Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak akan terlena dengan ‘La Luna’

 Kedai pakaian dalam menyelak isu tabu
Nov 18, 2023 | 5:30 AM
TIDAK KERING GUSI: Filem ‘La Luna’ yang bermakna bulan dalam bahasa Sepanyol, dibintangi Sharifah Amani selaku Hanie Abdullah (kiri). Beliau menyelongkar isu seksualiti wanita secara bersahaja sehingga ramai di panggung ketawa berdekah-dekah.
TIDAK KERING GUSI: Filem ‘La Luna’ yang bermakna bulan dalam bahasa Sepanyol, dibintangi Sharifah Amani selaku Hanie Abdullah (kiri). Beliau menyelongkar isu seksualiti wanita secara bersahaja sehingga ramai di panggung ketawa berdekah-dekah. - Foto CLOVER FILMS/PAPAHAN FILMS
GANDINGAN SERASI: Shaheizy Sam selaku duda dengan anak remaja dan Sharifah Amani sebagai wanita feminis yang ingin memperjuangkan hak kaum sejenis merupakan gandingan serasi dalam filem ‘La Luna’.
GANDINGAN SERASI: Shaheizy Sam selaku duda dengan anak remaja dan Sharifah Amani sebagai wanita feminis yang ingin memperjuangkan hak kaum sejenis merupakan gandingan serasi dalam filem ‘La Luna’. - Foto CLOVER FILMS/PAPAHAN FILMS

Ada yang berwarna merah menyala. Ada pula yang penuh berenda.

Apakah kaitan antara wanita dengan pakaian dalam yang indah?

Itulah antara yang diketengahkan dalam filem La Luna yang kini ditayangkan di pawagam.

La Luna, yang bermakna bulan dalam bahasa Sepanyol, adalah sebuah filem ringan namun sarat dengan mesej tentang keyakinan diri dan pemerkasaan wanita.

Ketika kali pertama terbaca tajuk filem itu, sebagai seseorang yang membesar dalam era 1980-an, rentak lagu La Luna dendangan penyanyi Amerika, Belinda Carlisle, terus bermain-main dalam fikiran.

Namun, filem tulisan dan arahan pengarah Singapura, M. Raihan Halim, itu tidak berlatarbelakangkan era 1980-an.

Sebaliknya, Raihan membawa penonton menjengah ke Kampong Bras Basah, rujukan nakal pada perkataan jamak bagi ‘bra’ (coli dalam bahasa Inggeris) dan penduduk kampung yang agak tradisional.

Bayangkan kekecohan yang berlaku apabila Hanie Abdullah (lakonan Sharifah Amani) mengambil keputusan untuk membuka kedai pakaian dalam wanita yang diberi nama ‘La Luna’.

Menjual pakaian dalam wanita secara terbuka disifatkan sebagai tabu di kampung itu. Tindakan Hanie memperkenalkannya kepada kaum wanita adalah langkah yang cukup berani.

Bagaimanapun, Hanie mendapat tentangan hebat Tok Hassan (dibintangi Wan Hanafi Su) selaku ketua yang kuat mempertahankan kesucian kampung.

Disifatkan sebagai membawa pengaruh barat yang tidak seharusnya dibiarkan menyelinap masuk, Hanie disifatkan membawa unsur moden yang ‘menyesatkan’ orang kampung.

Berdasarkan gelak ketawa yang terus-terusan menggegarkan pawagam, ternyata Raihan berjaya membuat penonton terhibur dengan gelagat barisan pelakonnya yang begitu mencuit hati.

Secara peribadi, penulis tergelak apabila melihat bagaimana Raihan menyuntik babak di mana penduduk yang didapati melanggar peraturan kampung diarah untuk menjalani Perintah Kerja Pemulihan, atau Corrective Work Order (CWO).

CWO pernah menjadi antara usaha Singapura dalam menangani individu yang melanggar undang-undang seperti membuang sampah sembarangan.

Mereka kemudian perlu contohnya menyapu persekitaran dengan mengenakan vest yang turut memaparkan kesalahan yang mereka lakukan.

Sekiranya anda ke pawagam untuk menonton filem ini, usah terlepas membaca kesalahan yang mereka lakukan! Ia juga boleh buat anda ikut tergelak!

Dipersembahkan oleh Clover Films bersama Act 2 Pictures, One Cool Film dan Papahan Films, filem ini adalah gabungan usaha antara Singapura dengan Malaysia.

Antara lain, ia turut disokong Suruhanjaya Filem Singapura (SFC), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Namun, di tengah-tengah segala senda gurau dan gelak ketawa, Raihan turut memuatkan kisah pasangan suami isteri, Pa’at (Hisyam Hamid) dan Yam (Nadiya Nisaa) serta penderaan terhadap kaum wanita.

Dalam filem ini, Hisyam menonjolkan watak yang jarang dapat dilihat iaitu sebagai seorang suami yang mudah berang. Maklumlah, kita sudah biasa melihatnya menjadi hero tampan yang selalu memujuk dan ‘mencairkan’ hati wanita.

Penampilan beliau juga jauh berbeza daripada yang kerap ditonjolkan dalam aksi beliau sebelum ini. Pada awalnya, penulis sendiri tidak dapat mengesannya!

Bagi isterinya, kedai ‘La Luna’ menjadi tempat Yam mencari perlindungan daripada suami yang kaki pukul.

Hanie sekali gus menjadi tempat bagi kaum wanita di kampung itu meluah rasa dan dalam masa yang sama menyuntik keberanian dalam diri mereka.

Babak yang bagaimanapun membuat ramai pecah-pecah perut dibuatnya adalah aksi pasangan suami isteri, Ayob (Nam Ron) dan Enah (Farah Ahmad).

Mereka merupakan pasangan suami isteri dalam ‘kegersangan’ namun berjaya membangkitkan semula kehangatan apabila Enah mula cenderung membeli pakaian dalam dari ‘La Luna’.

Ekoran adanya babak intim sebegitu, maka filem La Luna dikategorikan sebagai PG13.

Nantikan juga babak kaum wanita di kampung itu, yang begitu ghairah dengan koleksi pakaian dalam yang diperkenalkan – ibarat mendapat suntikan semangat baru!

Penulis menyaksikan filem ini bersama anak bujang yang berusia 23 tahun kerana seperti dirinya, penulis juga suka menyaksikan persembahan lucu.

Ternyata Raihan tidak mengecewakan.

Meskipun usia kami berdua jauh berbeza, anak bujang penulis juga ikut terkekeh-kekeh ketawa.

Filem ini sesuai untuk mereka yang inginkan hiburan ringan tanpa mempersoalkan tentang isu moral seperti mengapa Salihin Arshad (Shaheizy Sam) tidak menghalang anak gadisnya, Azura Salihin (Syumaila Salihin) daripada keluar dating dengan Yazid (Wafiy Ilhan).

Dirakam di Malaysia, filem sepanjang 109 minit yang turut menjadi tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada Oktober adalah filem santai khusus buat segenap lapisan usia.

Dalam dunia yang kini bergolak dengan pelbagai isu geopolitik, La Luna membawa kelegaan meskipun buat seketika.

Kepada mereka yang mahu menontonnya, tinggalkan segala keresahan di pintu masuk pawagam.

Selami sahaja babak-babak yang mungkin akan membuat anda ketawa terbahak-bahak.

Kalau anda suka filem arahan Raihan sebelum ini iaitu Banting kerana usahanya memperkasa wanita menerusi watak gadis bertudung yang kemaruk gusti, anda akan lebih teruja dengan La Luna.

Apabila hati ikut berbunga, boleh juga anda berlagu, la... la... la... la...

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg