Di sebalik kejayaan Cik Sarah Nurul Ain Suhaimi dalam mengusahakan perniagaan kuih cang menerusi Sarah’s Dumplings, ada sokongan kuat daripada pembimbing utama – ibunya, Cik Aini Goh Mohamed Zain.
Bagi Cik Aini, 49 tahun, menghasilkan kuih cang bukan sekadar tradisi keluarga, bahkan satu warisan rasa yang perlu dijaga dan dihargai.
“Saya belajar daripada mak saya, dan kemudian saya ajar pula anak saya. Tapi sebab saya lipat daun kuih cang laju sangat, sampai susah Sarah nak ikut,” seloroh Cik Aini.
“Jadi, neneknya yang ajar dia perlahan-lahan.”
Kuih cang, walau kelihatan ringkas, proses penyediaannya rumit dan memerlukan ketelitian.
Daripada merebus daun buluh yang diimport dari China sehingga menyiapkan ramuan seperti daging, cendawan dan beras pulut – semuanya melalui langkah demi langkah yang penuh kesabaran.
Daun perlu direbus bersama garam, kemudian dibersihkan satu per satu.
Cendawan perlu direndam semalaman dan dipotong sendiri, kerana versi siap potong terlalu nipis dan menjejas rasanya.
“Kuih ni kena direbus selama empat jam. Masa tu kena jaga airnya, kalau kering kena tambah air,” ujar Cik Aini, yang turut terkenal dengan sifat cerewet dalam memastikan mutu tidak terjejas.
“Saya ni yang garang sikit. Kalau saya masuk dapur, macam pengetua masuk kelas.”
Sewaktu mula menjual ladu atau dumpling dari rumah lebih 10 tahun lalu, Cik Aini bertugas sebagai pegawai kanan dalam sektor perbankan.
Beliau bekerja sepenuh masa di bank HSBC dan kemudian ke Citibank.
Penglibatan dalam menghasilkan kui cang bermula secara kecil-kecilan – hanya sebagai buah tangan kepada rakan sekerja. Tapi sambutannya memberangsangkan.
“Daripada kawan, jadi pelanggan. Daripada pelanggan, jadi pelanggan tetap. Ada yang masih beli sampai sekarang walaupun kami dah berpindah,” katanya.
Apabila Cik Sarah menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan selepas tamat pengajian, Cik Aini meletakkan syarat iaitu sediakan pelan jangka pendek dan panjang – satu tahun, tiga tahun dan lima tahun.
Pelan asal adalah untuk memulakan dari rumah, tetapi akhirnya disegerakan dengan pembukaan gerai dan dapur pusat bagi mematuhi peraturan dan membolehkan produk mereka dipasarkan dengan lebih meluas.
Cik Aini, yang kini kembali bekerja di HSBC membantu membina asas perniagaan, memantau dan menyokong anaknya dari jauh.
“Saya sangat bangga. Dia bukan saja teruskan warisan keluarga, tapi dia betul-betul tunjukkan minat.
“Dia masak sendiri, jaga mutu dan sekarang siap masak makan malam untuk keluarga.”
Bagi Cik Aini, melihat anaknya mampu berdikari dan mengangkat resipi tradisi ke pentas perniagaan moden adalah satu kepuasan tersendiri.
“Saya selalu cakap, kalau Mama boleh buat, kamu pun boleh. Jangan manja sangat. Tapi dalam hati, saya bangga sangat.”
Warisan yang dahulu bermula di dapur kecil kini mula meniti di bibir pelanggan seluruh negara – semuanya kerana kasih seorang ibu, dan azam seorang anak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg