Cik Zubaidah Abdul Jalil, yang dilahirkan dengan nama sebenar, Low Ai Choo Juliana, mula mempelajari seni membuat kuih tradisional sejak kecil.
Ketika itu beliau tinggal di kampung yang terletak kawasan di Geylang.
“Saya hanya memerhati orang membuat kuih pada mulanya. Lama-kelamaan, saya mula turut serta.
“Kuih kukus, kuih bakar, saya cuba pelbagai jenis,” kongsi ibu berusia 66 tahun itu, yang mesra dipanggil Auntie Bedah dalam kalangan pelanggannya.
Kuih pertama beliau mula mahir menghasilkan ialah puteri salat dan talam keladi – dua kuih talam klasik yang sememangnya sukar untuk dibuat dengan sempurna.
“Puteri salat ini susah nak jumpa yang benar-benar sedap. Jika teksturnya keras, maknanya terlebih tepung dan kurang telur.
“Apabila ramuannya cukup, dengan keseimbangan santan dan telur yang tepat, barulah rasa lemak manisnya akan naik,” jelas Cik Zubaidah.
Menariknya, walaupun kuih puteri salat inilah yang menjadi kebanggaannya, Cik Zubaidah mengaku bahawa beliau sendiri tidak begitu menggemari kuih tersebut.
“Saya lebih suka kuih yang ada rasa pedas sedikit,” katanya bersahaja.
Walaupun begitu, Cik Zubaidah tidak pernah mengajar anak-anaknya membuat kuih secara formal.
“Jika Angah (Siti Nadirah Hassan) hendak belajar, saya berikan resipi. Dia belajar sendiri,” katanya.
Namun, apabila beliau melihat anaknya kini menghidupkan semula warisan resipi turun-temurun itu dan menjadikannya sebagai perniagaan, perasaan bangga jelas terpancar di wajahnya.
“Ia seperti sebahagian daripada diri saya... kerana tidak semua anak nak sambung legasi ini.
“Tetapi Nadirah sambung, saya rasa sangat bersyukur. Memang saya selalu berdoa agar ada yang meneruskan warisan ini,” luah sang ibu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg