Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan IT galak remaja perempuan terbang tinggi belah angkasa luas

Ingin perkenal pelbagai kerjaya dalam sektor penerbangan selain juruterbang, kru kabin
Oct 15, 2025 | 5:30 AM
girls in aviation day, fahmida anjum, sektor penerbangan, kerjaya
Cik Fahmida Anjum membakar semangat pelajar yang mendengar pesanannya dalam acara, ‘Girls in Aviation Day’ (Giad), yang bertujuan memperkenalkan kepada pelajar betapa kerjaya dalam penerbangan bukan sekadar tentang juruterbang atau pramugari, malah ada peranan lain seperti pengawal trafik udara, juruteknik, jurutera pesawat dan juga pakar teknologi sepertinya. - Foto WAI-SG

Apabila bercakap tentang industri penerbangan, ramai yang tentu membayangkan kerjaya juruterbang dan kru kabin.

Namun, bagi Cik Fahmida Anjum, 40 tahun, gambaran itu hanyalah secebis daripada spektrum luas dunia penerbangan yang sebenarnya dipenuhi peluang bagi wanita yang berani mencabar sempadan.

Sebagai Pengurus Serantau (Kejayaan Pelanggan) Asia Tenggara di Amadeus dan Ketua Jawatankuasa Girls in Aviation Day (Giad) serta Perikatan Strategik bagi Wanita dalam Penerbangan (Singapore Chapter) (WAI-SG), Cik Fahmida, bukan sekadar berkhidmat dalam industri penerbangan, bahkan turut memainkan peranan penting membentuk masa depan remaja perempuan yang bercita-cita tinggi.

Amadeus ialah penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) sejagat bagi industri kembara.

Cik Fahmida, lulusan ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Teknologi Maklumat (Kepujian Kelas Pertama) daripada Universiti Anna di Chennai, India, menceburi kerjaya IT dalam sektor pelancongan.

Bersama syarikat Amadeus, Cik Fahmida memastikan lapangan terbang dan syarikat penerbangan di rantau Asia Tenggara menggunakan teknologi terkini bagi meningkatkan pengalaman penumpang.

Namun bagi Cik Fahmida, pekerjaan hanyalah sebahagian daripada misinya.

Apa yang lebih mendalam adalah keinginannya untuk memastikan lebih ramai wanita, terutama kalangan muda remaja melihat betapa mereka juga mempunyai tempat dalam bidang penerbangan.

“Langit bukan hadnya,” ujar beliau.

Sebagai ibu tunggal seorang anak perempuan berusia 15 tahun, Cik Fahmida faham cabaran menjadi wanita dalam dunia yang masih berat sebelah dari segi jantina.

“Cabaran terbesar ialah ketiadaan wakil wanita dalam bidang yang saya ceburi.

“Apabila saya mula bekerja, kebanyakan rakan sekerja lelaki, tetapi kekurangan itu menjadi motivasi saya,” katanya.

Menyertai WAI-SG pada 2022, Cik Fahmida mendapati komuniti itu bukan sekadar satu pertubuhan.

Ia adalah rangkaian sokongan yang membolehkan wanita berkongsi pengalaman, belajar antara satu sama lain dan membina keyakinan untuk maju dalam kerjaya penerbangan.

“Dalam WAI-SG, saya belajar, apabila seorang wanita tampil, dia membuka jalan untuk ramai lagi yang datang selepasnya.

“Kadang-kadang kehadiran kita sendiri sudah cukup untuk mencetus inspirasi bagi orang lain,” ujar beliau yang ditemui pada malam gala tahunan, WAI-SG, pada 9 Oktober 2025, bertema, ‘Mempelopori Masa Depan (Bidang Kerjaya Di) Langit’.

Acara itu meraikan kejayaan pertubuhan dalam memperkasa wanita dalam industri penerbangan serta mencapai sasaran 100 pelajar bimbingan, satu pencapaian bersejarah bagi WAI-SG.

Di bawah pimpinan Cik Fahmida, program ‘Girls in Aviation Day’ menjadi antara acara unggul WAI-SG.

Pada 2025, Giad akan berlangsung pada 1 November di Politeknik Temasek (TP), menyasarkan penyertaan lebih 500 pelajar perempuan berusia dari lapan hingga 17 tahun, peningkatan ketara daripada hanya 30 peserta pada edisi pertama semasa pandemik.

“Tujuan kami adalah memperkenalkan kepada pelajar penerbangan bukan sekadar tentang juruterbang atau pramugari.

“Ada pelbagai peranan lain seperti pengawal trafik udara, juruteknik, jurutera pesawat dan juga pakar teknologi seperti saya,” jelas Cik Fahmida.

Melalui kegiatan interaktif dan sesi bimbingan bersama tokoh wanita dalam industri, Giad membantu membentuk keyakinan dan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Cik Fahmida mengimbau pengalaman manis apabila seorang peserta muda berusia 10 tahun memberitahunya tentang cita-citanya ingin menjadi juruterbang selepas menghadiri Giad.

“Saya terharu. Kalau seorang anak kecil sudah berani bermimpi besar, maka acara ini sudah mencapai tujuannya,” kata beliau dengan nada bangga.

WAI-SG turut menjalankan pelbagai program seperti biasiswa, latihan, serta kempen ‘Kerjaya dalam Penerbangan’ yang sejauh ini telah telah membimbing 100 pelajar, menandakan kejayaan besar sejak gala pertama mereka empat tahun lalu.

Bagi Cik Fahmida, kesaksamaan jantina bukan perjuangan wanita semata-mata, ia tanggungjawab bersama.

“Apabila kita mempunyai pasukan yang berbeza latar belakang dan pengalaman, kita juga mendapat cara penyelesaian masalah yang lebih kreatif. Kepelbagaian menjadikan industri lebih inovatif dan berdaya tahan,” ujarnya.

Beliau juga teruja melihat peningkatan jumlah wanita dalam bidang kritikal seperti kawalan trafik udara.

“Tahukah anda, hampir 40 peratus pengawal trafik udara di Singapura adalah wanita? Itu pencapaian besar,” katanya dengan senyuman bangga.

Sebagai wanita, ibu dan karyawan yang berjaya dalam industri yang dikuasai lelaki, Cik Fahmida membawa mesej yang jelas: Tidak ada batasan bagi mereka yang berani mencuba.

“Saya mahu anak perempuan saya dan semua wanita muda tahu langit bukanlah hadnya.

“Dunia penerbangan luas dan penuh kemungkinan. Yang penting ialah percaya betapa anda mampu,” katanya menutup wawancara dengan nada penuh keyakinan.

Beliau mengalu-alukan pelajar perempuan berusia dari lapan hingga 17 tahun untuk menghadiri acara, ‘Girls in Aviation Day 2025’ pada 1 November 2025 di TP.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web, LinkedIn ‘Women in Aviation Singapore Chapter’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg