Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Korban kecil, masih ada ganjaran tersembunyi

Jun 4, 2025 | 5:30 AM
hanim mohd saleh
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu dan Kolumnis Kanan, Berita Harian/ Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Hari Raya Haji sering dikaitkan dengan ibadah korban – penyembelihan haiwan sebagai lambang ketaatan kepada perintah Allah swt.

Namun, makna korban sebenarnya jauh lebih mendalam.

Ia bukan sekadar darah yang tumpah atau daging yang diagihkan, tetapi tentang keikhlasan memberi, kesanggupan mengalah, dan kerelaan meletakkan kepentingan orang lain di hadapan diri sendiri.

Firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 37: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya...”

Dalam erti kata lain, yang sampai kepada Allah bukanlah bentuk luaran pengorbanan itu, tetapi niat yang tersembunyi di baliknya – takwa yang terpancar dalam tindakan kecil yang sering tidak disedari sesiapa.

Saya terkenang pengalaman haji pada 2011.

Tahun itu cukup mencabar – ramai pegawai haji tidak mendapat visa pada saat akhir.

Tanpa banyak bicara, anggota jemaah mengambil alih tugas membantu sesama sendiri.

Di Arafah, kami bergilir mengagihkan makanan.

Di Mina, ramai yang tanpa diminta menolak kerusi roda anggota jemaah yang uzur ke kawasan jamrah.

Ada yang pengsan atau tidak sihat, kami bantu bawa ke klinik.

Dalam kepanasan, keletihan dan kesesakan, ada yang sanggup beri tempat duduk mereka kepada yang lebih memerlukan.

Apabila makanan hampir habis, tiada rungutan.

Ada yang hanya tinggal nasi dan sayur-sayuran tersisa, namun tetap tersenyum, melafaz syukur, “Alhamdulillah… mungkin ini bahagian saya hari ini.”

Itulah korban. Bukan yang diumumkan, bukan yang dicatatkan di kertas laporan – tetapi yang mengalir dalam tindakan ikhlas dan murni.

Sebenarnya, korban itu luas bentuknya. Ia boleh jadi semudah:

Memberi laluan kepada orang lain walaupun kita juga penat.

Tidak memotong barisan walau terdesak.

Mendiamkan diri ketika kecewa agar tidak menyakiti.

Menghulur gula-gula kepada anggota jemaah lain yang batuk – tanda prihatin.

Bersabar apabila barang hilang atau zamzam tiada, tanpa menyalahkan sesiapa.

Haji mabrur bukan hanya tentang sahnya ibadah, tetapi bagaimana ia membentuk akhlak.

Di lapangan terbang selepas haji, kita diuji dengan kesabaran dan adab.

Ketika orang berebut tempat duduk atau makanan, adakah kita tenang dan mengalah?

Ketika kita punya peluang menolong, adakah kita hulur tanpa disuruh?

Bahkan ketika kita hanya diam dan reda – itu juga satu bentuk korban.

Bayangkan, di saat orang lain menuntut dan membentak, anda memilih untuk mengalah.

Di saat orang lain menunjuk hak, anda memilih untuk memberi ruang.

Ini bukan kelemahan, tetapi lambang kekuatan hati. Bukan lembik, tetapi tanda cinta, rendah hati, dan takwa.

Semangat korban ini seharusnya tidak terhenti dengan tamatnya musim haji.

Ia harus menyerap dalam kehidupan harian kita.

Seorang ibu yang tidur lewat demi anaknya – itu korban.

Seorang suami yang membantu di dapur tanpa diminta – itu korban.

Seorang sahabat yang mendiamkan kesakitan demi menjaga suasana – itu juga korban.

Kadang-kadang kita tidak sedar, pengorbanan kecil itu yang membuka pintu-pintu rahmat Allah.

Mungkin bukan hari ini ganjarannya, tapi di saat kita paling memerlukan nanti.

Justeru, teruslah berkorban, walau tiada yang melihat. Teruslah memberi, walau tiada yang membalas. Kerana di sisi Allah, tiada satu pun kebaikan yang sia-sia.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. Semoga setiap langkah kita – walau kecil – menjadi jalan menuju haji mabrur, hidup yang diberkati, dan akhirat yang dirahmati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg