Sajian hotpot kini tidak terhad di restoran sahaja, malah ia boleh dinikmati terus di keselesaan ruang tamu anda.
Itulah khidmat istimewa tawaran restoran Haha Hotpot – membawa pengalaman makan hotpot yang sangat mudah dan penuh dengan cita rasa autentik sajian Sichuan dari China.
Pelanggan hanya perlu membuat pesanan dalam talian dan semuanya akan disiapkan dari mula hingga selesai makan.
Haha Hotpot akan menghantar hotpot ke rumah, termasuk kuali, dapur gas mudah alih dan juga bahan-bahan yang dipesan.
Setelah selesai makan, mereka kemudian akan kembali untuk mengambil semula periuk dan dapur gas.
“Ketika pandemik melanda, kami menyedari betapa sukarnya untuk menikmati hidangan hotpot bersama keluarga dan rakan-rakan,” kata pemilik HaHa Hotpot, Encik Roesmanhady Aman, 26 tahun, yang telah memulakan perniagaannya pada 2021.
Memandangkan isterinya seorang warga China, mereka berdua menyedari terdapat lowongan yang boleh dimanfaatkan.
“Kami turut menyedari adanya kekurangan peluang untuk menikmati masakan autentik Sichuan dalam kalangan masyarakat Muslim.
“Ini memberi kami motivasi dan hasrat untuk memastikan setiap individu, terutamanya masyarakat Muslim, dapat menikmati pengalaman ini dengan selesa dan mudah,” tambah Encik Roesmanhady.
Menurutnya, sambutan penghantaran hotpot amat memberangsangkan dan ini mendorongnya untuk membuka restoran fizikal di Upper Jurong Road pada 2022 dan satu lagi cawangan di Jalan Pisang pada 2023.
Restorannya menawarkan lima jenis sup – cendawan, tomato, makanan laut, kolagen dan mala.
Menurutnya, sup yang paling popular adalah sup mala Sichuan dengan tiga tahap kepedasan.
Sup merah itu mengandungi lada khas Sichuan yang boleh membuat lidah terasa pijar.
“Selalunya apabila pelanggan tergigit lada Sichuan ini, mereka akan rasa pedas...
“Langsung, bunyi yang mereka akan lafazkan adalah ‘ha ha’ sebagai isyarat bahawa ia pedas.
“Itulah sebab mengapa restoran ini dipanggil HaHa Hotpot,” seloroh Encik Roesmanhady.
Antara lain, beliau juga berkata sajian hotpot sering dikelilingi dengan kebahagiaan dan gelak tawa, lantas satu lagi sebab ia dipanggil ‘HaHa’.
Resipi sup yang ditawarkan adalah sumbangan ibu mentuanya yang masih menetap di China.
“Selepas mendapat resipinya, kami mengupah seorang cef profesional untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk perniagaan kami,” tambahnya.
Restoran HaHa Hotpot menawarkan lebih 70 bahan untuk dinikmati bersama hotpot termasuk daging wagyu premium, gred MB8 yang berharga $59.90 bagi setiap hidangan.
Pakej penghantaran ke rumah pula bermula serendah $69.90.
Ia mengandungi lima jenis daging, tiga jenis makanan laut, lima jenis sayur dan dua sup pilihan untuk dinikmati seramai tiga orang.
Standard dan mutu bahan-bahannya turut menjadi keutamaan.
Encik Roesmanhady memastikan bahan yang digunakan adalah yang paling segar dan setiap aspek hidangan memenuhi piawaian yang tertinggi.
“Kami percaya bahawa pengalaman hotpot yang seronok adalah lebih daripada sekadar makanan.
“Ia juga mengambil kira perasaan dan juga kesegaran makanan tersebut,” jelasnya, yang sebelum ini bekerja sebagai pereka laman web.
Beliau menekankan bahawa khidmat mereka bukan hanya untuk masyarakat Islam sahaja.
Malah, restoran itu juga mengalu-alukan semua bangsa untuk menikmati hidangan mereka.
“Kami ingin mewujudkan pengalaman bersama di sekitar hotpot yang mampu menyatukan orang ramai, tanpa mengira keperluan pemakanan mereka,” tambahnya.
Bagi sesiapa yang ingin menikmati pengalaman hotpot dengan mudah, mereka boleh mencuba HaHa Hotpot.
Pelanggan boleh membuat pesanan dengan mudah melalui laman www.hahahotpot.com untuk khidmat penghantaran ke rumah.
Diharap setiap suapan hotpot mencipta kenangan indah bersama orang tersayang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg