Kanak-kanak berpeluang menjadi ‘Wira Bumi’ dalam program Ms. Nat and the Zero Waste Heroes di Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) apabila ia diadakan sekali lagi pada 5 dan 6 Jun.

Dalam program satu jam itu, kanak-kanak dapat menyertai Ms. Nat dan rakan-rakannya untuk merendahkan Waste-O-Meter menerusi amalan mampan.

Melalui penceritaan interaktif, pergerakan fizikal dan kegiatan praktikal, kanak-kanak dan ibu bapa mereka dapat meneroka isu pembaziran makanan, pemuliharaan air serta amalan kemampanan mudah menerusi pendekatan yang menyeronokkan dan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.

Sesi ini diakhiri dengan laungan wira yang penuh bertenaga serta aktiviti menghasilkan lencana Wira Sifar Sisa daripada bahan kitar semula untuk dibawa pulang.

Menggabungkan permainan dengan pembelajaran yang bermakna, program Ms. Nat and the Zero Waste Heroes menawarkan pengalaman mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil memperkasakan kanak-kanak untuk mengambil langkah-langkah kecil dalam kehidupan seharian yang mampu membawa perubahan besar.

Program ‘Ms. Nat and the Zero Waste Heroes’ mengajak peserta meneroka isu pembaziran makanan, pemuliharaan air serta amalan kemampanan melalui penceritaan interaktif, pergerakan fizikal dan kegiatan praktikal.
Program ‘Ms. Nat and the Zero Waste Heroes’ mengajak peserta meneroka isu pembaziran makanan, pemuliharaan air serta amalan kemampanan melalui penceritaan interaktif, pergerakan fizikal dan kegiatan praktikal. - Foto CMSG

Program ini merupakan sebahagian daripada barisan program utama Musim Kanak-Kanak 2026 yang dianjurkan oleh CMSG dari 30 Mei hingga 28 Jun.

Edisi Musim Kanak-Kanak kali ini bertema ‘Kemampanan’ dan mengajak kanak-kanak menjadi ‘Wira Bumi’ sedang mereka membayangkan masa depan lebih hijau menerusi permainan, penerokaan dan rasa ingin tahu.

Tarikh: 5 dan 6 Jun

Masa: 2.30 hingga 3.30 petang

Bayaran: $20 seorang atau $64 untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak