Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Teater tari zapin 'Hati Ke Hati' bermain dengan emosi

Feb 10, 2022 | 05:30 AM



DUNIA sepi pada 2020.



Apabila pandemik melanda, segala hingar-bingar kota mula menyepi.



Jarak sosial memisahkan manusia. Jauhkan diri satu meter, jangan lupa.



Di dalam dunia yang penuh dengan manusia yang terasa kesunyian, dunia ini menjadi lebih sepi dan diam membatu.



Teater tari Hati Ke Hati cuba menyampaikan semua ini melalui satu eksperimentasi tarian zapin.



Bak satu surat cinta yang tertulis sewaktu tempoh jerih payah pandemik yang mendedahkan kisah menyentuh jiwa yang mempersoal hubungan kita dengan diri kita sendiri, sesama manusia dan bersama alam.



Hati Ke Hati yang akan disajikan di Teater Pusat Drama, Bangunan Perpustakaan Negara pada 8 malam lusa merupakan penerbitan terkini kumpulan tarian Artistari Gentari.



Pementasan teater tari ini disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).



Pementasan teater ini juga menerima sokongan bersama kumpulan seni Artiste Seni Budaya.



Pengarah Artistik bagi Artistari Gentari, Badarudin Hassan, menerajui teater tari ini dengan dibantu pengarah muzik Alhafiz Jamat dan pengarah kreatif Hyrul Anuar.



Sebagaimana kata Badarudin:



"Hati Ke Hati ialah usaha kami menyampaikan secebis harapan.



"Dalam tempoh satu malam ini teater tari ini disajikan, hati yang kosong dan kesunyian akan menggapai harapan dengan satu janji hari esok yang lebih baik akan dapat dinikmati."



Menurut Badarudin lagi, judul teater tari ini mengambil sempena nama lagu klasik R. Ismail dan Rafeah Buang, Dari Hati Ke Hati.



"Secara artistik, kami ingin meneroka dan bereksperimen dengan pelbagai genre dan bentuk tarian Melayu tradisional dengan tumpuan khas pada genre zapin yang berasal dari Hadhramaut, Yaman.



"Kami juga ingin menjalinkan kerjasama antara artis bagi membandingkan pergerakan antara ruang dua dimensi dengan tiga dimensi.



"Usaha bereksperimen seni digital dengan unsur teatrikal pentas juga dapat dilaksanakan.



"Memandangkan pementasan ini memanfaatkan seni digital, usaha memastikan seni persembahan tradisional Melayu kekal relevan dapat juga diusahakan," jelasnya.



Badarudin juga teruja kerana Hati Ke Hati mampu memperluas idea kreatif anak seni yang dapat bertukar-tukar idea dengan penggiat seni filem dan ilustrasi seni digital.



Sepanjang teater tari ini, penonton akan dibawa menyelongkar empat emosi jiwa - ketenangan, cinta, kemarahan dan kebanggaan.



Ini sejajar dengan struktur tarian zapin dengan pembahagian persembahan yang dipanggil taksim, alif, kopak dan wa'inab.



"Menerusi teater tari ini, kita boleh mewujudkan semula banyak kemungkinan menerusi bentuk metafora dan fizikal zapin Melayu.



"Pada masa yang sama, penerbitan ini diharap dapat menyentuh jiwa penonton menerusi kisah penuh emosi yang disampaikan, soalan yang sarat di fikiran serta kerisauan yang dihadapi semasa pandemik.



"Penceritaannya dibuat menerusi bait puitis lagu berirama zapin yang mengandungi banyak maksud tersirat serta berubah sepanjang perjalanan persembahan yang dibentangkan," tambah Badarudin lagi.



Antara matlamat penerbitan ini adalah mengekalkan dan memperkenalkan semula irama zapin tradisional seperti Zapin Hari Ribut dan Faridzalham.



"Kami juga ingin mengasuh, menyampaikan dan mendidik penonton muda kami dengan sajian lagu tradisional Melayu agar warisan kita tidak terhakis.



"Hati Ke Hati juga bertujuan merapatkan jurang antara yang lama dengan yang baru. Kita ingin memahami harapan penggiat tari mapan, Cik Som Said dan Encik Osman Hamid, terhadap generasi penggiat tarian Melayu muda.



"Kami ingin meneroka cara baru untuk mencetus inspirasi buat penonton menerusi refleksi peribadi dari hati di mana kami akan mengetengahkan mutiara kata yang disulam dalam persembahan menerusi wawancara bersama generasi jurutari perintis ini," ujarnya.



Badarudin berharap penonton dapat hadir dengan minda yang terbuka untuk ditebar bagi memikirkan secara kritikal dan berimaginasi tentang proses membina semula dan dekonstruk tarian dan muzik zapin.



  • Tiket pementasan teater tari Hati Ke Hati berharga $25 dijual di laman Peatix (https://peatix.com). Persembahan ini disajikan di Teater Pusat Drama pada 8 malam, Sabtu ini. Tiket $10 untuk tonton dalam talian juga boleh ditempah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >