Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Teroka seni, keindahan alam di Melbourne

Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Kaya dengan seni dan keindahan alam semula jadi – itulah yang saya dapat simpulkan setelah menjejakkan kaki di bandar Melbourne pada Jun lalu.

Saya pilih untuk ke Melbourne kerana mahu ‘melarikan diri’ daripada cuaca panas di Singapura, memandangkan ia musim sejuk di Australia.

Ia merupakan pilihan yang tepat kerana percutian ke bandar metropolitan itu tidak menghampakan dengan cuaca nyaman.

Moden tetapi masih mengekalkan ciri kebudayaan dan sejarah. Pergi ke mana saja di kawasan bandar, pasti ada bentuk seni yang menarik dan tempat-tempat itu juga boleh dikunjungi secara percuma.

Bagi peminat buku seperti saya, tidak sah kalau tidak mengunjungi State Library Victoria. Perpustakaan awam ini merupakan tumpuan pelajar universiti serta pelancong kerana kemudahan dan seni binanya yang mengagumkan.

Perpustakaan itu bukan sahaja ada ruang membaca dan belajar, malah ruang galeri yang memaparkan buku-buku dan sejarah percetakan buku dari seluruh dunia, kedai cenderahati serta kafe di bangunan enam tingkat itu.

Mahu saja saya menghabiskan hari saya di sana, tetapi banyak tempat menarik lain yang ingin dikunjungi.

Selain perpustakaan itu, saya sempat ke National Gallery of Victoria untuk melihat karya-karya seniman dari Australia dari abad ke-19 dan juga kontemporari, serta karya seniman penduduk asli negara ini.

Terdapat juga karya hasil anak kelahiran Singapura, Nabilah Nordin, yang dipaparkan di galeri itu yang membuat saya tumpang rasa bangga.

Bagi mereka yang meminati seni grafiti, Hosier Lane adalah tempat yang popular yang boleh dikunjungi untuk melihat karya seniman jalanan di bandar itu dan bergambar di lorong ini. 

Namun, jika ingin ke sini, saya cadangkan supaya datang pada hari biasa di sebelah petang supaya tidak sesak dengan pelancong lain.

Kerana tidak mahu ‘terperuk’ di kawasan bandar sahaja, saya memutuskan melihat-lihat ke kawasan luar bandar seperti Great Ocean Road untuk menikmati alam semula jadi di wilayah Victoria dengan mengikuti rombongan bagi lawatan sehari ke tempat itu.

Perjalanan menyusuri Great Ocean Road untuk melihat tempat tarikan semula jadi ‘The Twelve Apostles’ bermula awal pagi dari bandar Melbourne dalam cuaca yang sangat dingin.

Sebagai penduduk bandar yang penuh dengan bangunan, kagum saya dibuatnya melihat pemandangan yang cantik lagi menenangkan sepanjang lawatan ke kawasan itu.

Sebelum ke sana, kami juga melawat hutan hujan iklim sederhana, Maits Rest, untuk melihat pepohon yang sudah hidup beratus tahun.

Setibanya kami di ‘The Twelve Apostles’, saya dan anggota rombongan lain keluar dari van kami untuk mencari tempat yang cantik untuk menyaksikan dan mengambil gambar batu kapur yang terbentuk melalui hakisan semula jadi.

Kami juga berhenti di Loch Ard Gorge untuk melihat matahari terbenam di kawasan menghadap Lautan Pasifik. Tidak sia-sia rasanya menghabiskan sehari di sini.

Selain mengikuti lawatan ke Great Ocean Road, saya juga menyertai rombongan ke Phillip Island untuk melihat penguin pulang ke sarang, atau dipanggil ‘penguin parade’. Malangnya, hujan turun agak lebat apabila rombongan kami sampai di sana.

Namun, nasib menyebelahi kami kerana walaupun cuaca tidak begitu baik, kami dapat melihat penguin liar berenang ke darat setelah seharian berada di laut mencari makan. Tetapi kami tidak dibenarkan merakam atau mengambil gambar kerana tidak mahu haiwan itu menjadi takut kerana pancaran cahaya dari kamera.

Untuk menikmati alam semula jadi di kawasan bandar pula, saya juga menyertai ‘river cruise’ di Sungai Yarra menyusuri sebahagian kawasan bandar Melbourne.

Kawasan pinggir sungai ini juga sangat baik jika anda ingin mencari tempat tenang di tengah hiruk-pikuk kota. Seronok rasanya dapat duduk di tepi sungai sambil menikmati secawan minuman panas dan melihat orang ramai menjalani hari mereka.

Melbourne juga sesuai bagi mereka yang ingin berjimat dengan menaiki pengangkutan awam. Penumpang boleh menaiki sistem tram di sini secara percuma di bahagian ‘Free Tram Zone’ di kawasan pusat bandar. Memandangkan saya bercuti ke sana seorang diri, mudah bagi saya untuk ke mana-mana tanpa perlu mengeluarkan biaya banyak.

Dengan penduduk yang sangat ramah, ditambah dengan banyak pengalaman baru yang saya lalui, Melbourne merupakan tempat yang saya syorkan untuk dikunjungi bagi pelancong pelbagai peringkat usia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >