Wahyu Rahman bukan nama asing dalam dunia hiburan tempatan.
Tahun ini, beliau dinobatkan sebagai Personaliti Wanita Paling Popular di Anugerah Perdana Suria 2025 – satu pengiktirafan yang mengukuhkan lagi kedudukannya bukan sahaja sebagai pelakon, bahkan sebagai penulis skrip dan penerbit yang semakin berpengaruh.
Namun, siapa sangka perjalanan Wahyu, 46 tahun, ke dunia produksi bermula bukan dengan strategi atau perancangan teliti, tetapi dengan keberanian mengetuk pintu demi pintu syarikat produksi, semata-mata untuk berkongsi ideanya.
“Ada yang kata ‘tak cukup pengalaman,’ ‘cerita terlalu remaja,’ ‘cinta je’… Tapi saya teruskan juga,” jelasnya. “Saya tahu saya ada suara. Dan saya tahu penulis wanita Melayu yang berani masih belum cukup dalam industri ini.”
Ketika awal pelibatannya dalam industri, Wahyu tidak terus menceburi bidang penulisan atau penerbitan. Beliau memulakan langkah sebagai pelakon teater – ironinya, bukan kerana minat mendalam, tetapi kerana ingin ‘memperli’ seseorang.
Selepas mencuba pelbagai bidang termasuk kewangan dan pelaburan hartanah, barulah beliau menyedari panggilan sebenar hidupnya adalah menulis.
“Saya mula dengan tulis konsep penjualan untuk syarikat tempat saya kerja masa tu. Tapi jiwa saya rasa ‘hidup’ bila menulis. Dari situ saya sedar – saya perlu buat keputusan untuk menulis sepenuh hati,” katanya.
Dan begitulah bermulanya perjalanan Wahyu dalam mencipta cerita, menulis skrip, dan akhirnya menerbitkan karya sendiri. Salah satu titik penting dalam kerjayanya adalah ketika beliau berani menyuarakan hasrat kepada penerbit semasa penggambaran siri Sharifah.
“Saya cakap, ‘Saya nak tulis.’ Dan penerbit tu jawab, ‘Okay, tapi awak kena tolong production juga.’ Dari situ, pintu mula terbuka,” katanya lagi.
Beliau menulis lapan daripada 13 episod untuk satu siri yang kemudiannya ditayangkan di Hong Kong. Dengan latar belakang dalam dunia korporat, Wahyu membawa kemahiran pengurusan masa, bajet dan krisis ke dunia produksi – sesuatu yang jarang dimiliki oleh penulis kreatif lain.
Perkongsian kreatif antara Wahyu dengan suami yang sehati dan sejiwanya, Adi Yadoni, membuahkan hasil apabila mereka menghasilkan dokumentari Reflections of the Misunderstood Mat Rockers – sebuah projek bebas tanpa dana rasmi tetapi penuh semangat.
Dokumentari itu kemudiannya menjadi karya tempatan pertama dalam genre tersebut yang terpilih ke showcase utama Singapore International Film Festival, dan diterbangkan ke beberapa festival filem di Eropah.
Dari situ, lahirlah Elements Pictures, syarikat produksi yang mereka tubuhkan bersama. Projek sulung mereka, Raya Suraya, adalah satu eksperimen berani dalam genre komedi romantik sempena Hari Raya. Ia lari daripada kebiasaan skrip sedih dan sentimental, sebaliknya membawa nafas segar yang akhirnya mendapat pujian daripada penonton serta penulis veteran.
“Bila kita tulis dengan jujur dan ada hati, penonton akan rasa. Tak kira tua atau muda,” kata Wahyu.
Berpindah dari depan kamera ke belakang tabir bukanlah sesuatu yang mudah. “Ramai yang sangka saya mula kerja produksi sebab tak dapat tawaran berlakon. Tapi sebenarnya saya dah lama buat kerja belakang tabir – termasuk video muzik, dokumentari, projek korporat – cuma orang tak nampak,” ujarnya.
Sebagai penerbit, beliau kini bertanggungjawab bukan hanya terhadap naratif, bahkan logistik, bajet, pelakon dan kru.
“Saya belajar ‘matikan’ bahagian pelakon dalam diri bila perlu dan fokus pada gambaran besar. Kadang-kadang, saya pun kena angkat barang, kemas set. Semua saya buat.”
Apabila ditanya tentang keseimbangan hidup, Wahyu, ibu seorang anak remaja, menjawab jujur: “Balance is never static – it’s something I negotiate every day.” (Keseimbangan tidak pernah statik – ia adalah sesuatu yang saya perlu imbangi setiap hari)
Ada masanya kerjaya menuntut sepenuh perhatian, dan ada ketikanya beliau harus menekan ‘pause’ (berhenti sejenak) untuk memberi ruang kepada keluarga.
“Saya dah lama berhenti percaya pada konsep ‘perfect balance.’ Sekarang, saya lebih fokus pada presence – untuk betul-betul hadir, di mana pun saya berada waktu tu.”
Beliau mengakui pentingnya komunikasi dan sokongan keluarga dalam kerjayanya yang tidak mengenal waktu.
“Apabila saya di set, mereka faham ritma kerja saya. Apabila saya di rumah, saya cuba hadir dalam cara yang bermakna. Saya belajar minta bantuan, delegate, dan yang paling penting – let go of the guilt (hilangkan rasa bersalah).”
Bagi Wahyu, apabila keluarga memahami semangat di sebalik kerjayanya, sempadan antara kerja dan hidup peribadi tidak lagi terasa seperti pertarungan, tetapi menjadi satu irama yang harmoni.
Apabila ditanya tentang gaya peribadi, Wahyu tersenyum. “Fashion is communication without words.” (Fesyen adalah komunikasi tanpa kata-kata).
Bagi beliau, gaya bukan semata-mata untuk kelihatan cantik, tetapi satu bentuk komunikasi. “Ia tentang rasa selesa, yakin, dan selari dengan siapa kita.”
Dengan kerjaya yang memerlukan beliau bertukar peranan dengan cepat – daripada set ke bilik mesyuarat – Wahyu memilih gaya yang kemas, jahit ukuran badan, and versatile.
“Saya suka bila pakaian saya boleh bawa kuasa pengaruh and ketenangan. Dan saya sentiasa bersedia – kadang-kadang saya olahkan semula pakaian yang sama untuk sesuai dengan suasana.”
Beliau juga gemar menyelitkan unsur penceritaan dalam penampilan – melalui tekstur, potongan vintage atau aksesori dengan nilai warisan. “Fesyen saya mencerminkan apa yang saya lakukan: ia mengimbangi struktur dan jiwa. Dan semua itu tercemin menerusi ciri-ciri apa yang dipakai.”
“Ada tidak perlu kecilkan personaliti anda semata-mata untuk menyesuaikan diri dalam ruang profesional. Sebaliknya, gaya anda boleh menguatkan kehadiran anda apabila digayakan dengan niat dan kesedaran yang betul,” tambah beliau.
Beliau menyarankan wanita mengenali personal rhythm masing-masing, kemudian menyelaraskannya mengikut konteks kerja – tanpa perlu memadam karakter sendiri.
“Anda boleh jadi berani dan dihormati. Klasik dan kreatif. Feminin dan berwibawa.”
Dan pesannya yang paling kuat: “Sentiasa dalam keadaan bersedia, agar anda tidak perlu buat persediaan tergesa-gesa. Sebab kita tak tahu siapa yang sedang perhati – atau pintu mana yang akan terbuka.”
Wahyu percaya wanita sebagai pemimpin kandungan memainkan peranan penting, bukan sekadar dalam menentukan cerita, tetapi juga bagaimana ia disampaikan.
“Dulu ramai wanita diberi peranan menyokong atau mengurus. Sekarang, semakin ramai memimpin dari hadapan – bukan hanya produksi, tapi juga perbualan tentang identiti, representasi, dan apa yang relevan untuk generasi baru.”
Katanya, ini bukan soal menggantikan suara lelaki, tetapi meluaskan spektrum. “Apabila wanita memimpin dengan lived experience, cerita jadi lebih halus, jujur secara emosi dan kaya budaya.”
“Kita bukan hanya membuat persembahan – kita membentuk memori budaya untuk generasi akan datang.”
Dan akhirnya: “Jangan fikir anda terlalu muda untuk mengetahui, atau terlalu tua untuk berkembang. Kekal relevan bukan tentang umur anda – ia tentang kesedaran anda.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg