Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berat badan susut, perangai pun berubah?

Penurunan berat badan, terutama dengan bantuan ubat seperti ‘Ozempic’, boleh beri kesan kepada emosi dan personaliti
May 7, 2025 | 5:30 AM
berat badan, risiko kesihatan, berat badan
Mengambil ubat untuk menurunkan berat badan mempunyai banyak risiko kesihatan. - Foto ISTOCKPHOTO

Kian ramai wanita kini menggunakan ubat popular seperti, Ozempic, untuk menurunkan berat badan.

Hasilnya memang ketara – badan lebih ringan, selera makan terkawal, dan angka di alat penimbang pun makin turun.

Tapi, di sebalik senyuman di cermin, ada segelintir yang mula perasan, kenapa diri ini terasa lain?

“Ini bukan sekadar soal fizikal. Penurunan berat badan, terutama dengan bantuan ubat seperti Ozempic, sebenarnya boleh memberi kesan kepada emosi dan personaliti seseorang,” jelas Pakar Endokrinologi dari New York-Presbyterian Hospital, Dr Rekha Kumar.

Ozempic adalah sejenis ubat yang pada asalnya dicipta untuk pesakit kencing manis, tetapi, kini kerap digunakan untuk menurunkan berat badan.

Dalam istilah mudah, ia berfungsi dengan menghantar isyarat kepada otak bahawa perut sudah kenyang – maka anda makan sedikit tanpa rasa terseksa.

“Tapi apa yang tidak diketahui ramai, ubat ini turut mempengaruhi pusat ganjaran dalam otak, iaitu kawasan yang biasanya membuat kita rasa seronok bila makan atau melakukan sesuatu yang kita suka,” tambah Dr Kumar di laman web, Women’s Health.

Kesan positifnya? Ramai pengguna Ozempic melaporkan mood lebih stabil, fikiran lebih tenang, dan nafsu makan yang terkawal.

Malah, ada yang rasa lebih yakin kerana akhirnya dapat mengawal berat badan yang selama ini menghantui diri.

Namun, di sebalik kejayaan itu, ada juga kisah kecil di media sosial.

Seorang pengguna menulis: “Saya rasa diri saya jadi lebih pasif… macam hilang percikan semangat dalam hidup.”

Ada yang mengakui mereka kurang minat melakukan hobi yang dulu mereka cintai.

Ada pula yang rakan-rakan mendakwa, “Awak sekarang nampak boring sikit.”

Pakar Bedah Bariatrik di MemorialCare di California, Dr Michael Russo, mengakui kes sebegitu wujud, walaupun jarang berlaku.

Berdasarkan pengamatannya, kurang 1 peratus pesakit benar-benar mengalami perubahan personaliti yang ketara.

Tapi, beliau tidak menafikan kesahihan pengalaman itu.

“Kami percaya, apabila ubat ini menyekat nafsu makan, ia turut berpotensi menekan saluran keseronokan lain dalam otak.

“Bagi sesetengah orang, ini bermakna mereka bukan sahaja kurang minat terhadap makanan, bahkan juga terhadap kegiatan yang dulunya seronok mereka lakukan,” kata Dr Russo.

Golongan pakar menyarankan, jika anda mula rasa mood menurun, kurang berminat dengan dunia sekeliling, atau personaliti terasa berbeza, berbincanglah dengan doktor.

Kadangkala, penyesuaian dos atau pertukaran jenis ubat boleh membantu.

“Apa yang penting, matlamat ubat ini adalah untuk memperbaiki mutu hidup, bukan menjadikannya hambar.

“Kalau ia dah mula mengganggu mood dan semangat hidup, ubat itu harus disemak semula,” tegas Dr Russo.

Sementara itu, Penolong Profesor Bahagian Endokrinologi, Pusat Perubatan Rutgers Robert Wood Johnson di New Jersey, Dr Kunal Shah, pula memberi amaran bahawa pengambilan ubat pelangsing seperti, Ozempic, boleh mengakibatkan seseorang kehilangan ketumpatan tulang dan kehilangan otot.

Ini bermakna, sama ada anda menurunkan berat badan melalui perubahan dalam diet, ubat yang berbeza, atau pembedahan bariatrik, terdapat risiko kehilangan ketumpatan tulang, kata Dr Shah.

Akhir kata, ya – perjalanan menurunkan berat badan boleh mengubah bukan sahaja bentuk tubuh, bahkan juga cara anda melihat dan merasai hidup.

Yang penting, pastikan perubahan itu tetap menyokong siapakah diri anda yang sebenar: bukan hanya lebih ringan, bahkan juga lebih bahagia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg