Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rebut peluang keemasan menabung dengan ilmu dan emas

Pemilik pusat pendidikan Brainy Bunch Singapore, luas peranan bantu masyarakat celik kewangan menerusi simpanan emas
Jul 23, 2025 | 5:30 AM
murni abdul hamid, lmr bullion pte ltd, emas, pelaburan
Ustazah Murni Abdul Hamid, Pengasas LMR Bullion Pte Ltd, berhasrat mendidik masyarakat agar celik simpanan emas bagi pelaburan jangka panjang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Perjalanan sebagai seorang pendidik bukan semata-mata untuk memastikan kanak-kanak dapat membaca dan menulis.

Bahkan ia merupakan usaha untuk membina generasi yang celik ilmu, celik agama dan juga celik pelaburan.

Itulah pegangan teguh, Ustazah Murni Abdul Hamid, 41 tahun, Pengarah Urusan, pusat pendidikan, Brainy Bunch Singapore, yang membimbing ratusan anak kecil melalui sistem Montessori yang dipadukan dengan nilai Islam.

Tetapi kini, Ustazah Murni melangkah lebih jauh – membuka jalan kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya simpanan dan pelaburan bijak, khususnya melalui emas, menerusi wadah LMR Bullion.

“Saya mula menyimpan emas untuk diri sendiri pada 2016.

“Ketika itu saya tidak tahu pun harga emas boleh naik sebanyak itu,” kongsinya sambil mengimbas kembali saat emas yang dibeli pada harga $65 segram akhirnya dijual pada harga $85 segram – sekali gus membantu beliau menunaikan impian membawa ibu bapa ke tanah suci untuk mengerjakan umrah.

Dari Madrasah ke Montessori

Mempunyai ijazah dalam bidang Syariah Islamiah (menerusi pengajian tiga tahun di Marsah, Johor Bahru, yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim atau KUIJSI, dan satu tahun di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, untuk Program Penyertaan), Ustazah Murni pernah berkhidmat sebagai Mudirah di madrasah kelolaan Masjid Darul Aman.

Namun, segalanya berubah apabila beliau dan suaminya, Ustaz Syakir Pasuni (Timbalan Pendaftar di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam – ROMM) membawa keluarga berhijrah ke Syria demi memperdalam ilmu.

Setelah hanya tiga bulan di Syria, keadaan memaksa mereka pulang.

Ketika itulah beliau mula membina sendiri program pendidikan awal kanak-kanak berasaskan pendekatan Montessori – bermula dari rumah.

“Saya mula dengan program Montessori Arab di rumah, untuk anak saya sendiri yang bakal ambil ujian masuk madrasah.

“Tapi apabila saya lihat ramai ibu bapa lain juga cari program serupa, saya mula ajar anak jiran dan kemudian pusat pembelajaran kecil mula terbina,” katanya.

Dengan sokongan masyarakat yang percaya pada misinya, Ustazah Murni, akhirnya membawa masuk francais, Brainy Bunch International, di Malaysia ke Singapura pada 2014.

Bermula di Woodlands, kini pusat Brainy Bunch telah berkembang ke Hougang dan Pasir Ris.

Ketika ini, beliau mempunyai sekitar 400 pelajar di pusat pendidikannya dan 60 kakitangan sepenuh masa.

“Semua pusat kami dibina atas sokongan masyarakat yang percaya kepada pendidikan awal berasaskan nilai Islam.

“Keperluan untuk program persediaan madrasah sangat tinggi – dan saya lihat itu sebagai amanah untuk disempurnakan,” jelas ibu lima orang anak berusia antara tujuh tahun dengan 17 tahun.

Kesedaran Kewangan

Namun, di sebalik kejayaan membina pusat pendidikan, timbul satu kesedaran lain iaitu tentang keperluan dana simpanan kecemasan.

“Selama lapan tahun, semua keuntungan diguna semula untuk buka cawangan baru.

“Tapi apabila berlaku kecemasan atau peluang besar seperti nak pergi umrah, saya sedar saya tiada simpanan khusus,” ujarnya.

Ketika itulah emas membuka jalan, bukan sekadar sebagai barang kemas, bahkan sebagai instrumen simpanan jangka panjang.

“Saya mula beli sedikit demi sedikit sejak 2016. Apabila duit masuk, saya tukar kepada emas. Apabila simpan, kita tak rasa nak guna. Malah, apabila tengok emas tu, rasa sayang nak jual!” tambahnya.

Pengalaman menggunakan hasil simpanan emas untuk membiayai perjalanan umrah membuka mata beliau, bukan sahaja tentang potensi kenaikan harga emas, bahkan juga bagaimana ia mampu menjadi perlindungan kewangan terhadap inflasi.

Sebar Ilmu, Bukan Sekadar Jual

Pengalaman itu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Dari situlah, lahirnya LMR Bullion pada 2022, cabang baru di bawah nama Little Muslim Readers (LMR) yang asalnya memberi tumpuan pada bahan bacaan tentang Islam khusus buat kanak-kanak.

LMR Bullion yang pada mulanya dilancarkan untuk menawarkan jongkong emas fizikal bagi pembelian dalam talian, kemudian mula menyertai acara di reruai ekspo bagi memudahkan pembelian di lokasi.

Pada masa ini, selain jualan emas fizikal, syarikat itu turut menawarkan khidmat rundingan Simpanan Emas kepada orang ramai.

Beliau juga telah diiktiraf sebagai ‘dealer’ keutamaan Public Gold Sdn. Bhd.

“LMR Bullion bukan hanya tentang menjual emas. Fokus utama saya tetap pendidikan, kali ini kepada ibu bapa dan keluarga muda.

“Saya nak mereka tahu ada cara menyimpan yang selamat dan stabil,” jelasnya.

Bermula dengan modal $30,000, beliau membeli stok emas kecil daripada pembekal di Malaysia dan menjualnya semula kepada pelanggan Singapura.

Dalam tiga tahun, modal itu telah berganda, dan bekalan emasnya terus bertambah nilai.

“Saya lihat emas ini satu-satunya perniagaan yang walaupun tak laku secepatnya, nilainya tetap naik. Tak macam produk lain yang turun harga bila tak dijual,” katanya.

Walaupun beliau mempunyai anggota keluarga yang mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang agama, termasuk bapa mentuanya, Ustaz Pasuni Maulan, seorang ulama dan kadi Singapura, beliau tetap mendapatkan panel penasihat profesional bagi memastikan perniagaan simpanan emasnya memenuhi syariat Islam.

Di samping itu, beliau turut memastikan pelanggan barunya faham dengan sistem pelaburan emas dan keperluan mengeluarkan zakat apabila memenuhi haul dan nisabnya dengan memberi penerangan sebelum urusan jual beli dilakukan.

Ustazah Murni suka mengulangi analogi mengenai jual beli seekor kambing untuk menunjukkan kekuatan emas sebagai simpanan bernilai tetap.

“Dulu satu dinar boleh beli seekor kambing. Sekarang pun boleh – malah lebih daripada seekor kalau buat korban di negara jiran. Nilai emas tahan inflasi, dan boleh diwariskan,” jelasnya.

Sebagai seorang ibu, pendidik, usahawan dan isteri kepada seorang tokoh agama, beliau melihat simpanan emas sebagai sebahagian tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

“Kalau kita boleh didik anak membaca, kenapa tidak didik diri untuk menyimpan? Ilmu bukan hanya di buku, tapi juga pada keputusan yang kita buat setiap hari,” tambah Ustazah Murni.

Bagi beliau, ilmu itu emas. Dan emas, jika disimpan dengan niat dan ilmu, akan menjadi bekalan paling bernilai dalam kehidupan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg