KERANA sering diberi watak jahat dari zaman muda hingga ke hari ini, pelakon veteran Singapura, Zulkarnain Mohamed, pernah diludah seseorang ketika mengikuti isterinya berbelanja di Pasar Geylang Serai.
Sungguhpun tidak pernah diberikan watak hero sepanjang kerjayanya yang mencecah lebih 50 tahun, Zulkarnain, 75 tahun, tidak mengeluh bahkan menganggap peranan antagonis sebagai kekuatannya.
Menjelang majlis gilang-gemilang Pesta Perdana 2023 di Teater Mediacorp pada Sabtu, beliau teruja kerana dicalonkan buat kali pertama dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Khas/Antologi) bagi peranannya sebagai warga emas dengan penyakit Alzheimer dalam drama cereka sains Distopia.
Pesaingnya bagi kategori itu adalah Fir Rahman (Papa Pilot), Izzat Yusoff (Misteri Jam 12), Mazlan Amat (Air Mata Ayah) dan Norman Ishak (Distopia).
Ketika dihubungi Berita Harian, Zulkarnain yang sudah bergelar datuk dua cucu, berkata:
“Ini adalah pencalonan pertama saya di Pesta Perdana setelah 50 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Watak kali ini sebagai orang tua dengan daya ingatan yang pudar kerana penyakit Alzheimer dekat di hati saya kerana saya terkenangkan arwah ibu yang ketika itu mengalaminya dan tidak dapat mengenali saya mahupun bapa saya.
“Saya gunakan pengalaman melihat ibu lupa-lupa untuk bawakan watak warga emas yang menyangka anak perempuannya itu isterinya kerana wajah yang mirip sehinggakan dia menyangka itulah wanita yang amat disayangi dan dia ingin bermesra. Ada kegelapan dalam drama Distopia ini.
“Pengalaman berlakon dalam drama ini sangat menyeronokkan sebab saya digandingkan dengan dua pelakon muda, Norman Ishak dan Fizah Nizam, yang bagus dari segi penghayatan watak. Mereka mudah menangis tanpa perlu rasa terpaksa dan mengikut tuntutan watak.”
Zulkarnain mula berlakon selepas mengikuti kelab seni Gema Ria yang dibangunkan pelakon era P. Ramlee, Ali Fiji dan isterinya Zainon Fiji sekitar 1969.
Bersama rakan baiknya, Allahyarham JA Halim, mereka menimba ilmu lakonan daripada pasangan suami isteri itu yang mengajar mereka tentang erti kejujuran dan tumpuan dalam lakonan.
Zulkarnain seronok berkunjung dari satu kampung ke kampung lain di Malaysia untuk menghiburkan penduduk desa menerusi pergerakan Gema Ria.
Beliau kemudian aktif berlakon teater di Pusat Drama dan Panggung Victoria serta pernah menerajui kepimpinan selaku Presiden Sriwana selama lebih sedekad.
“Watak jahat memang sebati dengan saya. Dari zaman saya mula berlakon dan mengenali penerbit Basiron Jumat, saya sering diberi watak antagonis. Tak tahulah mengapa. Mungkin muka saya sesuai bawa peranan jahat. Padahal, badan saya taklah sebesar mana seperti pemegang watak antagonis yang biasa kita tonton.
“Seingat saya, watak paling jahat yang pernah saya pegang adalah dalam pementasan Ekstremis dan Biola Serindai. Dalam Ekstremis, watak itu betul-betul menyerap dalam diri saya sehinggakan saya terasuk ketika bermonolog.
“Dalam Biola Serindai yang mengisahkan cerita puntianak, penonton pula diserang histeria sampai ambulans dipanggil kerana ada yang kata mereka nampak hantu yang muncul dan bukannya Mahadi Shor di pentas tersebut.
“Saya kira teknik-teknik yang digunakan di pentas pada masa itu amat realistik. A. Galak sebagai pengarah mampu menggunakan teknik kesan khas di mana mayat berdiri dan menakutkan penonton atau kepala ‘berjalan’.
“Saya sebagai pengarah pentas juga banyak belajar daripada tokoh-tokoh seperti Shariff Medan, Hamid Ahmad dan Pak Sudiro ketika kami berbangsawan. Boleh bikin senjata seperti keris dan lembing ‘berjalan’,” jelas Zulkarnain.
Dalam membina kerjaya seninya, Zulkarnain menganggapnya hanya sebagai hobi dan nyala rasa. Beliau praktikal untuk membina mata pencariannya secara tetap dengan bergelar usahawan malahan pernah selama dua dekad mengendalikan Majalah Perkahwinan untuk rujukan bakal mempelai.
“Saya selalu berpegang pada prinsip jangan cari makan dengan budaya atau seni. Kalau minat seni, teruskan sebagai kegiatan sampingan dan nyala rasa atau hobi. Di Singapura, perlu usahakan kerjaya lain secara tetap untuk masa depan keluarga.
“Zaman pula sudah jauh berubah. Pada zaman saya, bukan wajah yang tampan dan cantik menjadi ukuran. Bakat lebih utama.
“Pelakon seangkatan seperti Ponisah Bachik dan J. Rosmini lebih bersandarkan bakat dan lakonan mereka yang hidup untuk bertahan dalam dunia seni.
“Beza dengan masa sekarang di mana kecantikan dan faktor wajah menjadi taruhan,” jelasnya yang pernah mengendalikan bengkel lakonan dengan beberapa muridnya termasuk Datuk M. Nasir, Aznah Hamid dan Azman Shariff, yang mencipta nama mereka sendiri selepas itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg