Mungkin ramai di sini yang belum pernah mencuba masakan Myanmar.
Namun, tahukah anda bahawa restoran halal Myanmar pertama di Singapura dipercayai mula beroperasi di sini sejak 2009?
Restoran Zayyar, terletak di Peninsula Plaza di 111 North Bridge Road, dimiliki seorang Muslim Myanmar yang mendapati adanya kekurangan masakan halal Myanmar di Singapura.
Berbekalkan pengalaman perniagaan makanan dan minuman (F&B) daripada cawangan Zayyar di Malaysia sejak 1992, Encik Tin Maung Swe, juga dikenali sebagai Encik Musa, tampil membuka restoran hidangan Myanmar di Singapura.
Memandangkan Peninsula Plaza dikenali sebagai kampung Myanmar atau ‘Little Myanmar’ (kerana terdapat banyak kedai Myanmar yang lain), lokasi itu sangat sesuai untuk membuka kedai makanan halal Myanmar.
Mengendalikan restoran itu di Singapura kini ialah pengarah Zay Yar International Group, Encik Hla Shwe @ Maung Hle Shwe, juga dikenali sebagai Encik Muhammad Harniff, yang telah bermastautin di Singapura sejak 1996.
Encik Harniff, yang berasal dari Yangon, Myanmar, telah ke Singapura untuk bekerja sebagai jurutera geologi, namun mula berkecimpung dalam bidang F&B sejak 2015.
Menurutnya, ketika di Singapura, beliau merindui masakan Myanmar namun tiada restoran yang menyajikan hidangan halal Myanmar sebelum pembukaan Zayyar pada 2009.
“Sebelum Zayyar dibuka, saya hanya makan masakan India dan Melayu sahaja kerana itulah pilihan makanan halal biasa di Singapura. (Saya) Rindu masakan Myanmar,” seloroh Encik Harniff.
Restoran Zayyar menyajikan lebih 50 hidangan.
Selain hidangan ala carte, restoran itu turut menawarkan hidangan ala nasi Padang, tetapi dengan gandingan lauk-pauk masakan Myanmar.
Hidangan paling popular di Zayyar adalah beriani dam ayam ($10). Encik Harniff berkata beriani dam itu dimasak selama sekurangnya-kurangnya dua jam.
“Rasa beriani dam ayam Myanmar tidak boleh dibandingkan dengan masakan budaya lain. Walaupun serbuk atau bahan sama, sukatannya sangat berbeza.
“Cara masaknya juga lain. Kami meletakkan nasi dahulu, diikuti dengan dam (kuah berempah), dan kemudian nasi lagi.
“Ada sesetengah beriani dam, damnya diletakkan di atas nasi sahaja,” jelas Encik Harniff, yang turut menyatakan bahawa semua rempah beriani damnya juga diimport dari Myanmar.
Satu lagi hidangan popular adalah mohin kha, iaitu mi dengan kuah ikan ($6).
Hidangan itu sering digambarkan sebagai hidangan beraroma kegemaran orang Myanmar, menawarkan gabungan kompleks dengan perisa yang unik.
Asasnya adalah kuah ikan yang berlemak. Serai, halia dan bawang putih ditambah untuk memberikan aroma yang wangi dan sedikit pedas. Labu air turut ditambah untuk memberikan tekstur dan kemanisan.
Bagi hidangan sampingan, Encik Harniff berkata ramai orang Myanmar gemar hidangan laphat thuke, iaitu salad jeruk daun teh ($6).
Hidangan tradisional Myanmar ini memaparkan daun teh yang ditapai sebagai bahan utamanya.
Digabungkan dengan sayur-sayuran seperti kubis dan tomato, hidangan itu juga merangkumi kacang tanah yang dipanggang dan bijan yang ditaburkan untuk menambah tekstur dan aroma.
Dengan tambahan jus limau, sos ikan dan rempah-ratus, salad itu menawarkan rasa masam dan masin yang seimbang.
Hidangan itu juga mempunyai versi yang lebih menyegarkan, dengan menggunakan halia.
Satu lagi hidangan kegemaran orang Myanmar adalah chin paung kyaw ($6), iaitu daun asam goreng dengan rebung.
Menurut Encik Harniff, hidangan sayur itu, yang cukup memadai apabila digandingkan dengan nasi sahaja, laris dijual setiap hari.
Seperti nama daunnya, hidangan itu juga mempunyai rasa masam yang kuat disebabkan keasidan daun asam.
Dimakan dengan rebung, hidangan itu mengimbangi rasa masam daun itu dengan kerangupan rebung.
Encik Harniff turut berkongsi bahawa pada hujung minggu, restoran itu akan memilih salah satu hidangan mereka untuk dijual pada harga istimewa.
“Pada Ahad, kami tahu ramai orang Myanmar akan meluangkan masa di sini.
“Justeru kami akan tawarkan, misalnya beriani dam ayam kami, dengan harga $5 sahaja berbanding $10.
“Ini supaya semua dapat menikmati makanan Myanmar tanpa perlu risau tentang wang,” katanya.
Restoran itu boleh menampung sehingga 30 pelanggan pada setiap masa.
Apabila ditanya apakah rancangan masa depan Zayyar, Encik Harniff menjawab bahawa mereka tiada rancangan untuk membuka cawangan lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg