Hasil gabungan kreatif terbaru Wahyu Rahman dan suaminya, Adi Yadoni, akan menemui penonton pada Jumaat, 13 Jun ini pada 9 malam di saluran Suria, menerusi telefilem ‘Belaian Terakhir’, produksi sempena Hari Bapa (yang pada 2025 jatuh pada 15 Jun).
Kali ini, Wahyu membawa naratif yang jarang diberi sorotan: Sisi sunyi dan rapuh seorang bapa, selepas rumah tangga berakhir.
Disutradarai dan ditulis oleh Adi, Belaian ialah telefilem penuh emosi yang merungkai kisah tiga bapa daripada latar belakang berbeza – yang satu persatu terpaksa berdepan realiti pahit tentang kehilangan, hubungan yang renggang, dan kasih sayang yang tidak berbalas.
Lebih menarik, telefilem ini turut menandakan kemunculan semula Dato’ Khairul Anwar Salleh, anak seni kelahiran Singapura yang membina nama sebagai tokoh ternama industri penyiaran Malaysia yang pernah mengetuai Astro dan Media Prima, kini kembali ke skrin sebagai pelakon.
Salif Hardie memegang watak Johan, seorang peguam dalam lingkungan usia 30-an yang sedang melalui proses perceraian. Dalam usahanya untuk kekal dekat dengan anak perempuannya, Jona (lakonan Mishall Kiara), Johan bergelut dengan rasa gagal apabila suara si anak diabaikan sepanjang krisis keluarga itu. Johan bukan sahaja mahu menjadi bapa yang hadir, bahkan yang benar-benar mendengar.
Dato’ Khairul pula membawakan watak Danial, seorang tukang rumah ceria yang telah lama menjaga seorang anak lelaki remaja. Namun dunianya terbalik apabila satu keputusan undang-undang mendedahkan bahawa beliau bukan bapa kandung kepada anak itu – dan tidak mempunyai hak sah sebagai penjaga. Biarpun begitu, Danial tetap berpegang pada satu prinsip: bapa sejati tidak akan berpaling.
Nadiputra, penulis mapan, melakonkan Aziz, seorang pesara kelasi laut berusia lewat 60-an yang pernah berkahwin dengan wanita yang mempunyai anak-anak sendiri. Kini, setelah isterinya tiada, dia perlahan-lahan disingkir daripada kehidupan anak-anak tiri yang pernah dianggapnya darah daging sendiri.
Kisah-kisah ini disulam dengan penuh empati dan kejujuran, memaparkan penderitaan emosi yang sering disembunyikan lelaki.
Dalam dunia yang terbiasa melihat bapa sebagai ‘pelindung senyap’, ‘Belaian Terakhir’ membuka ruang untuk memahami bahawa kasih sayang seorang ayah tidak berakhir walau perkahwinan sudah berakhir.
Telefilem ini turut menampilkan barisan pelakon muda dan berpengalaman seperti Sofia Dendroff, Mariana Yati, Jun Junalis, serta Wahyu sendiri dalam peranan sokongan. Lakonan mereka memberi nyawa kepada setiap karakter yang mewakili pelbagai perspektif dalam satu tema yang sama –kehilangan kasih ayah.
Dengan tagline “Tiga bapa. Satu ketakutan… dilupakan oleh orang yang paling mereka cintai”, ‘Belaian Terakhir’ mencabar stereotaip bahawa lelaki lebih cepat “move on” selepas penceraian. Ia mengangkat suara bapa-bapa yang tetap bertahan – meski tanpa hak jagaan, tanpa kehadiran harian, dan tanpa jaminan bahawa kasih mereka akan disambut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg