Topik diikuti
Pergi ke BHkuTelusuri sejarah, warisan makanan melalui penemuan arkeologi
Telusuri sejarah, warisan makanan melalui penemuan arkeologi
Teroka bagaimana objek dan bahan makanan yang dibawa merentasi lautan membantu membentuk tradisi makanan yang kita kenali hari ini melalui pameran, SHIPPED! Vessels of Taste, yang sedang berlangsung.
Pameran itu menggabungkan penemuan arkeologi dengan warisan kulinari yang masih diamalkan sehingga kini, sekali gus mengetengahkan kisah, rasa dan tradisi makanan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Berlangsung hingga 31 Mac 2027, pameran itu adalah yang ketiga dikendalikan oleh pusat arkeologi dan warisan budaya tidak ketara, ArCH Square di Jalan Sultan, dan diadakan sempena ulang tahun pertamanya.
Pameran, SHIPPED! Vessels of Taste, diuruskan bersama Muzium Makanan yang turut mempersembahkan satu bahagian khas bertajuk, Anyone Can Cook, atau Sesiapa Sahaja Boleh Memasak.
Bahagian itu meneroka bagaimana warisan makanan dipelajari dan diwariskan melalui dapur keluarga, perkongsian resipi, percubaan serta tunjuk ajar daripada tukang masak yang lebih berpengalaman.
Pengunjung ke pameran, SHIPPED! Vessels of Taste, boleh melihat koleksi seramik, botol, balang, mangkuk dan serpihan bekas yang menjadi bukti kegiatan perdagangan, perkembangan teknologi serta corak penggunaan masyarakat pada zaman dahulu.
Selain digunakan dalam perdagangan, bekas itu memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, termasuk untuk menyimpan, mengawet, menapai, menyedia, menghidangkan dan mengangkut makanan.
Objek tersebut turut memberikan gambaran tentang pengetahuan kulinari dan kehidupan masyarakat pada masa lalu.
Pameran itu juga dilengkapi dengan ‘Stratigraphy Kiosk’, sebuah pemasangan digital yang memperlihatkan lapisan sejarah di bawah landskap bandar Singapura.
Berdasarkan bukti arkeologi daripada penggalian di Sultan Gate, pemasangan itu membolehkan pengunjung meneroka bagaimana seramik dan objek kegunaan harian difahami berdasarkan konteks tempat ia ditemui.
Selain pameran utama, pengunjung juga boleh menyertai siri program, Archaeology X ICH, yang merangkumi bengkel, pengalaman bercerita dan pelbagai kegiatan bagi menghubungkan bidang arkeologi dengan warisan budaya tidak ketara.
Berikut program untuk keluarga dengan anak kecil:
Grandma’s Biscuit Tin (Tin Biskut Nenek)
– Tarikh: 13 & 14 Mac 2027
– Masa: 10.30 pagi hingga 11.30 pagi
– Bayaran: $45 bagi setiap pasangan ibu bapa dan anak (tidak termasuk GST)
– Alamat: 125 Jalan Sultan, Singapura 199011
Menerusi kisah seorang ahma, atau nenek, yang mencari sesuatu di dalam tin biskut tanpa label, bengkel ini meneroka bagaimana generasi terdahulu menggunakan semula bekas makanan, mengurangkan pembaziran dan memanfaatkan bahan yang tersedia.
Peserta juga berpeluang menghasilkan bekas kitar semula untuk dibawa pulang.
Ahma Takeover (Sesi bersama Nenek)
– Tarikh: 13 & 14 Mac 2027
– Masa: 2 petang hingga 4 petang
– Bayaran: $45 bagi setiap pasangan ibu bapa dan anak (tidak termasuk GST)
– Alamat: 125 Jalan Sultan, Singapura 199011
Peserta berpeluang bertemu dengan pengamal warisan makanan yang lebih berusia dan mendengar bagaimana mereka belajar memasak, bagaimana amalan kulinari telah berubah serta apakah perkara yang ingin mereka wariskan kepada generasi seterusnya.
Dapatkan maklumat lanjut di pautan, bh.sg/SHIPPED