Trend baru dalam dunia percintaan menunjukkan perubahan sikap yang ketara dalam pemilihan pasangan, dan wanita lebih berumur kini tidak lagi dipinggirkan – malah dirai.
Dalam dunia yang semakin moden dan terbuka, persepsi tentang perhubungan berbeza usia kian pantas berubah.
Tinjauan tahunan 2024 oleh agensi jodoh terkemuka, Lunch Actually, menunjukkan bahawa semakin ramai lelaki muda terbuka untuk menjalin hubungan dengan wanita lebih berusia – dan sebaliknya.
Menurut dapatan tinjauan itu, 73 peratus lelaki kini sudi bercinta atau berkahwin dengan wanita lebih tua.
Ia peningkatan 17 mata peratusan berbanding 2019.
Sementara itu, 51 peratus wanita kini sudi menerima lelaki lebih muda sebagai pasangan.
Fenomena itu, yang semakin mendapat perhatian media dan masyarakat, turut dipacu oleh perubahan sikap generasi muda terhadap jantina dan peranan tradisional dalam perhubungan.
“Ini bukan sekadar trend sementara, ia satu transformasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actually, Cik Violet Lim, yang mempunyai lebih 21 tahun pengalaman dalam menangani kes percintaan.
Beliau menjelaskan: “Pada 2019, ramai wanita masih ragu-ragu, bimbang akan persepsi masyarakat. Tapi pada 2025, stigma itu semakin pudar.
“Kini, kita melihat gelombang pemerkasaan – apabila lelaki lebih berani menyatakan keinginan mereka, kematangan, kestabilan emosi dan (menjalin) hubungan sebenar. Usia tidak lagi menjadi penghalang.”
Dapatan dari tahun sebelumnya membuktikan minat lelaki terhadap wanita lebih berusia terus meningkat:
2019: 56 peratus
2020: 54 peratus
2021: 56 peratus
2022: 68 peratus
2023: 54 peratus
2024: 73 peratus
Seorang anggota Lunch Actually, yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Encik Andrew’, 25 tahun, yang kini menjalin hubungan dengan wanita yang tiga tahun tua, berkata:
“Bukan soal usia, tapi keserasian. Saya rasa lebih selamat dan difahami bersama seseorang yang tahu apa yang dia mahu.”
Jika dulu wanita lebih cenderung memilih pasangan lebih berumur atas faktor kestabilan kewangan atau status, kini mereka lebih memberi tumpuan kepada keserasian emosi dan matlamat hidup yang seiring.
“Ramai wanita bertanya, ‘Tidakkah lelaki muda lebih suka pasangan sebaya?’ Tapi hakikatnya, lelaki zaman sekarang lebih terbuka – malah mereka aktif mencari hubungan yang utamakan keserasian emosi,” tambah Cik Lim.
Beberapa pasangan selebriti tempatan turut membantu menghapuskan stigma terhadap hubungan lelaki muda dan wanita lebih berumur:
Hazelle Teo, 31 tahun, dan James Wong, 24 tahun – Hubungan mereka bermula menerusi kerjasama dalam bidang muzik dan kini mereka bertunang.
Fann Wong dan Christopher Lee – Pasangan selebriti ikonik Singapura, dengan Fann empat tahun lebih tua.
Tanya Chua dan Hervé Coignoux – Tanya, bintang Mandopop, bahagia bersama pereka grafik Perancis yang lebih muda daripadanya.
Walaupun semakin diterima, pasangan berbeza usia masih berdepan cabaran sosial.
Cik Lim menyarankan beberapa pendekatan:
Kongsi visi hidup: Matlamat yang seiring lebih penting daripada perbezaan usia.
Hormati fasa kehidupan masing-masing: Saling memahami dan menyokong.
Perkenalkan pasangan secara berperingkat kepada keluarga dan rakan: Untuk memudahkan penerimaan.
Pastikan dinamik kuasa seimbang: Komunikasi terbuka dan rasa hormat bersama penting demi hubungan yang sihat.
Apa yang nyata pada 2025 ialah cinta bukan tentang angka. Sama ada wanita lebih tua atau lelaki lebih muda, yang penting ialah keserasian, komunikasi dan nilai bersama.
“Kami padankan pasangan berdasarkan siapa mereka dan apakah yang mereka cari – bukan semata-mata berdasarkan usia.
“Usia bukan lagi penghalang – ia hanya satu lagi faktor dalam formula cinta,” tambah Cik Lim.
Jadi, lain kali anda terdengar soalan, “Bukankah dia terlalu muda untuk dia?” – mungkin soalan yang lebih tepat ialah, “Adakah mereka bahagia bersama?”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg