Siapa sangka seorang pesakit ginjal yang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu masih mampu tersenyum dan menyebarkan semangat?
Itulah Cik Zulinah Guah, yang ceria, riang dan tidak pernah membiarkan mesin dialisis menjadi penghalang hidup.
Dengan sikap positifnya, beliau bukan sahaja tabah, malah sempat berniaga dalam talian untuk menambah pendapatan dan mengisi masa.
Kalau orang lain mudah menyerah, Cik Zulinah memilih untuk melawan dengan senyuman.
Saya sendiri, sebagai wartawan, pernah beberapa kali hampir berundur.
Dalam dua tahun pertama berkhidmat, draf surat peletakan jawatan beberapa kali sudah saya siapkan.
Namun, dengan bimbingan mereka yang prihatin, serta kelas-kelas motivasi yang saya hadiri, saya belajar untuk melihat jalan dengan lebih jelas.
Sentiasa bersyukur dan bersikap positif itulah yang membuatkan saya masih teguh selepas lebih tiga dekad di syarikat ini.
Kenapa sikap positif penting untuk pertumbuhan diri?
Jawapannya ada dalam pengalaman kita sendiri.
Menurut beberapa artikel mengenai sikap positif yang sempat digarap penulis di wadah LinkedIn, sikap positif melatih sistem saraf kita untuk bertenang walau berdepan badai.
Apabila hati damai, keputusan yang dibuat lebih bijak, tidak terburu-buru, tidak dipengaruhi emosi semata-mata.
Dengan sikap positif, kita belajar mengenal diri.
Ia seumpama cermin yang memantulkan bukan hanya wajah, bahkan juga fikiran serta tindakan kita.
Apabila lebih sedar, kita lebih mudah mengawal reaksi.
Individu yang positif tahu menerima kelemahan diri. Bukannya alasan untuk bermalas, tetapi ruang untuk berbaik hati kepada diri sendiri, dan berbelas ihsan kepada orang lain.
Apabila fikiran cerah, langkah pun mantap.
Keyakinan diri datang bukan kerana tiada masalah, tetapi kerana kita yakin mampu mengharunginya.
Sikap positif mengalihkan pandangan daripada “apa yang salah” kepada “apa yang boleh dibuat”.
Ia menajamkan tumpuan, menjadikan tindakan terasa lebih ringan.
Daripada mengeluh, orang positif mencari hikmah.
Dari situ lahirlah kejelasan fikiran dan ketegasan hati untuk terus mara.
Bagaimana kita melihat orang lain menentukan cara kita berinteraksi.
Apabila pandangan positif mendahului, hubungan jadi lebih mesra, lebih membina.
Sikap positif juga membuat kita enggan terperangkap dengan gangguan kecil.
Sebaliknya, ia mendorong kita menumpukan pada pembaikan diri, langkah demi langkah.
Jadi, bagaimana pula dengan keputusan dan penyelesaian masalah?
Sederhana saja: Ssikap positif menjadikan kita lebih fokus, lebih jelas, dan lebih bertekad.
Masalah tetap ada, tapi fikiran yang cerah membuat kita melihat jalan keluar dengan lebih pantas.
Pendek kata, hidup ini memang penuh cabaran – mesin dialisis, beban kerja, atau godaan untuk berhenti separuh jalan.
Tetapi dengan sikap positif, setiap cabaran bukan lagi tembok yang menutup jalan, melainkan tangga yang membantu kita naik lebih tinggi.
Kalau pesakit ginjal Cik Zulinah boleh berniaga sambil berjuang, dan kalau saya boleh bertahan tiga dekad walau pernah mahu angkat bendera putih, siapa kata anda tidak boleh?
Hakikatnya, sikap positif bukan sekadar sikap, ia adalah petunjuk yang membawa kita terus ke arah pertumbuhan diri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg