Siapa sangka perenang Norway di Sukan Olimpik 2024, Henrik Christiansen, akan menjadi lebih terkenal kerana mufin coklat berbanding sukan yang diceburinya?
Akaun TikToknya, @henrikchristians1, menjadi tular apabila beliau mula menilai pelbagai makanan di Perkampungan Olimpik.
Hidangan yang menjadi tular ialah mufin coklat yang diberi 11 daripada 10 markah penuh.
Henrik menyifatkan perisa mufin coklat itu sebagai ‘insane’ atau sedap gila.
Mufin yang terkenal ialah pencuci mulut diisi di tengah dengan coklat ‘ganache’ yang pekat, penuh dengan rasa coklat yang kaya.
Tidak lama kemudian, Henrik mendapat gelaran sebagai, ‘The Muffin Man’, kerana beliau telah merakamkan banyak pengalamannya menikmati pencuci mulut itu.
Malah perenang Singapura, Quah Jing Wen, tidak dapat menahan diri daripada menyertai trend itu.
Jing Wen berkongsi video di akaun TikToknya @jingquah.
Beliau pada awalnya mengakui kecewa dengan makanan di Perkampungan Olimpik itu tetapi tidak sabar menunggu peluangnya untuk mencuba mufin coklat yang tular.
Pada 4 Ogos, Jing Wen akhirnya mencubanya.
“Saya dapat melihat mengapa ada sambutan hangat terhadap mufin coklat ini. Bahagian tengah elok sebab dalam ada coklat, seperti kek ‘lava’. Mungkin ini lebih baik jika dipanaskan,” kata Jing Wen sambil menikmati pencuci mulut itu.
Walaupun bukan peminat pencuci mulut, Jing Wen menilainya 10 daripada 10 markah penuh.
Ulasannya dengan cepat mendapat 2.8 juta tontonan. Dalam video susulan, Jing Wen berkongsi klip dirinya membawa beberapa mufin coklat Olimpik yang ikonik itu ke dalam bekas untuk dinikmati keluarganya.
Tetapi usah risau sebab anda tidak perlu menyertai Sukan Olimpik untuk menikmati mufin coklat itu.
Berikut resipi untuk mufin coklat yang boleh anda cuba sendiri di rumah!
185 gram tepung gandum
40 gram serbuk koko
150 gram gula pasir putih
1 sudu besar serbuk penaik
¼ sudu kecil garam
240 gram susu
2 biji telur
1 sudu teh ekstrak vanila
70 gram minyak sayur
200 gram ketul coklat gelap (tambah sebagai toping)
200 gram ketul coklat susu (tambah sebagai toping)
Coklat ‘Ganache’:
90 gram coklat gelap
90 gram coklat susu
80 gram krim berat
Panaskan ketuhar pada suhu 175 darjah Celsius dan alaskan loyang mufin dengan pelapik mufin.
Dalam mangkuk besar, gaul bersama tepung, serbuk koko, gula, serbuk penaik, garam dan kedua-dua ketul coklat.
Dalam mangkuk sederhana, gaul bersama susu, telur, vanila dan minyak sehingga sebati.
Cedok adunan dan ratakan ke dalam loyang mufin.
Hiaskan setiap mufin dengan ketulan coklat tambahan
Bakar selama 25 hingga 28 minit sehingga mufin dibakar sepenuhnya.
Dengan menggunakan pisau kecil yang tajam, tebuk sedikit di tengah-tengah setiap mufin dengan teliti.
Masukkan bahan ‘ganache’ ke dalam mangkuk kecil dan masukkan dalam ketuhar gelombang mikro untuk mencairkannya.
Periksa dan kacau setiap 30 saat. Pastikan ia cair sepenuhnya dan gaulkan dengan rata.
Setelah itu, tuangkan ‘ganache’ ke dalam beg paiping yang sudah dipotong sebahagian kecil di hujungnya.
Tekan beg paiping untuk isikan coklat itu ke dalam setiap lubang di mufin sehingga ia meleleh keluar di bahagian atas.
Mufin coklat anda sudah siap!
Resepi ihsan @CocosBakesnBuns di TikTok


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg