Tekanan akademik boleh hapus rasa ingin tahu kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekanan akademik boleh hapus rasa ingin tahu kanak-kanak

Wujudkan keadaan yang boleh pupuk rasa ingin tahu; bina pemikiran mendalam, kebolehan selesaikan masalah dan kreativiti
Jan 29, 2026 | 5:30 AM

Tekanan akademik boleh hapus rasa ingin tahu kanak-kanak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapura, children, curiosity
Penulis berpendapat bahawa tekanan untuk menghasilkan prestasi baik dari segi akademik akan membuat kanak-kanak rasa kurang selamat untuk mencuba dan melakukan kesilapan. - Foto fail

Apabila kanak-kanak memulakan tahun persekolahan baru, mereka akan cepat membiasakan diri dengan rutin sekolah.

Ini sering dianggap perkara baik kerana ia menandakan keyakinan, kecekapan dan kesediaan untuk belajar.

Namun, pada masa yang sama, ia juga menandakan satu perubahan penting.

Cara kanak-kanak belajar mula berubah.

Mereka bertanya soalan dengan lebih berhati-hati. Mereka kurang mengambil risiko.

Ramai kanak-kanak mula berhenti seketika sebelum menjawab, memikirkan risiko jika mereka tersalah.

Lama-kelamaan, tekanan untuk menghasilkan prestasi baik membuat kanak-kanak rasa kurang selamat untuk mencuba dan melakukan kesilapan.

Keadaan yang menghasilkan kecemerlangan juga boleh menghasilkan sikap berhati-hati.

Pembelajaran menjadi lebih cekap tetapi semakin sempit, manakala rasa ingin tahu pula dikawal, bukan digalakkan.

Kesan ini tidak terhenti di bilik darjah.

Tabiat pembelajaran yang dibentuk semasa kecil mempengaruhi cara seorang kanak-kanak mendekati masalah pada masa depan.

Laporan Future of Jobs 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan bahawa pemikiran kreatif, daya tahan, fleksibiliti dan pembelajaran sepanjang hayat ialah kemahiran yang semakin penting untuk masa depan.

Ia bergantung kepada keupayaan untuk meneroka, menyesuaikan diri dan terus belajar.

Namun, sistem pendidikan yang terlalu menekankan jawapan betul mungkin sukar memupuk kemahiran ini.

Persoalannya, adakah pendidikan hari ini terlalu mengejar prestasi sehingga mengorbankan rasa ingin tahu?

Apakah itu rasa ingin tahu?

Apabila kita memikirkan rasa ingin tahu dalam golongan kanak-kanak, kita sering membayangkan tangan yang terangkat tinggi, serta soalan “Kenapa?” yang tidak habis-habis.

Tetapi hakikatnya, rasa ingin tahu biasanya tidak sebegitu dan prosesnya berpanjangan.

Bayangkan seorang kanak-kanak sedang bermain, membina sesuatu menggunakan kotak kadbod.

Orang dewasa suka bertanya, “Apa yang kamu buat?”

Kadang-kadang kita kecewa apabila kanak-kanak hanya mengangkat bahu atau menjawab, “Tak tahu”.

Sebenarnya, itulah saat rasa ingin tahu sedang berlaku.

Ia adalah penyiasatan secara sendiri, kesediaan untuk mencuba, bertahan dan belajar melalui perbuatan.

Menurut Profesor Madya Sains Pembelajaran dari Universiti Harvard, Elizabeth Bonawitz, rasa ingin tahu mengaktifkan perhatian, ingatan dan motivasi, sekali gus membantu pemahaman yang lebih mendalam dan pembelajaran yang lebih berkesan.

Cara rasa ingin tahu berkembang

Antara dua situasi ini, yang manakah lebih berkemungkinan mencetuskan rasa ingin tahu?

Pertama, kelas pengaturcaraan selepas sekolah, di mana kanak-kanak belajar konsep melalui pelajaran tersusun, sebelum diberi masa khas untuk mencipta projek atau permainan pilihan mereka sendiri.

Kedua, ruang budaya seperti muzium yang menganjurkan kegiatan terbuka, contohnya bengkel kraf yang membolehkan kanak-kanak dan keluarga mencuba pelbagai idea.

Jawapannya bukan satu atau yang lain. Kedua-duanya boleh menyemai rasa ingin tahu.

Saya pernah mengajar di kedua-dua situasi itu – di Singapura dan Sweden.

Walaupun berbeza budaya, satu corak jelas kelihatan.

Di luar persekitaran sekolah formal, kanak-kanak berusia lima hingga 13 tahun lebih santai, lebih berani mencuba dan kurang risau tentang penilaian.

Sebaliknya, di sekolah, kanak-kanak cenderung menjadi lebih berhati-hati.

Ini bukan kerana mereka kurang ingin tahu, tetapi kerana mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran yang menghargai kepantasan, ketepatan dan jawapan betul.

Kajian antarabangsa menyokong pemerhatian ini.

Analisis soal selidik pelajar daripada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mendapati bahawa pelajar di sistem pendidikan berprestasi tinggi melaporkan tahap ketakutan terhadap kegagalan yang lebih tinggi.

Cara persekitaran mempengaruhi rasa ingin tahu

Rasa ingin tahu bukan sifat semula jadi yang hanya dimiliki oleh sesetengah kanak-kanak. Ia merupakan reaksi terhadap sistem dan pengalaman yang kita bina untuk mereka.

Dengan memerhati dan menambah baik persekitaran pembelajaran, kita boleh mewujudkan keadaan yang memupuk rasa ingin tahu.

Saya pernah bekerjasama dengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun untuk mereka satu pameran.

Kami berbincang tentang susun atur galeri, memilih nama pameran dan menentukan cara pengunjung bergerak dalam ruang tersebut.

Pada satu ketika, dia tidak bersetuju dengan keputusan saya dan mencadangkan sudut yang lebih sunyi untuk refleksi.

Apabila pandangannya diambil serius, keyakinannya meningkat untuk bertanya.

Apabila kanak-kanak diberi kuasa dan kepercayaan, mereka membentuk tabiat berfikir yang menyokong penyiasatan jangka panjang.

Rasa ingin tahu membina pemikiran mendalam, keupayaan menyelesaikan masalah dan kreativiti.

Ini satu kemahiran yang sangat diperlukan dalam kehidupan dan dunia kerja.

Pendekatan saya dipengaruhi oleh pendidik Italy, Loris Malaguzzi, dan pendekatan Reggio Emilia, yang percaya bahawa kanak-kanak berhak berfikir, membuat keputusan dan menyuarakan pandangan mereka sebagai warga aktif.

Kepercayaan ini mempengaruhi cara orang dewasa bercakap dengan kanak-kanak, bagaimana ruang pembelajaran direka, serta jenis pemikiran yang boleh berlaku.

Contohnya, ruang boleh direka untuk menggalakkan eksperimen, pergerakan, kerja berkumpulan dan permainan.

Apabila kanak-kanak diiktiraf sebagai pemikir yang sah, mereka akan bertindak seperti itu.

Mereka bertanya soalan yang lebih baik, mencabar andaian dan lebih bertanggungjawab terhadap hasil kerja mereka.

Dalam satu bengkel yang kendali, kanak-kanak membina makhluk imaginasi daripada kadbod.

Apabila mereka buntu tentang cara menyambung bahan, saya mencadangkan kaedah paling cepat.

Mereka mempertimbangkannya, tetapi akhirnya memilih cara sendiri.

Mereka mencuba, gagal, menyesuaikan diri dan akhirnya mencipta mekanisme mereka sendiri.

Ini menunjukkan bahawa rasa ingin tahu bukan sekadar bertanya ‘kenapa’.

Ia ialah keberanian untuk mencuba, kesabaran untuk bertahan, dan kebebasan untuk membuat keputusan sendiri.

Pembelajaran yang lebih bermakna

Apa yang membantu rasa ingin tahu bertahan ialah syarat yang mudah tetapi mencabar, iaitu menghormati pemikiran kanak-kanak, memberi ruang untuk berdikari dan membolehkan adanya ketidakpastian tanpa rasa dihakimi.

Ini memerlukan orang dewasa sendiri untuk bersikap ingin tahu dan berminat terhadap dunia kanak-kanak, idea dan kepercayaan mereka.

Tiada apa yang menghapus rasa ingin tahu lebih cepat daripada sikap orang dewasa yang merasakan diri mereka lebih unggul.

Apabila tahun persekolahan baru bermula, mungkin kita patut memberi perhatian bukan sahaja kepada prestasi kanak-kanak, bahkan kepada apa yang diajar dalam persekitaran pembelajaran mereka tentang proses pembelajaran itu sendiri, terutamanya keyakinan untuk terus ingin tahu.

Melindungi rasa ingin tahu tidak memerlukan perubahan besar-besaran.

Ia bermula dengan niat dalam pengalaman pembelajaran seharian.

Daripada cara tugasan disampaikan, kepada cara orang dewasa bertindak apabila kanak-kanak teragak-agak, kita boleh mewujudkan persekitaran yang menjadikan rasa ingin tahu bukan sekadar percikan sementara, tetapi api yang terus menyala sepanjang hayat untuk pembelajaran dan inovasi.

Ng Fongyee menetap di Gothenburg, Sweden. Beliau penerima Biasiswa DesignSingapore Council dan pernah menjadi penceramah di Design Education Summit 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg