elemen pengabaian kerana adik ini (Zara) ada membuat aduan kepada pihak sekolah, kita siasat di bawah elemen pengabaian,” katanya.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, turut mengarahkan kerajaan untuk melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.
Menurut Sultan Ibrahim, budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak peringkat sekolah rendah berisiko untuk melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.
“Buli bukan saja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.
“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” katanya melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada 18 Ogos.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan pada 18 Ogos, berkata selepas meneliti kertas siasatan kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina, jabatan itu telah membuat keputusan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu itu.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina.
“Keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli ini dibuat memandangkan tuduhan tersebut tidak akan menganggu proses inkues di mahkamah yang sedang berjalan atau siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Allayarhamha Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang dekat asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, kira-kira 3 pagi, 16 Julai.
Kematiannya telah mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat yang menuntut siasatan telus dan adil, termasuk dengan tanda pagar #JusticeForZara (#KeadilanBuat Zara) dan himpunan di serata Malaysia diadakan bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa dan kerajaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg