Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha ibu bapa sokong peralihan anak ke Darjah 1

Oct 30, 2025 | 5:30 AM
Chris Loh, Sekolah Rendah Dazhong
Penulis, yang merupakan Pengetua Sekolah Rendah Dazhong, berpendapat sekolah rendah bukan sekadar tempat untuk kanak-kanak belajar, malah ia juga tempat mereka berinteraksi dengan orang lain, mengurus emosi, dan membesar sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat. - Foto fail

Bagi ramai kanak-kanak, melangkah ke sekolah rendah bukan sekadar pengalaman mengujakan bahkan juga mendebarkan.

Ia merupakan dunia baru dengan persekitaran berbeza, dan rutin hariannya juga tidak sama.

Selain rasa teruja, adalah perkara biasa bagi anak-anak dan ibu bapa berasa cemas.

Saya telah bertemu ramai ibu bapa yang meluahkan kebimbangan tentang bagaimana anak mereka akan menyesuaikan diri dalam persekitaran baru apabila mereka melangkah masuk ke Darjah 1.

Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita mahu memastikan peralihan itu berlangsung dengan lancar dan positif.

Pupuk minat belajar melalui rasa ingin tahu

Salah satu sifat semula jadi kanak-kanak adalah rasa ingin tahu mereka.

Di sekolah, guru memanfaatkan sifat itu untuk mencetuskan semangat pembelajaran murid.

Sebagai contoh, penceritaan dramatik boleh menarik perhatian mereka kepada jalan cerita.

Sementara itu, guru turut menggalakkan mereka bertanya soalan untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan memupuk minat terhadap bahasa.

Guru turut melibatkan murid dalam kegiatan membabitkan pelbagai barang fizikal, sekali gus membolehkan murid belajar dan cuba mencari cara sendiri untuk menyelesaikan cabaran.

Pendekatan itu membantu murid rasa seronok belajar, di samping mengasah kemahiran berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah.

Ibu bapa juga boleh memupuk semangat yang sama di rumah.

Sokonglah perkembangan anak dengan memberi mereka peluang untuk mencuba, gagal, dan mencuba lagi dalam tugasan mudah seperti mengikat tali kasut, atau menyediakan makanan ringan.

Walaupun sukar, cuba mengelak daripada dorongan untuk segera membantu mereka.

Memberi ruang kepada anak untuk belajar daripada kesilapan adalah kunci kepada pembentukan keyakinan diri, harga diri, dan daya tahan.

Apabila mereka berfikir dan meneroka idea baru, mereka mengasah daya cipta dan menjadi lebih terbuka menerima bimbingan.

Sebagai seorang bapa, saya sendiri sering membawa anak saya berjalan santai di taman atau pantai agar mereka bebas meneroka dan menemui perkara baru.

Saya sering kagum dengan soalan yang mereka ajukan, dan menggunakan detik itu untuk mencabar mereka mencari jawapan sendiri.

Suatu ketika, kami terserempak dengan ayam di kawasan berhutan. Apabila anak perempuan saya bertanya siapakah yang memberi mereka makan, saya menjelaskan bahawa ayam itu hidup bebas dalam persekitaran semula jadi dan boleh mencari makanan sendiri.

Saya kemudian memintanya memerhatikan ayam itu selama 10 minit dan meneka bagaimana mereka mencari makanan sebelum saya menerangkan tentang kitaran hidupnya.

Detik seperti itu memupuk rasa kegembiraan anak untuk belajar dengan mencetuskan rasa ingin tahunya secara semula jadi.

Perkukuh kemahiran hidup

Satu nasihat yang sering saya kongsikan dengan ibu bapa adalah, sekolah rendah bukan sekadar tempat untuk anak belajar dan mendapat markah.

Ia juga tempat untuk belajar berinteraksi dengan orang lain, mengurus emosi, dan membesar sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Ramai kanak-kanak hari ini datang daripada keluarga kecil dan mungkin kurang berpeluang bergaul dalam kumpulan besar untuk belajar berkongsi, melakukan kegiatan secara bergilir, dan mengurus konflik atau perbezaan pendapat.

Di sekolah, guru menyediakan pelbagai ruang untuk interaksi sosial dan sentiasa bersedia memberikan sokongan tambahan kepada murid Darjah 1 bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam berinteraksi dengan rakan.

Apabila anak anda mula menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial baru, sokongan anda dalam membimbing perkembangan emosi mereka menjadi semakin penting.

Luangkan masa untuk bertanya tentang hari dan rakan mereka kerana ini akan membantu anda memahami bagaimana mereka menjalin hubungan.

Jadilah pendengar yang baik, sahkan perasaan mereka dan dorong usaha mereka, sambil membantu mereka menilai semula jika ada tindakan yang kurang sesuai.

Kanak-kanak perlu rasa bahawa persahabatan, tindakan, dan keputusan mereka dihargai oleh ibu bapa.

Namun begitu, saya menggalakkan ibu bapa agar memberi ruang kepada anak menyelesaikan konflik kecil tanpa campur tangan.

Walaupun naluri kita mahu melindungi mereka daripada ketidakselesaan, membiarkan mereka mengurus perbezaan pendapat kecil secara berdikari membantu mereka membina kemahiran hidup yang penting.

Ini memberi mereka peluang untuk menerapkan kemahiran sosial dan emosi yang dipelajari dalam mata pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).

Beri sokongan dan nasihat, tetapi biarkan mereka membuat keputusan sendiri.

Pengalaman awal itu menjadi asas kepada pembinaan daya tahan emosi anak.

Bantu anak sedia langkah ke sekolah rendah

Adalah penting untuk membantu anak bersedia menghadapi peralihan ke sekolah rendah secara bertahap-tahap seiring sokongan penuh.

Selain aspek akademik, prasekolah memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah seperti kecekapan sosial dan emosi, serta sikap positif terhadap pembelajaran.

Sebagai contoh, kurikulum di Tadika Kementerian Pendidikan (MK) direka untuk memberi tumpuan kepada perkembangan holistik sejak awal.

Murid Tadika 2 (K2) turut didedahkan kepada kehidupan di sekolah rendah dan belajar mengurus emosi yang berkaitan dengan perubahan yang mungkin mereka alami apabila memasuki Darjah 1.

Di MK@Dazhong, murid K2 diberi peluang mengikuti lawatan berpandu di sekolah rendah kami.

Mereka juga boleh menyertai kegiatan bersama murid Darjah 1 dan memerhati sesi pembelajaran mereka.

Kegiatan itu membantu mereka membiasakan diri dengan persekitaran dan rutin baru, menjadikan proses penyesuaian lebih menyeronokkan dan kurang menakutkan.

Ramai ibu bapa memberitahu saya pengalaman seperti itu telah mengurangkan kebimbangan anak mereka untuk memulakan sekolah rendah, namun masih ada yang tertanya-tanya bagaimana cara terbaik untuk membantu anak mereka bersedia menghadapi pembelajaran di Darjah 1.

Saya sentiasa menekankan pentingnya membantu anak menerapkan sikap yang betul terhadap pembelajaran dan memahami konsep mengikut kadar yang sesuai dengan mereka.

Di sekolah, guru memberi tumpuan kepada usaha membantu murid memahami dan menggunakan bahasa dalam konteks bermakna, mewujudkan suasana pembelajaran yang autentik di mana mereka berasa selesa dan yakin untuk meluahkan diri dengan bebas.

Apabila keyakinan mereka meningkat, mereka secara semula jadi menjadi lebih ingin tahu untuk meneroka cara penggunaan bahasa lebih kompleks.

Dalam mata pelajaran Matematik, guru menggunakan bahan maujud untuk membantu murid memahami konsep dan melihat hubungan antara idea, menjadikan konsep abstrak lebih mudah difahami.

Ibu bapa boleh menyokong perkembangan anak mereka dengan membantu mereka mengaitkan apa yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan seharian.

Sebagai contoh, meminta anak mengira jumlah buah atau barang yang hendak dibeli di pasar raya boleh membantu mereka mempraktikkan kemahiran menghitung.

Di rumah, amalan membaca bersama setiap hari boleh memupuk minat membaca dan keyakinan anak dalam menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa ibunda.

Nasihat saya kepada ibu bapa adalah agar bersabar dan memberi ruang kepada anak untuk memproses pembelajaran mereka pada usia yang masih muda itu.

Jangan membebankan mereka dengan latihan yang berulang secara berlebihan hanya untuk menguasai sesuatu kemahiran, kerana ia boleh mengurangkan kegembiraan mereka terhadap pembelajaran.

Bentuk jalinan sokongan untuk anak

Akhir sekali, saya menggalakkan ibu bapa agar membentuk jalinan kerjasama yang kukuh dengan pihak sekolah dan guru anak anda.

Walaupun sekolah menyediakan persekitaran untuk perkembangan dan guru membimbing anak anda di dalam kelas, anda boleh memperkukuh usaha itu di rumah serta berkongsi pandangan dengan pihak sekolah dan guru tentang kekuatan, cabaran dan minat anak anda.

Ini akan mewujudkan satu sistem sokongan yang menyeluruh untuk anak anda.

Tunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak keseorangan dalam perjalanan pembelajaran itu.

Peralihan ke sekolah rendah mungkin terasa mencabar, tetapi dengan rangkaian sokongan seperti ini, kita dapat menjadikannya satu pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan bagi anak kita.

Penulis ialah Pengetua di Sekolah Rendah Dazhong yang terletak di Bukit Batok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg