Seorang wanita berusia 30-an tahun kehilangan $330,000 selepas menghantar wang kepada “rakan dalam talian”, walaupun berulang kali diberi amaran oleh kakitangan bank dan polis.
Wanita itu telah bertemu lelaki itu dalam talian dan mempercayainya sepenuhnya, malah menandatangani borang ganti rugi dengan bank OCBC untuk bertanggungjawab ke atas risiko yang terlibat.
Lelaki tersebut telah menjanjikan peluang pelaburan pulangan tinggi kepadanya.
Wanita itu juga membuat pinjaman untuk membiayai pemindahan, dan kini tinggal dengan kurang daripada $600 untuk dirinya.
Penyiasat antipenipuan OCBC, Cik Peck Chun Hua, memberitahu akhbar Shin Min Daily News bahawa kakitangan bank mula mencuriga transaksi tersebut pada 16 April 2024, apabila mereka menyedari wanita itu cuba memindahkan $20,000 ke akaun antarabangsa.
Mereka juga memerhatikan bahawa tidak ada transaksi sebelum ini antara kedua-dua pihak.
Apabila seorang penganalisis penipuan menghubungi wanita itu untuk mengesahkan pemindahan itu, beliau mendakwa ia adalah pinjaman kepada rakan dan meminta bank untuk meluluskannya.
Bagaimanapun, penganalisis itu menyatakan bahawa suara wanita itu seakan gementar dan tidak dapat mewajarkan pemindahan itu.
Semasa panggilan itu, penganalisis itu juga mendapati bahawa wanita itu telah cuba memindahkan wang ke dua akaun berbeza, kedua-duanya dipautkan ke alamat e-mel tanpa nama atau tujuan yang jelas.
Dengan maklumat yang berbaur mencurigakan, penganalisis itu menghubungi Cik Peck, yang segera memaklumkan polis di pusat antipenipuan.
Akaun penerima telah pun ditandakan sebagai mencurigakan oleh pihak bank.
Menyedari persamaan kes itu dengan kes penipuan lain, Cik Peck segera menyekat pemindahan itu dan memaklumkan pihak berkuasa.
Timbalan Penguasa Polis Encik Timothy Ng, pegawai yang bertanggungjawab di pusat antipenipuan, berkata walaupun selepas pihak polis campur tangan, wanita itu tetap berdegil dengan pendiriannya bahawa beliau tidak ditipu.
Beliau juga menghubungi pusat khidmat bank, meminta mereka meluluskan pemindahannya.
Beberapa hari kemudian, wanita itu memindahkan sekitar $30,000 dari akaun lain ke akaun antarabangsa di bawah namanya.
Sebagai tindak balas, penyiasat menggantung akaun itu untuk menghalang pemindahan selanjutnya kepada penipu.
Walaupun mengadakan pertemuan dengan wanita itu untuk memberi amaran dan menghalangnya, wanita itu berkeras supaya bank membuka semula akaun dan membenarkan pemindahan itu.
Selepas beberapa pusingan untuk memujuknya, wanita itu menandatangani borang indemniti, mengakui risiko yang terlibat.
Beliau mempunyai sekitar $130,000 dalam dua akaunnya pada ketika itu.
Malangnya, dua bulan kemudian, wanita itu akhirnya menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis.
Laporan itu mendedahkan bahawa beliau mempunyai baki kurang daripada $600 di seluruh akaunnya.
Wanita itu mengakui bahawa dirinya telah diperdaya oleh penipu, yang telah menjanjikan peluang pulangan pelaburan yang tinggi.
Secara keseluruhan, wanita itu membuat 27 pemindahan, kehilangan hampir $330,000, termasuk kedua-dua simpanan dan pinjamannya yang diambil daripada pelbagai bank.
Cik Peck meluahkan rasa kecewa dan sedih, dan menyatakan bahawa walaupun pihak bank dan pihak berkuasa berusaha untuk campur tangan, wanita itu terus mempercayai penipu dan enggan bekerjasama.
Bagi melindungi bakal mangsa penipuan seperti wanita itu, Rang Undang-undang Perlindungan untuk Penipuan telah dibentangkan di Parlimen pada 11 November 2024.
Rang undang-undang itu, jika diluluskan, akan menyaksikan polis mengeluarkan Perintah Sekatan (RO) kepada bank untuk menyekat transaksi perbankan individu yang dipercayai membuat pemindahan wang kepada penipu.
Seorang pegawai polis akan membuat keputusan untuk mengeluarkan RO berdasarkan penilaian fakta dan keadaan setiap kes.
RO akan dikeluarkan hanya sebagai “pilihan terakhir”, selepas pilihan lain untuk meyakinkan individu itu kehabisan, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan akhbar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg