Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puan Halimah diiktiraf ikon kepimpinan

Nama masuk ke dalam Dewan Kemasyhuran dan Buku Rekod Dunia BrandLaureate – yayasan jenama
Jul 30, 2025 | 5:30 AM
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Jenama BrandLaureate 2025 – Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Dewan Kemasyhuran, sebagai tanda penghormatan atas sumbangan puluhan tahun beliau dalam perkhidmatan awam di majlis yang berlangsung di Hotel Shangri-La pada 23 Julai.
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Jenama BrandLaureate 2025 – Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Dewan Kemasyhuran, sebagai tanda penghormatan atas sumbangan puluhan tahun beliau dalam perkhidmatan awam di majlis yang berlangsung di Hotel Shangri-La pada 23 Julai. - Foto THE BRANDLAUREATE

Mantan Presiden Singapura yang kini Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Puan Halimah Yacob, telah menerima dua anugerah berprestij daripada The BrandLaureate, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang dan legasi perkhidmatannya.

Beliau dianugerahkan Anugerah Ikon Kepimpinan Jenama BrandLaureate 2025 – Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Dewan Kemasyhuran, sebagai tanda penghormatan kepada puluhan tahun sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam yang ditandai dengan nilai integriti, keterangkuman dan visi yang jelas.

Majlis itu telah berlangsung di Hotel Shangri-La pada 23 Julai.

Puan Halimah turut disenaraikan di dalam Buku Rekod Dunia The BrandLaureate 2025, dengan gelaran: ‘Wanita Pertama Menjawat Jawatan Presiden Republik Singapura (2017–2023)‘.

Menurut kenyataan Yayasan Jenama Dunia atau The World Brands Foundations (TWBF), pengiktirafan berganda itu bukan sahaja meraikan pencapaian bersejarah Puan Halimah, malah mengiktiraf usaha gigihnya dalam membela masyarakat serta memperjuang kemajuan yang saksama berteras nilai manusiawi.

Daripada permulaan sebagai peguam kesatuan sekerja dan Anggota Parlimen, kepada pelantikan sebagai Speaker Parlimen dan akhirnya Presiden wanita pertama Singapura, Puan Halimah menggalas tanggungjawab kepimpinannya dengan kekuatan, tekad yang teguh, dan iltizam untuk membawa perubahan bermakna.

Dalam ucapan beliau semasa menerima pengiktirafan itu, Puan Halimah, berkata:

“Menjadi Presiden wanita pertama Singapura bukan semata-mata tentang menjadi yang ‘pertama’, tetapi tentang membuka jalan untuk orang lain percaya bahawa kepimpinan tidak dibatasi oleh jantina, latar belakang atau keadaan hidup.

“Kepimpinan sebenar ialah tentang khidmat – kepada negara, masyarakat, dan nilai-nilai yang kita junjung.

“Dalam dunia hari ini yang penuh dengan perilaku dan kata-kata sinis, adalah sukar untuk percaya bahawa kerja keras, ketekunan, dan keyakinan terhadap kebaikan boleh menjadi resipi kejayaan.

“Tetapi pemimpin yang telah menempuh jalan ini membuktikan bahawa ia adalah suatu kemungkinan yang mampu dicapai.”

Majlis tertutup itu turut dihadiri pemimpin industri, tokoh jenama antarabangsa, dan kenalan rapat Puan Halimah, sekali gus menjadikan ia lebih daripada sekadar acara penghargaan.

Ia menjadi satu peringatan bahawa ikon sebenar memimpin bukan sahaja dengan pengaruh, bahkan dengan nilai berkekalan.

Melalui pengiktirafan itu, TWBF berkata ia terus mengukuhkan misinya dalam mengangkat individu dan pertubuhan yang membentuk masyarakat melalui kepimpinan berwawasan dan kecemerlangan jenama.

Selama dua dekad, TWBF telah mengiktiraf para penerima Hadiah Nobel, CEO syarikat Fortune 500, serta pemimpin budaya dari seluruh dunia.

Legasi Puan Halimah akan terus menjadi sumber harapan, ketabahan, dan teladan kepimpinan berkhidmat untuk generasi akan datang, tambah kenyataan itu.

Ditubuhkan pada 2005 dan dahulunya dikenali sebagai, Asia Pacific Brands Foundation, TWBF merupakan yayasan penjenamaan tidak mengaut untung, yang memperjuangkan kepentingan penjenamaan di peringkat sejagat.

Diterajui Profesor Dr KKJohan, TWBF telah menganjurkan, The BrandLaureate BestBrands Awards, sejak 2006, mengiktiraf lebih 3,000 jenama dan lebih 500 personaliti jenama antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg