Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah malu, ragu bawa anak keperluan khas melancong

Ibu lima anak kongsi tip bawa kembar autistik bercuti, persiapan bermula enam bulan sebelumnya
May 18, 2025 | 5:30 AM
autistik, autisme, melancong, berkeperluan khas
Cik Nor Hafizah Abdul Ghani (tengah) dan anak kembarnya, Yousef Asir Zulkefli (kiri) dan Yousef Asif Zulkefli bergambar berlatarbelakangkan Gunung Fuji di Jepun pada Disember 2024. - Foto ihsan NOR HAFIZAH ABDUL GHANI

Menguruskan keperluan sehari-hari anak berkeperluan khas sudah cukup mencabar bagi ibu bapa, apatah lagi membawa mereka bercuti ke luar negara dalam suasana serba baru.

Justeru, tidak hairanlah sebahagian ibu bapa menguburkan niat membawa anak mereka yang berkeperluan khas melancong.

Namun bagi ibu sepasang kembar autistik, Cik Nor Hafizah Abdul Ghani, 52 tahun, hal ini tidak langsung melemahkan keinginan beliau untuk mendedahkan anaknya kepada keindahan dunia.

Malah, ia menjadi pemangkin semangat buatnya untuk menjadikan pengembaraan ke luar negara suatu kebiasaan, tidak kira menerusi perjalanan darat ataupun udara.

“Walaupun kembar saya didiagnos hidapi austisme, saya percaya mereka juga seperti anak-anak ‘neurotypical’ (minda berkeupayaan normal) yang memerlukan lebih banyak bantuan.

“Mereka juga berhak mendapat peluang melihat dunia.

“Saya tidak mahu bersikap mementingkan diri sendiri, bercuti tanpa membawa mereka semata-mata kerana mereka autistik,” ujar pengasas perniagaan kecantikan itu penuh positif.

Setakat ini, beliau sudah enam kali membawa kembar autistiknya ke luar negara dengan pesawat dan 15 kali menerusi perjalanan darat.

BANYAK PERSIAPAN, LANGKAH DEMI LANGKAH

Begitupun, beliau akui bahawa persiapannya sangat mencabar dan bermula dari enam bulan sebelum tarikh keberangkatan.

Ini termasuk mengenal pasti waktu penerbangan paling sesuai dan merancang jadual perjalanan agar ia tidak terlalu padat dan mengikut cita rasa kembarnya.

Beliau juga perlu menyiapkan beberapa kad bergambar yang juga dikenali sebagai PECS (Sistem Pertukaran Komunikasi Bergambar) yang membantu beliau mengetahui apa yang diperlukan dan diinginkan anak-anaknya.

PECS merupakan sistem yang digunakan bagi individu yang menghadapi kesukaran bertutur secara lisan, terutama kanak-kanak autisme seperti kembar Cik Hafizah, Yousef Asir Zulkefli dan Yousef Asif Zulkefli, yang kini berusia 14 tahun.

Sistem Pertukaran Komunikasi Bergambar atau dikenali sebagai PECS merupakan kad bergambar yang digunakan bagi individu yang menghadapi kesukaran bertutur secara lisan.
Sistem Pertukaran Komunikasi Bergambar atau dikenali sebagai PECS merupakan kad bergambar yang digunakan bagi individu yang menghadapi kesukaran bertutur secara lisan. - Foto NOR HAFIZAH ABDUL GHANI
Sistem Pertukaran Komunikasi Bergambar atau dikenali sebagai PECS merupakan kad bergambar yang digunakan bagi individu yang menghadapi kesukaran bertutur secara lisan.
Sistem Pertukaran Komunikasi Bergambar atau dikenali sebagai PECS merupakan kad bergambar yang digunakan bagi individu yang menghadapi kesukaran bertutur secara lisan. - Foto NOR HAFIZAH ABDUL GHANI

“Sebelum tarikh penerbangan, saya akan membawa mereka ke Lapangan Terbang Changi dan menjelaskan kepada mereka proses melalui imigresen supaya mereka boleh jangkakan apa yang akan berlaku,” ujarnya.

Oleh kerana kanak-kanak autistik tidak biasa dengan perkara berlaku secara spontan, Cik Hafizah juga akan kira detik sehingga tarikh perjalanan berbulan lebih awal sebelum keberangkatan, supaya dapat mempersiapkan anak-anaknya dari segi mental.

GUNA KOD DPNA DI PENERBANGAN

Menyentuh tentang persiapan menaiki pesawat, Cik Hafizah menggesa agar ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas lain memanfaatkan kod DPNA, akronim yang membawa maksud Penumpang Kurang Upaya dengan Hilang Upaya Intelek atau Perkembangan Yang Memerlukan Bantuan.

Bagi percutian terakhirnya ke Jepun pada Disember 2024, Cik Hafizah memaklumkan syarikat penerbangan yang ditempahnya dengan menggunakan kod tersebut sebagai sebahagian permintaan perkhidmatan khas (SSR).

Apabila kod DPNA dimasukkan sewaktu tempahan, syarikat penerbangan akan memberi bantuan yang diperlukan termasuk keutamaan menaiki pesawat.

Justeru, Cik Hafizah berkongsi bahawa perjalanannya dari mula beliau melalui imigresen, naik pesawat hingga mengambil bagasi sangat lancar dan laju, tanpa sebarang tekanan membawa kembar autistiknya.

“Saya mahu kru kabin mahupun penumpang tahu bahawa saya sedang menaiki penerbangan dengan sepasang anak berkeperluan khas, sekiranya mereka menangis dan sebagainya.

“Malah dengan kod tersebut, saya menerima layanan yang sangat baik, melepasi jangkaan saya sendiri,” ujar ibu lima anak itu.

Selain kru kabin yang prihatin tentang kesejahteraan mereka sepanjang penerbangan, Cik Hafizah dan anak-anaknya juga didampingi pegawai di lapangan terbang bak ‘bodyguard’ untuk mendapat keutamaan melalui imigresen, tanpa perlu beratur panjang bersama pengunjung lain.

USAH MALU ISYTIHAR KEADAAN ANAK KEPERLUAN KHAS

Kembar Yousef Asir Zulkefli (kiri) dan Yousef Asif Zulkefli berjalan-jalan di Jepun menggunakan lanyard kurang upaya dan fon kepala bersama ibu mereka, Cik Nor Hafizah Abdul Ghani.
Kembar Yousef Asir Zulkefli (kiri) dan Yousef Asif Zulkefli berjalan-jalan di Jepun menggunakan lanyard kurang upaya dan fon kepala bersama ibu mereka, Cik Nor Hafizah Abdul Ghani. - Foto ihsan NOR HAFIZAH ABDUL GHANI

Selain itu, Cik Hafizah berkata penting bagi anak-anak dengan keperluan khas memakai lanyard yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka berkeperluan khas.

Lanyard hijau dihiasi bunga matahari yang juga dikenali sebagai ‘Hidden Disabilities Sunflower’ (Bunga Matahari Kurang Upaya Tersembunyi) yang dipakai kembarnya membantu memberi isyarat bahawa anak-anaknya mengalami keadaan kurang upaya yang tidak kelihatan dengan jelas, secara zahir.

Lanyard tersebut turut mengandungi Kad Pengenalan Pejabat Daftar Pembangunan Orang-orang Cacat (DDR) yang ditadbir SG Enable.

“Saya tak rasa malu dan ia bukan kerana saya ingin meletakkan label tersebut ke atas anak saya.

“Namun ini adalah satu langkah keselamatan.

“Lanyard tersebut mengandungi maklumat kontak sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak dijangka,” ujarnya.

Malah, lanyard tersebut dapat membantu orang lain memahami keadaan anak tersebut sekiranya berlaku ‘meltdown’, di mana keadaan seseorang hilang kawalan ke atas kelakuannya dan mengamuk.

Cik Hafizah juga menyiapkan sepasang fon kepala yang digunakan kembarnya untuk membantu mengawal penerimaan deria, terutama bunyi, yang boleh menjejas deria mereka.

PERCUTIAN KUKUH HUBUNGAN KELUARGA

Walau bukan mudah, Cik Hafizah percaya bahawa bercuti ke luar negara dapat menguatkan hubungan kekeluargaan, malah mengajar tiga anaknya yang lain untuk turut membantu mengurus adik kembar mereka yang autistik.

“Ada ibu bapa yang takut ingin melancong.

“Usah rasa malu, usah rasa diri tidak mampu. Yang penting, pastikan anda melalui proses bertahap untuk menyesuaikan anak menaiki penerbangan.

“Juga pastikan anda kekalkan minda terbuka, anggap percutian itu sebagai proses untuk belajar lebih lanjut tentang anak-anak anda,” katanya.

TIP BAWA ANAK BERKEPERLUAN KHAS BERCUTI:

  1. Apabila tempah penerbangan, maklumkan syarikat penerbangan dengan kod DPNA.
  2. Isytiharkan keadaan anak dengan menggunakan lanyard seperti ‘Hidden Disabilites Sunflower’ dari Britain, dan bawa kad pengenalan dari SG Enable.
  3. Gunakan teknologi AirTag dan gelang tangan sebagai langkah keselamatan.
  4. Sediakan strategi untuk membantu anak mengawal perasaan dan deria, antaranya fon kepala, mainan, selimut, snek kegemaran, tablet.
  5. Bawa alat sokongan komunikasi untuk memudahkan perhubungan dengan anak, antaranya kad bergambar bagi anak yang tidak dapat bertutur secara lisan.
  6. Sediakan anak secara mental, antaranya bawa ke lapangan terbang, jelaskan proses menaiki pesawat, biasakannya dengan menyaksikan video mengenai pelancongan dan kira detik hingga tarikh keberangkatan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg