Dalam dunia seorang ibu, setiap anak adalah anugerah – tidak kira bagaimana uniknya mereka.
Dalam edisi khas sempena Hari Ibu yang jatuh pada 11 Mei 2025, kami bawakan, ‘Warkah daripada Bonda’, surat yang ditulis oleh ibu yang dikurniakan anak-anak istimewa.
Lewat bait kata mereka, terserlah kekuatan, harapan, dan kasih sayang tanpa syarat yang menjadi nadi kehidupan keluarga mereka.
Semoga setiap helaian warkah ini menyentuh hati dan menyemarakkan lagi penghargaan kita terhadap ibu yang tidak pernah lelah membesarkan anak-anak mereka dengan penuh rasa cinta.
Daripada ibu, Julianawarti Jumali
Aydan, Aadil dan Amelie yang ibu sayangi,
Setiap hari ibu mendoakan agar kamu sentiasa menyedari betapa kamu dikasihi, bukan hanya oleh ibu, bahkan juga oleh satu sama lain.
Aydan, putra sulung ibu, ibu doakan jiwamu sentiasa tenang. Perjalananmu mungkin berbeza daripada insan-insan lain, namun ia tidak kurang bererti, tidak kurang bercahaya.
Aydan seorang yang istimewa, dengan masa depan yang cerah, penuh matlamat untuk dicapai dan kejayaan untuk digenggam.
Setiap hari, Aydan mengajar kita sekeluarga tentang erti kasih tanpa batas, nilai kesabaran, dan kebahagiaan sejati.
Aydan ialah rahmat Sang Pencipta buat kita. Rahmat dan keberkatan yang akan melindungi keluarga kita sampai bila-bila. Nilaimu, Aydan, bukan diukur dengan kaca mata dunia, tetapi dengan hati nuranimu yang suci.
Kepada Aadil dan Amelie, harapan ibu buat kamu berdua mudah tetapi penting – cintailah abangmu sepenuh jiwa, tanpa syarat.
Akan tiba hari-hari apabila kesabaran terasa sukar, dan kemampuan untuk memahami terasa jauh.
Namun, ingatlah, cinta bukan tentang kesempurnaan. Ia terbina daripada kesanggupan mengharungi segala rintangan, lebih-lebih lagi apabila perjalanan kita penuh onak dan duri.
Lindungilah Abang Aydan, dan tempuhi suka duka kehidupan ini bersama-sama. Beradab dalam bicara, maafkan kesilapan, berbuat baik meskipun sukar, dan jadilah sumber kekuatan antara satu sama lain.
Satu hari nanti, apabila kamu bertiga dewasa dan kehidupan membawa kamu ke jalan berbeza, ibu berharap kamu tetap mencari jalan untuk kembali kepada satu sama lain – bukan kerana terpaksa, tetapi kerana kamu mahu.
Jaga satu sama lain, perkukuhkan ikatan adik-beradik. Hubungan kamu adalah harta yang tak ternilai. Ia akan menjadi kompas yang membawa kamu keluar daripada badai kehidupan, dan menggantikan duka dengan kegembiraan.
Ke mana pun arus hidup membawa kamu, apa pun impian yang kamu kejar, ingatlah, keluarga itu kekal selamanya. Kasih yang kamu kongsi akan sentiasa menyatukan kamu.
Salam kasih,
Daripada ibu yang mencintai kamu bertiga, kini dan selamanya.
Daripada ibu, Suraiyah Abdul Malek
Mummy tulis ini khas untuk anak Mummy, Muhd Rizqy.
Tak mudah nak jaga anak istimewa, tapi Allah dah pilih Mummy untuk jaga kamu.
Kenapa Mummy tergerak hati nak namakan kamu Rizqy? Sebab masa Mummy hamilkan kamu pada 2011, rezeki Mummy mengalir lancar. Tapi setiap apa yang Dia beri, datang bersama ujian.
Siapa sangka Rizqy anak autistik. Diagnosed masa umur empat tahun. Mummy ikut saja apa cikgu nasihat, sampai jumpa doktor pakar autisme.
Tahun yang sama, abangmu, Firmansyah, juga didiagnosis disleksia masa dia Darjah 4. Otak Mummy masa tu penuh, nak hadam semuanya. Nak menangis pun air mata dah kering. Tapi cikgu-cikgu sekolah banyak bantu dan bagi semangat.
Sekarang, abang Firmansyah dah 19 tahun, masih belajar di Nitec Lanjutan.
Balik kepada Rizqy... dari umur empat tahun hingga sekarang, dah 14 tahun, kamu setia di sekolah khas.
Ada hari Mummy sedih tengok Rizqy tak sama macam kanak-kanak lain yang boleh berdikari, boleh main apa yang mereka mahu. Rizqy masih suka main di playground (taman permainan), masih suka main kereta mainan. Tapi Mummy tetap syukur, sebab Rizqy boleh bercakap dan faham apa kita cakap.
Setiap malam sebelum tidur, Rizqy akan buka surah-surah. Mungkin itu cara kamu tenangkan hati dan lelapkan mata.
Mummy doakan, walau perjalanan kita tak sama dengan orang lain, kita tetap kuat. Sebab Rizqy, kamu adalah rezeki Mummy yang paling berharga.
Daripada ibu, Norismilda Ismail
Kepada permata hati Mom, Naufal dan Naurah,
Sepasang cahaya mata yang berbeza watak dan sifatnya. Kelahiran kamu juga berbeza – Naufal lahir secara normal, Naurah melalui operasi.
Berbeza umur hanya setahun, tetapi cukup membuat Mom dewasa dan matang sebagai ibu.
Naufal, Mom bersyukur walaupun banyak ujian dan kesabaran yang harus Mom lalui demi membesarkan kamu.
Alhamdulillah, Mom tak pernah rasa terbeban. Apabila Mom dapat tahu kamu didiagnosis autisme masa Darjah 3, terasa seolah-olah Allah nak uji kemampuan Mom.
Tapi hikmahnya, Mom dapat ilmu yang boleh dikongsi dengan orang lain yang senasib di luar sana.
Naurah, kadang-kadang Mom terlupa kamu anak bongsu, sebab cara kamu fikir dan tanggungjawab kamu terhadap abangmu, Naufal, mematangkan kamu melebihi usia.
Terima kasih sebab selalu bantu Mom, jadi ‘kakak’ kepada abang kamu.
Terima kasih kerana menjadikan Mom ibu kamu berdua, dari rahim ini.
Mom sentiasa doakan kesihatan, kesejahteraan dan kejayaan untuk kamu berdua dan untuk keluarga kita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg