Wanita dan kanak-kanak di bahagian utara Singapura kini boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan pakar yang lebih mudah diakses dengan pelancaran rasmi Pusat Kesihatan & Pakar Wanita (WHSC) dan Klinik Kanak-Kanak (CC) di Woodlands Health (WH).
Pusat kesihatan baru itu merupakan institusi penjagaan kesihatan awam pertama di kawasan utara negara yang menawarkan khidmat khusus untuk wanita dan kanak-kanak.
Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, telah melancarkan pusat itu pada 14 Mei.
Menurut kenyataan media WH, seramai 250,000 wanita berumur 18 tahun ke atas, serta 107,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun yang menetap di utara Singapura bakal meraih manfaat secara langsung daripada khidmat yang ditawarkan di WHSC dan CC.
Ia dijangka meningkatkan akses terhadap rawatan pakar dan menggalakkan masyarakat mendapatkan pemeriksaan awal demi keputusan kesihatan yang lebih baik.
“Kesihatan wanita dan kanak-kanak adalah teras kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Pelancaran pusat ini mencerminkan komitmen NHG dalam mengutamakan penjagaan kesihatan bagi pelbagai penduduk...” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, National Healthcare Group (NHG), Profesor Joe Sim.
WHSC menawarkan pelbagai khidmat pakar untuk wanita termasuk Pembedahan Buah Dada (penjagaan dan pembentukan semula), Endokrinologi, Urologi dan Psikiatri Perubatan.
Kerjasama strategik dengan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) membolehkan perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi serta penjagaan pediatrik diberikan oleh pasukan gabungan dari kedua-dua institusi.
“Melalui kerjasama ini, penduduk di Woodlands, Sembawang dan Marsiling kini boleh mengakses khidmat kesihatan khusus dari usia awal kanak-kanak, perancangan keluarga hingga ke fasa menopaus dan seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Woodlands Health, Profesor Jason Cheah.
WHSC turut menjadi Pusat Penilaian dan Bacaan yang diluluskan bagi program subsidi mamogram nasional, sekali gus memperluas kemampuan negara dalam mengesan awal barah buah dada.
Wanita yang mempunyai keputusan mamogram mencurigakan boleh mendapatkan khidmat susulan pada hari yang sama di pusat itu, termasuk perundingan dengan pakar radiologi dan pakar bedah buah dada.
Di samping itu, ibu hamil boleh mendapatkan penjagaan kehamilan menyeluruh seperti ujian darah antenatal, vaksinasi dan penjagaan selepas bersalin.
Pesakit Obstetrik akan diatur untuk melahirkan anak di KKH.
“Kerjasama ini merupakan tanda aras baru dalam usaha mengubah penjagaan kesihatan.
“Dengan menggabungkan kepakaran klinikal KKH dan kehadiran NHG, kami dapat memberikan rawatan bersepadu dan mesra pesakit untuk wanita dan kanak-kanak di utara Singapura,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif, KKH, Profesor Alex Sia.
Sementara itu Klinik Kanak-Kanak menyediakan penjagaan menyeluruh untuk mereka di bawah usia 18 tahun, melibatkan pelbagai isu kesihatan kanak-kanak termasuk perkembangan tumbesaran, masalah pemakanan dan kelewatan pertuturan.
Perkhidmatan itu akan diperluas secara berperingkat mengikut keperluan masyarakat setempat.
Menurut data pada 2023, KKH mengendalikan sekitar 6,800 lawatan pertama pesakit obstetrik dan 2,500 lawatan pesakit pediatrik dari kawasan berdekatan WH – menunjukkan keperluan mendesak terhadap perkhidmatan itu di kawasan utara.
Untuk maklumat lanjut atau membuat janji temu, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perhubungan WH di talian 6363-8000 atau e-mel appt@wh.com.sg.
Klinik atau hospital rujukan juga boleh membantu menghantar surat rujukan dan menetapkan tarikh janji temu bagi pihak pesakit.
Senarai penuh perkhidmatan yang ditawarkan boleh dilayari di laman rasmi WHSC dan CC di www.wh.com.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg