Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Minyak kelapa banyak kebaikan, tapi usah berlebihan

Bahan serba boleh semula jadi
Jun 4, 2025 | 5:30 AM
minyak kelapa
Kelapa dan minyak kelapa. - Foto ISTOCKPHOTO

Minyak kelapa bukanlah sesuatu yang asing bagi kita.

Malah, ia telah digunakan sejak turun-temurun dalam masakan, penjagaan rambut dan kulit.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, minyak kelapa kian mendapat tempat di hati masyarakat moden kerana manfaat kesihatannya yang pelbagai.

Daripada membantu menurunkan berat badan hinggalah kepada penjagaan gigi dan kulit, minyak kelapa dianggap sebagai bahan serba boleh yang semula jadi.

Namun, seperti juga makanan lain, penggunaannya perlu disertai dengan kesedaran dan keseimbangan, menurut laman web, Healthline.

Sumber tenaga segera

Minyak kelapa mengandungi lemak trigliserida rantaian sederhana (MCT) iaitu molekul lemak yang biasanya dibuat daripada minyak isirung kelapa sawit (palm kernel oil)

MCT ialah sejenis lemak tepu yang mudah diserap oleh badan dan cepat ditukarkan menjadi tenaga.

Ini menjadikan minyak kelapa sebagai pilihan yang baik bagi mereka yang aktif bersukan atau memerlukan tenaga segera.

MCT biasanya digunakan dalam makanan tambahan untuk atlet kerana keupayaannya memberikan tenaga pantas, mirip karbohidrat.

Bantu kawal selera makan dan berat badan

Terdapat kajian yang menunjukkan MCT dapat membantu meningkatkan rasa kenyang dan mengurangkan keinginan untuk makan.

Ini secara tidak langsung boleh membantu dalam pengurusan berat badan.

Namun begitu, kesannya tidaklah seampuh jika dibandingkan dengan minyak MCT tulen.

Lagipun, minyak kelapa tinggi kalori jika diambil secara berlebihan. Ia tetap boleh menyebabkan pertambahan berat badan.

Lindungi kesihatan mulut dan kulit

Salah satu kegunaan minyak kelapa yang semakin popular adalah sebagai pembersih mulut dalam teknik yang dikenali sebagai oil pulling.

Caranya mudah iaitu kumur minyak kelapa selama beberapa minit seperti ubat kumur. Ini dikatakan dapat mengurangkan bakteria penyebab plak dan keradangan gusi.

Minyak kelapa juga banyak digunakan sebagai pelembap semula jadi.

Ia dikatakan dapat membantu mengunci kelembapan kulit, menjadikannya pilihan yang baik untuk kulit kering atau sensitif.

Bagi mereka yang mengalami masalah ekzema ringan, sapuan minyak kelapa dara juga dipercayai boleh membantu mengurangkan kegatalan dan kemerahan.

Kebaikan buat rambut

Rambut yang rapuh dan bercabang juga boleh diatasi dengan minyak kelapa kerana sifatnya yang mampu menyerap jauh ke dalam batang rambut, menjadikan rambut lebih kuat dan fleksibel.

Dalam aspek kesihatan otak pula, minyak kelapa dikaji kerana keupayaannya menghasilkan keton – satu bentuk tenaga alternatif yang boleh digunakan oleh otak, terutama dalam kes Alzheimer peringkat awal.

Namun, kajian dalam bidang ini masih berjalan dan belum cukup kukuh untuk disarankan sebagai rawatan.

Bersifat antioksidan

Minyak kelapa mengandungi asid laurik, sejenis komponen yang boleh membantu melawan bakteria dan kulat berbahaya.

Ia juga mengandungi antioksidan semula jadi yang membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas, sekali gus menyokong kesihatan menyeluruh termasuk mengurangkan risiko penyakit kronik.

Waspada terhadap kesihatan jantung

Namun begitu, tidak semua yang bersifat semula jadi itu selamat jika diambil tanpa had.

Minyak kelapa tinggi lemak tepu – hampir 85 peratus kandungannya terdiri daripada lemak jenis itu.

Kajian menunjukkan ia boleh meningkatkan paras lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) juga disebut sebagai kolesterol ‘jahat’ dalam darah, yang berisiko menyumbang kepada penyakit jantung.

Meskipun ada juga kajian yang menunjukkan ia mampu meningkatkan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol ‘baik’, kesan peningkatan LDL tetap membimbangkan.

Oleh itu, Persatuan Jantung Amerika Syarikat menyarankan supaya pengambilan lemak tepu – termasuk minyak kelapa – tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah kalori harian.

Minyak kelapa sememangnya menyimpan pelbagai potensi kebaikan – daripada tenaga segera, kulit lembap, rambut sihat, hinggalah kepada kesihatan mulut.

Namun, penggunaannya perlu bijak dan sederhana.

Dalam dunia pemakanan moden yang serba mudah, apa jua yang berlebihan tetap boleh membawa mudarat.

Jika ingin mengambil minyak kelapa dalam diet harian, hadkan kepada satu hingga dua sudu besar sehari.

Dan ingat, ia bukan pengganti minyak yang lebih sihat seperti minyak zaitun, tetapi boleh dijadikan pelengkap – bukan yang utama.

Pilihlah kesederhanaan, kerana di situlah terletaknya kunci kepada kesihatan yang berpanjangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg