Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Crave rai ulang tahun ke-10 dengan hidangan baru

Sajian termasuk laksa resipi warisan nenek, ikan pari bakar, sate daging dan ayam
Jun 4, 2025 | 5:30 AM
crave, nasi lemak, marina bay link mall
Laksa lemak, mi rebus, ikan pari bakar, sate daging dan ayam adalah hidangan tambahan dalam menu Crave di kafe konsepnya di Marina Bay Link Mall, dan akan turut dikenalkan di cawangan Crave yang lain. - Foto BH oleh HANIM MOHD SALEH

Bagi penggemar nasi lemak di Singapura, Crave bukanlah nama yang asing.

Setelah sedekad mengukir nama sebagai peneraju dalam penyediaan nasi lemak di Singapura, jenama itu kini menyambut ulang tahun ke-10 dengan pembukaan cawangan konsep barunya di Marina Bay Link Mall – lengkap dengan dapur gril langsung dan menu yang lebih luas serta menarik.

Antara sajian baru yang menjadi tumpuan kali ini ialah laksa lemak – hidangan berkuah santan yang kaya rasa dan penuh nostalgia.

Apa yang menjadikannya istimewa bukan sahaja rasa kuahnya yang pekat dan beraroma, malah kisah di sebaliknya.

“Saya memilih untuk sertakan laksa lemak dalam menu kami.

“Itulah hidangan yang pernah dijual arwah nenek saya semasa hayatnya, yang resipinya diturunkan kepada anak-anaknya.

“Saya fikir, memandangkan nasi lemak yang saya jual merupakan resipi keluarga, mengapa tidak saya sertakan sekali laksa keluarga kami juga,” kongsi pemilik Crave, Encik Abdul Malik Hassan.

Laksa Supreme ($7.90) itu bukan sahaja melengkapi semangat tradisi Crave, malah melambangkan usaha mengangkat warisan keluarga ke dalam pengalaman santapan moden.

Diperkaya dengan udang segar dan kuah santan yang lemak berempah, sajian itu sudah mula mencuri perhatian pelanggan tetap dan baru.

Selain laksa, Crave turut memperkenalkan beberapa lagi sajian mi tempatan seperti mi rebus ($7.90) dan mi soto ($7.90), kedua-duanya boleh dinikmati dalam saiz ‘upsize’ yang disertakan dengan paha ayam goreng rangup.

“Mengenai penyertaan mi rebus dan soto pula, ia adalah sebagai tambahan untuk memberi pilihan yang lebih luas kepada pelanggan,” jelasnya.

Pelancaran cawangan baru di Marina Bay Link Mall itu juga memperlihatkan wajah segar Crave dengan rekaan dalaman kontemporari, ruang tempat duduk yang selesa dan dapur terbuka untuk gril langsung – tempat bagi pelanggan menyaksikan sendiri bagaimana sate ayam dan daging disediakan panas-panas dari bara api, serta sambal makanan laut seperti pari, sotong, udang dan siakap.

Cawangan itu yang boleh diakses dari Marina Bay Financial Centre, Tower B, tingkat bawah tanah 2, bukan sekadar tempat menjamu selera.

Ia merupakan satu pengalaman kulinari yang menggabungkan suasana medan selera klasik dengan keselesaan moden.

Hidangan nasi lemak kini turut ditawarkan dengan pilihan protein baru seperti sambal pari, sambal siakap dan sambal sotong (berharga antara $4 dengan $9.90) meluaskan lagi tarikan hidangan ikonik Crave.

Dari gerai kecil di Pusat Penjaja Adam Road ke 32 cawangan di seluruh pulau, Crave telah menempuh perjalanan yang memberangsangkan.

Sepuluh tahun kemudian, jenama itu kekal setia pada akarnya, sambil terus bereksperimen dengan cita rasa dan cara penyajian baru.

Dengan penambahan laksa resipi nenek Encik Abdul Malik ke dalam menu, Crave membuktikan rasa warisan tetap relevan malah menjadi tunjang kepada inovasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg