Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarikan pelancong di Greece ditutup dek haba panas

Jul 23, 2023 | 5:30 AM
MENUNGGU DI TENGAH PANAS: Pelancong melawat Acropolis terpaksa menunggu dalam suasana panas apabila monumen Acropolis tutup buat sementara akibat cuaca panas di Athens, Greece. Kakitangan Palang Merah mengagihkan botol air sementara pelancong menunggu.
MENUNGGU DI TENGAH PANAS: Pelancong melawat Acropolis terpaksa menunggu dalam suasana panas apabila monumen Acropolis tutup buat sementara akibat cuaca panas di Athens, Greece. Kakitangan Palang Merah mengagihkan botol air sementara pelancong menunggu. - Foto EPA-EFE

Sebahagian daripada selatan Eropah dilanda cuaca panas terik dek gelombang haba, menyebabkan monumen bersejarah di Greece terpaksa ditutup.

Pihak berkuasa di beberapa negara juga mengeluarkan amaran ke atas suhu yang tinggi itu.

Jabatan Meteorologi Cyprus memberi amaran tentang haba melampau baru-baru ini, dengan suhu dijangka mencecah 44 darjah Celsius (C) di kawasan pedalaman, manakala Kementerian Kesihatan Italy mengeluarkan amaran merah kepada lebih sedozen bandar, termasuk kota besar Rome dan memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelakkan haba dan matahari pada waktu-waktu terpanas.

Di Jerman pula, ia mengumumkan amaran panas untuk kira-kira separuh negara tersebut.

Di rantau Attica Greece, ibu kota Athens, suhu telah mencecah sehingga 40 darjah Celsius pada pertengahan Julai.

Ini mendorong pihak berkuasa menutup sementara salah satu monumen paling dikenali di bandar itu, Acropolis. Pada masa yang sama, kakitangan Palang Merah juga mengagihkan botol air kepada pelancong yang menunggu monumen dibuka semula.

Bukan di Greece sahaja, malah di Sepanyol juga, pulau Mallorca melihat suhu setinggi 39 darjah Celsius, menurut perkhidmatan cuaca negara itu.

Gelombang haba yang melanda ke bahagian selatan Eropah disebabkan oleh sistem tekanan tinggi yang digelar Cerberus, nama seekor anjing dua kepala dan ditugaskan menjaga alam ghaib dalam mitologi Yunani.

Pada awal Julai, Agensi Angkasa Eropah meramalkan haba sehingga 48 darjah Celsius di pulau-pulau Italy Sicily dan Sardinia dan berkata suhu boleh melepasi rekod benua sebelumnya iaitu hampir 48.8 darjah Celsius yang dicatatkan di Sicily pada Ogos 2021.

Merentasi Atlantik, kubah haba di seluruh selatan dan Barat Amerika Syarikat dijangka menyebabkan suhu tinggi di sekurang-kurangnya 10 negeri.

Awal Julai 2023, bumi mengalami minggu terpanas dalam rekod, menurut data awal Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pentadbiran Atmosfera dan Kelautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah telah menyifatkan Jun 2023 sebagai bulan paling panas pernah dicatat.

Para saintis memberi amaran awal musim panas ini bahawa El Niño, keadaan iklim terkenal, telah kembali buat kali pertama dalam tempoh empat tahun dan boleh menyebabkan purata suhu global melebihi rekod yang ditetapkan pada 2016.

Pada 2023, laporan perubahan iklim PBB mendapati planet ini mungkin melampaui ambang suhu yang berbahaya dalam dekad ini, yang akan menyebabkan planet ini melepasi peringkat pemanasan bencana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg