Daripada sebuah tingkap kecil di Arab Street kepada gerai popular bertentangan Masjid Sultan, jenama teh tarik tempatan, Tarik kini mengorak langkah ke luar negara dengan pembukaan cawangan pertamanya di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, pengasasnya, Shaikh Ali Redha, tidak mahu berhenti di situ.

Mantan kru kabin Cathay Pacific selama 14 tahun itu menyasarkan untuk mempunyai antara 10 dengan 15 cawangan Tarik dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, dengan pertanyaan francais dari India, Qatar dan Brunei.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan membuka lebih banyak cawangan di UAE sekiranya terdapat sambutan memberangsangkan terhadap cawangan pertamanya.

Ia terletak di bangunan Binghatti Canal yang terletak berdekatan Dubai Water Canal.

“Kalau saya lihat perniagaan baik di sesebuah bandar, saya akan buka lagi. Mungkin di Deira atau Al Maktoum, namun kami akan melihat keadaannya,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).

Berbeza dengan Tarik di Arab Street yang bertentangan Masjid Sultan, Tarik di Dubai mempunyai tempat duduk yang boleh memuatkan seramai 60 pelanggan.
Berbeza dengan Tarik di Arab Street yang bertentangan Masjid Sultan, Tarik di Dubai mempunyai tempat duduk yang boleh memuatkan seramai 60 pelanggan. - Foto TARIK

Terletak di kawasan Business Bay, cawangan Dubai itu merupakan pelaburan terbesar Tarik setakat ini, dengan sekitar 35 hingga 45 tempat duduk di dalam premis manakala 10 hingga 15 tempat duduk di luar.

Ia berbeza daripada konsep bawa pulang (takeaway) yang menjadi identiti Tarik sejak jenama itu bermula pada 2021 di Singapura.

Menurut Shaikh Ali, idea membawa Tarik ke luar negara tercetus selepas menerima maklum balas daripada pelancong yang mencuba minumannya.

“Apabila pelancong benar-benar menikmati produk kami dan berkata, ‘Baik kalau Tarik dibuka di negara kami’, ditambah pula dengan beberapa permintaan francais antarabangsa, kami sedar Tarik mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Dubai pula bukan tempat asing bagi Shaikh Ali, yang mula mengunjungi kota itu pada 2006 dan menjadikannya destinasi percutian hampir setiap tahun.

“Dubai sudah seperti rumah kedua saya. Ia juga tempat yang penuh dengan peluang,” katanya.

Menurut beliau, sekitar 70 peratus penduduk di Dubai merupakan penggemar teh, manakala teh karak (mengandungi rempah) boleh ditemui hampir di setiap sudut.

Namun, beliau tidak melihat budaya karak yang sudah kukuh di sana sebagai persaingan.

“Saya tidak pernah melihat sesiapa atau apa-apa sebagai pesaing. Saya yakin dengan produk saya,” katanya.

Sebaliknya, Shaikh Ali mahu membawa budaya minum teh Asia ke Dubai, termasuk penggunaan susu pekat dan susu sejat serta seni ‘menarik’ teh yang sinonim dengan Singapura.

Shaikh Ali, seorang mantan kru kabin akan berulang-alik dari Singapura ke Dubai untuk memastikan operasi Tarik berjalan dengan lancar pada beberapa bulan pertama.
Shaikh Ali, seorang mantan kru kabin akan berulang-alik dari Singapura ke Dubai untuk memastikan operasi Tarik berjalan dengan lancar pada beberapa bulan pertama. - Foto TARIK

Tarik, yang ditubuhkan pada 2021, menghasilkan campuran tehnya sendiri menggunakan serbuk teh yang diimport dari Kenya, Sri Lanka dan Indonesia.

Malah, bahan dan campuran teh yang digunakan di Dubai sama seperti di Singapura dan dihantar ke sana bagi memastikan mutu dan rasanya kekal konsisten, meskipun ia melibatkan kos tambahan.

“Kalau mutu dijaga dengan baik, saya percaya mereka akan datang,” katanya.

Minuman di cawangan Dubai berharga antara tujuh dengan 12 dirham dengan Teh Zaffran panas dijual pada harga 10 dirham.

Selain minuman seperti Teh Zaffran dan Teh O Saffron, Shaikh Ali sedang mempersiapkan dapur bagi memperkenalkan hidangan tradisional termasuk nasi lemak dan nasi ayam.

Menurutnya, ruang makan yang lebih besar membuka peluang untuk menawarkan lebih daripada sekadar epok-epok dan roti bakar seperti di Singapura.

“Dubai memang terkenal dengan budaya kafe. Cuacanya juga agak panas, jadi orang lebih gemar duduk, makan dan berbual di dalam,” katanya.

Sambutan awal turut datang daripada masyarakat Singapura yang menetap di Dubai.

Sejak pembukaannya pada 11 September, beberapa warga Singapura datang memberikan sokongan, malah berkongsi pengalaman dan kenalan mereka bagi membantu Shaikh Ali menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan di sana.

Namun, beliau berkata pelanggan setakat ini lebih terdiri daripada masyarakat ekspatriat kerana kedainya terletak di kawasan kediaman, dan beliau belum banyak berinteraksi dengan pelanggan Emirati.

Pembukaan cawangan itu juga berdepan kelewatan akibat ketegangan geopolitik pada Februari yang menjejas kerja pengubahsuaian serta kelulusan permit dan lesen.

Namun, setelah membuat komitmen terhadap premis tersebut, Shaikh Ali memilih untuk meneruskannya.

Tarik ingin menonjolkan kepada pasaran Dubai bahawa ia jenama yang berasal dari Singapura dan bakal kenalkan hidangan ikonik seperti nasi lemak dan nasi ayam.
Tarik ingin menonjolkan kepada pasaran Dubai bahawa ia jenama yang berasal dari Singapura dan bakal kenalkan hidangan ikonik seperti nasi lemak dan nasi ayam. - Foto TARIK

Selepas Dubai, Tarik bakal membuka cawangan di Johor Bahru pada pertengahan Oktober.

Berbeza dengan kafe Dubai, cawangan itu akan kembali kepada konsep asal Tarik, sebuah tingkap kecil untuk pesanan bawa pulang di banglo kediaman bapanya, lengkap dengan kemudahan pandu lalu.

“Ia untuk mengimbau kembali saat saya mula-mula berniaga di 78 Arab Street,” katanya.

“Kalau saya lihat perniagaan baik di sesebuah bandar, saya akan buka lagi. Mungkin di Deira atau Al Maktoum, namun kami akan melihat keadaannya... Kalau mutu dijaga dengan baik, saya percaya mereka akan datang.”
Shaikh Ali Redha, pemilik jenama Tarik.