Sebuah tasik gunung Alpine yang indah di Jerman menarik begitu ramai pengunjung setiap musim panas sehingga pemandangan pertama yang dilihat ialah bas yang sesak, kesesakan lalu lintas dan tempat letak kereta yang penuh.
Perairan kristal serta pemandangan gunung Eibsee di Bavaria telah menjadi tular di media sosial, dan mencetuskan kebimbangan masalah pelancongan yang berlebihan.
Pegawai majlis bandaran, Encik Christian Andrae, berkata beliau gembira orang ramai menghargai tasik itu.
Namun, beliau menambah bahawa kesesakan itu kadangkala mengingatkannya kepada “acara besar-besaran” seperti pesta terkenal Oktoberfest di Bavaria.
Tasik yang terletak di kaki Zugspitze, iaitu puncak tertinggi Jerman, kini sama dengan destinasi lain seperti Venice di Italy yang sedang menilai semula kebaikan dan keburukan menerima limpahan pelawat, walaupun masih belum berada di skala yang sama.
Baru-baru ini di bandar berdekatan Grainau, terdapat ramai orang yang beratur menunggu bas ulang-alik ke tasik, hanya untuk mendapati ia terlalu sesak sehingga mereka terpaksa menunggu bas berikutnya.
Kenderaan pula bergerak perlahan dalam kesesakan di beberapa kilometer terakhir di satu-satunya jalan yang menuju ke tasik, yang juga membawa pelancong ke kereta kabel menuju puncak Zugspitze yang juga sesak.
Apabila para pengunjung tiba di tasik, mereka ‘disambut’ oleh pantai yang dikelilingi pokok pain, yang digelar Bavarian Caribbean oleh pejabat pelancongan tempatan.
“Kami tak sangka akan ada begitu ramai orang, tapi ia memang sangat cantik,” kata Encik Clement, seorang pelancong Perancis berusia 32 tahun, sementara pasangannya, Cik Marion, juga berusia 32 tahun, terpesona dengan warna air tasik itu.
“Ia sangat jernih, sesuatu yang jarang berlaku pada tasik lain,” katanya, sebelum pasangan itu bersama bayi mereka memulakan perjalanan mengelilingi tasik tersebut yang sejauh 7.5km.
Grainau, sebuah bandar dengan 3,600 penduduk, menerima kira-kira 620,000 penginapan semalam setiap tahun, termasuk sejumlah besar pelancong harian, kata Encik Andrae, yang juga merupakan timbalan datuk bandar.
Katanya, beliau kecewa dengan pelawat yang “tidak endahkan papan tanda di jalan menuju Eibsee yang menyatakan semua tempat letak kereta sudah penuh”, sehingga akhirnya “terpaksa berpatah balik dan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas”.
Walaupun ada yang mencadangkan untuk memasang palang keluar masuk di jalan menuju tasik, Encik Andrae berkata sistem sebegitu adalah salah di sisi undang-undang dan juga tidak akan menjadi penyelesaian yang berkesan.
“Pengunjung perlu menunjukkan tahap bertanggungjawab dan bertimbang rasa,” katanya.
Namun buat masa ini, bandar itu bersedia untuk menerima orang ramai yang menjadi beban kepada infrastruktur.
Sebagai contoh, bagi memastikan tasik kelihatan bersih, pihak majlis bandaran mengutip sampah hampir setiap hari dari tong sampah yang banyak di sekitar tasik, kata Encik Andrae.
Dua pelawat lain, Encik Max, 27 tahun, dan Cik Yan, 26 tahun, menghabiskan masa sejam setengah di jalan raya menuju ke tasik, tetapi berkata ia berbaloi setelah berjaya melalui kesesakan itu.
“Saya benar-benar mahu kembali ke sini,” kata Encik Max. Ini merupakan kunjungan kedua ke tasik tersebut buat beliau dan Cik Yan.
“Ia tempat yang indah untuk meluangkan masa seharian,” kata Cik Yan, yang mendapati bahawa walaupun “jumlah orang terlalu ramai”, masih boleh mencari beberapa “sudut yang lebih tenang”. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg