Industri perfileman Indonesia nampaknya semakin berani dalam mengangkat kisah kontroversi ke layar perak, terutama yang melibatkan tema perselingkuhan dan sumbang mahram.
Selepas Ipar Adalah Maut yang tular, kini giliran Norma: Antara Mertua dan Menantu, mencuri perhatian di Netflix, dikhabarkan juga diangkat daripada kisah benar yang pernah menggemparkan Indonesia.
Namun, timbul persoalan, adakah pembikinan filem seperti itu bertujuan mendidik atau lebih kepada mengeksploitasi ciri sensasi, sehingga kadangkala hampir menyerupai filem lucah.
Filem Norma: Antara Mertua dan Menantu yang mula ditayangkan di Netflix pada 14 Ogos 2025, mengisahkan pengkhianatan yang menyakitkan hati Norma (lakonan mantap Tissa Biani) apabila suaminya, Irfan (Yusuf Mahardika), menjalin hubungan sulit dengan ibu kandungnya sendiri, Rina (Wulan Guritno).
Naskhah filem ini bermula dengan penceritaan tentang perkenalan Norma dan Irfan yang kemudian berkahwin, dan pada mulanya mendapat restu daripada ayah Norma, Abdul (Rukman Rosadi), meskipun Rina pada awalnya ragu-ragu.
Konflik bermula apabila Irfan dan Norma tinggal bersama Rina setelah Rina berpisah dengan Abdul, dan dari situ, bermulalah ‘kekhilafan’ yang menjijikkan antara menantu dengan ibu mentua.
Dari segi lakonan, Tissa Biani sebagai Norma memang wajar dipuji kerana berjaya membawakan emosi seorang isteri yang dikhianati dengan begitu meyakinkan.
Namun, kekuatan lakonan pelakon tidak cukup untuk menyelamatkan filem ini sepenuhnya.
Ada yang berpendapat mutu naskhah dan klimaksnya kurang memuaskan, malah sutradara dan syarikat penerbitan filem itu sendiri mempunyai rekod kerja yang kurang memberangsangkan sebelum ini.
Ini adalah satu kelemahan yang ketara, terutama jika dibandingkan dengan Ipar Adalah Maut yang berjaya menetapkan ‘standard baru’ untuk drama yang biasa dijadikan bahan sinetron.
Tempoh 134 minit terasa terlalu panjang, dibebani dengan pelbagai plot sampingan yang kurang relevan, daripada hubungan tegang antara ibu bapa Norma hinggalah isu kedekatan Irfan dengan bekas kekasihnya.
Peristiwa yang seharusnya memicu berpalingnya hati Irfan dipaparkan dengan terlalu terperinci, contohnya bagaimana Irfan dan Norma bersama-sama membina warung mi ayam untuk Rina.
Di pertengahan filem, tumpuan cerita seolah-olah hilang arah dan peralihan antara babak terasa terlalu pantas.
Penyampaian keseluruhan alur cerita terasa separuh masak dalam menyampaikan rasa kepada penonton.
Dinamik hubungan antara Irfan dengan Rina jelas hanya berlandaskan nafsu dan adegan dewasa yang dipaparkan terasa ‘malu-malu’ dan monoton, tidak mampu memberi kesan menyeluruh.
Suasana amukan warga yang ingin mengadili Irfan dan Rina juga terasa tiba-tiba dan berlebihan untuk ukuran sebuah filem pawagam, sedangkan sejak awal hanya seorang sahaja yang mencurigai tingkah laku Irfan.
Secara keseluruhan, naskhah ini tidak menawarkan nilai tambah yang penting.
Adakah filem ia benar-benar memberi pengajaran, atau sekadar meraih keuntungan dengan mengeksploitasi sensasi dan unsur seksualiti?
Ini adalah persoalan yang harus kita fikirkan bersama, terutama dalam konteks nilai murni masyarakat kita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg