Topic followed successfully
Go to BHkuTiket hari tambahan konsert Siti dijual 29 Feb
Tiket hari tambahan konsert Siti dijual 29 Feb
Tiket hari tambahan konsert Siti dijual 29 Feb
Tiket bagi hari tambahan konsert, Fenomena – Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore, akan mula dijual di laman web Sistic mulai 2 petang, 29 Februari.
Dalam pada itu, antara 11 pagi dengan 1 petang, keutamaan diberikan kepada mereka yang telah mendaftar dan berada dalam senarai menunggu untuk membuat tempahan tiket bagi konsert pada 28 Jun.
Sebelum ini, tiket bagi konsert Tok Ti (panggilan buat Siti) yang dijadualkan berlangsung di Teater The Star pada 29 Jun laris dijual dalam sekelip mata.
Kerana peka dengan keinginan peminat, pihak penganjur SAH Entertainment yang diterajui penyanyi Singapura, Sufi Rashid, berusaha dengan pihak Tok Ti untuk mengadakan satu hari lagi bagi konsert, Fenomena – Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore.
Tok Ti sendiri yang mengumumkan tambahan hari bagi konsert tersebut di Instagram SAH Entertainment.
“Kami berbesar hati dapat menerbitkan konsert dua hari terbesar buat Datuk Seri Siti Nurhaliza buat julung-julung kalinya,” jelas jurucakap SAH Entertainment di Instagram.
Beberapa peminat Siti yang dihubungi Berita Harian (BH) ternanti-nantikan peluang menghadiri konsert itu kerana gagal mendapatkan tiket sewaktu penjualan bagi konsert 29 Jun.
“Nasib baiklah Tok Ti dan SAH Entertainment bersetuju nak buat konsert dua hari.
“Saya ingatkan saya terlepas langsung nak menonton dengan suami. Dah hampa benar sebab ingatkan nak sambut hari lahir suami dengan menghadiahkannya tiket konsert.
“Mujurlah, ada lagi peluang menonton konsertnya pada 28 Jun,” jelas Cik Siti Hajar Mohd Dom, 42 tahun, seorang guru.

