Bagi ramai wanita, rambut dianggap mahkota berharga.
Namun, dalam kesibukan harian, ramai juga yang terlepas pandang untuk memberikan ruang ‘bernafas’ kepada rambut mereka, terutama bagi mereka yang bertudung.
Lebih parah, ada yang mengenakan tudung walaupun rambut masih lembap, tanpa menyedari kesan jangka panjang terhadap kesihatan kulit kepala.
Menurut pemilik salun rambut, Aisah Salon, Cik Aisah Ibramsah, 56 tahun, itulah antara kesilapan paling biasa yang dilihatnya sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang dandanan.
“Kulit kepala yang lembap dan tertutup terlalu lama akan jadi tempat pembiakan bakteria dan kulat.
“Ini menyebabkan kelemumur, kegatalan dan akhirnya, keguguran rambut,” jelas beliau.
Maka, bagi Cik Aisah, pengering rambut harus dilihat sebagai ‘sahabat baik’ wanita bertudung.
“Ramai salah faham, ingat pengering rambut merosakkan rambut.
“Hakikatnya, ia membantu mengeringkan kulit kepala, mengelak bau hapak dan mencegah masalah kelemumur – asalkan digunakan dengan betul, bersama serum pelindung haba,” jelasnya.
Aisah Salon telah beroperasi di tingkat 6, Lucky Plaza, Orchard Road, sejak Jun 2010.
Ia lokasi utama yang sering dikaitkan dengan sewa tinggi dan persaingan sengit.
Namun, Cik Aisah tetap bertahan, malah berjaya mengekalkan kumpulan pelanggan setia, kebanyakannya terdiri daripada golongan ekspatriat dari India, Pakistan dan Turkey.
“Saya anggap salun saya sebagai ‘salun Bollywood’. Pelanggan saya datang kerana reputasi.
“Mereka selesa dengan cara saya bekerja dan dalam memberi nasihat,” ujar beliau yang pernah berkhidmat di salun mewah seperti di Raffles Hotel dan juga salun-salun kecil sejak muda.
Beliau mendapat pendedahan awal dalam bidang dandanan ketika mengikuti kursus di peringkat Sijil Pertukangan Kebangsaan 3 (NTC3) di Institut Kejuruan Kim Keat pada 1980-an sejurus selepas menamatkan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’.
Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang dandanan dan penjagaan rambut, pelanggan setianya termasuk ramai selebriti popular Singapura.
Ketika mula menapak, modal permulaan sebanyak $50,000 adalah hasil tabungan beliau sendiri serta sokongan daripada suami.
“Saya pilih Lucky Plaza kerana pelanggan saya dah biasa ke sana. Senang untuk mereka cari saya,” katanya.
Pelaburannya dalam salun itu telah dipertingkat dengan membeli mesin yang dapat mengesan keadaan kesihatan rambut dan kulit kepala secara terperinci.
Ia sekali gus membantu beliau memberikan rawatan yang tepat kepada pelanggan yang menghadapi masalah rambut.
Sebagai pendandan yang sentiasa mengutamakan kejujuran dalam khidmatnya, Cik Aisah tidak akan menurut kehendak pelanggan secara membuta tuli.
“Kalau rambut tak sesuai untuk rawatan tertentu, saya akan beritahu. Lebih baik buat rawatan kulit kepala dulu sebelum buat rebonding (proses meluruskan rambut) atau pewarnaan,” katanya tegas.
Cik Aisah juga sering menasihati pelanggan agar tidak membiarkan rambut dalam keadaan basah terlalu lama.
“Ada yang cuci rambut seminggu sekali saja. Ini terlalu jarang, lebih-lebih lagi kalau rambut tebal.
“Rambut perlu dibasuh sekurang-kurangnya selang sehari untuk pastikan kulit kepala bersih.
“Jika jarang dibasuh, minyak akan berkumpul dan ia akan cepat menutup rongga sehingga sukar untuk kulit kepala menerima apa-apa bahan rawatan,” tambahnya.
Bagi wanita yang bertudung pula, masalah biasa yang kerap berlaku kata Cik Aisah, termasuk:
– Rambut gugur dan berkelemumur
Gunakan syampu yang sesuai dengan jenis kulit kepala.
Kulit kepala berminyak selalunya dikaitkan dengan keguguran rambut.
Syampu biasa tidak mencukupi jika tidak sesuai.
Jaga kesihatan rambut dengan menggunakan serum dan tonik rambut secara tekal.
– Ikat rambut ketika basah
Elak tabiat sebegini kerana ia boleh menyebabkan kulit kepala berbau dan berpenyakit.
Gunakan alat pengering rambut dan sapu serum sebelum mengeringkan rambut.
– Penggunaan minyak rambut
Ramai menggunakan minyak hitam untuk kelembapan rambut tetapi membiarkannya terlalu lama boleh menyumbat liang pori.
Hadkan kepada sejam sebelum dibersihkan. Minyak seperti zaitun dan argan bagus untuk batang rambut, tetapi bukan untuk kulit kepala secara berlebihan.
– Jerawat di dahi
Sering berpunca daripada kulit kepala yang berminyak dan tidak bersih. Rawatan kulit kepala membantu menyelesaikan masalah ini.
– Kulit kepala tegang
Ia disebabkan ikatan rambut yang terlalu ketat.
Urutan dan rawatan kulit kepala boleh membantu dalam melonggarkan ketegangan dan menyihatkan akar rambut.
Walaupun berpengalaman luas, Cik Aisah tetap percaya bahawa mendengar masalah pelanggan adalah kunci.
“Saya tak suka paksa pelanggan ikut cara saya. Mereka kenal rambut mereka lebih daripada saya. Saya hanya beri cadangan berdasarkan ilmu saya,” katanya.
Hubungan akrab dengan pelanggan membolehkannya memahami keperluan dan gaya hidup mereka, sekali gus menyesuaikan dandanan dengan cara hidup individu.
Beliau turut berkongsi ilmu dan produk tanpa kos tersembunyi, satu pendekatan yang dihargai ramai pelanggan setia.
“Saya anggap pelanggan sebagai kawan.
“Kalau mereka ada masalah rambut, saya akan cadangkan rawatan. Tapi saya hormati masa dan peruntukan wang yang mereka ada.
“Saya percaya, bila kita jujur, pelanggan akan datang balik,” katanya, sambil tersenyum.
Cik Aisah berpesan: “Tudung memang penting untuk aurat, tapi jangan abaikan mahkota di bawahnya.
“Rambut dan kulit kepala juga perlukan perhatian. Berilah peluang untuk ia bernafas, dijaga dan dimanjakan sekali-sekala.”
Dengan dedikasi dan ketelusan yang mengalir dalam setiap helaian rambut yang disentuhnya, tidak hairanlah Cik Aisah terus bertahan di tengah arus cabaran industri dan kekal sebagai nama dipercayai dalam dunia dandanan wanita di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg