Konsert Coldplay pada 16 Julai di Boston, Amerika Syarikat, sepatutnya menjadi kenangan manis untuk para peminat.
Namun, satu detik yang tular bukanlah kerana persembahan Chris Martin atau lautan lampu LED, tetapi kerana kamera ‘kiss cam’ yang secara tidak sengaja mendedahkan kisah sepasang kekasih yang kelihatan mesra.
Apabila diri menjadi sorotan, si lelaki pantas melepaskan pelukan dan menyembunyikan wajah.
Si wanita pula menunduk dan berpaling, cuba melarikan diri daripada lensa.
“Mereka sama ada malu… atau sedang curang,” seloroh vokalis Coldplay, Martin, dari pentas.
Namun, siapa sangka kenyataan bersahaja itu membongkar skandal sebenar kepada lebih 50,000 penonton secara langsung dan jutaan lagi di media sosial selepas itu.
Netizen tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi detektif – menjejaki identiti, memburu latar belakang, dan meratah aib mereka satu per satu.
Namun, di sebalik gelak tawa dan sindiran di Internet, siapakah sebenarnya sedang menderita?
Detik yang sepatutnya bersifat peribadi, walaupun salah di sisi moral, telah menjadi tontonan umum.
Si isteri, Megan Kerrigan, kini bukan hanya perlu berdepan pengkhianatan suami, bahkan juga tatapan berjuta mata yang menuntut reaksi daripadanya iaitu adakah beliau akan marah?
Maafkan? Tinggalkan? Reaksi itu tidak seharusnya menjadi tanggungjawab awam. Kita seharusnya bertanya sejak bila penderitaan rumah tangga menjadi hiburan kolektif?
Tularnya klip itu memperlihatkan kecenderungan kian berakar dalam budaya digital – menikmati kejatuhan orang lain.
Dalam kes ini, keseronokan itu datang daripada melihat “yang bersalah dihukum”, tetapi realitinya, kita sebenarnya sedang mempermainkan luka sebenar insan lain atas nama keadilan moral.
Megan kini bukan hanya seorang isteri yang dikhianati – beliau “dijadikan watak” dalam naratif realiti televisyen oleh orang ramai.
Kita mahu beliau bertindak mengikut skrip iaitu menangis di TikTok, memberi kenyataan berani, atau memulakan kehidupan baru dengan penuh glamor.
Yang menyedihkan, seperti banyak kes lain, beban perhatian tertumpu kepada wanita – sama ada si isteri yang dikhianati, atau wanita yang dianggap sebagai ‘perampas’.
Suami yang curang itu? Namanya tenggelam dalam perbualan.
Ini mencerminkan corak yang biasa kita lihat – wanita dipersalahkan, dianalisis, dan diperlekeh, sementara lelaki yang bersalah terselamat daripada sorotan lampu.
Budaya kita sudah terbiasa dengan kesedihan wanita dalam kisah pengkhianatan.
Kita tahu bagaimana menangisi penderitaan mereka, atau mengangkat mereka sebagai pahlawan emosi.
Tetapi bagaimana pula dengan suami kepada wanita yang curang?
Tiada siapa berbicara tentang perasaannya, deritanya, atau haknya untuk dipandang sebagai mangsa.
Inilah realiti, bahawa dalam kisah pengkhianatan, derita lelaki selalunya senyap dan tidak diendahkan.
Walaupun kuasa atau status kerap dikaitkan dengan kecenderungan berlaku curang, masyarakat masih cenderung memberi tumpuan berlebihan kepada wanita yang terlibat, baik sebagai mangsa mahupun pelaku.
Kita terlalu cepat mencipta simbol wanita mulia dan wanita jahat. Sedangkan lelaki, meskipun bersalah, sering terlepas daripada simbolisme sebegitu.
Kisah ini seharusnya membuka mata kita bukan untuk menghukum, tetapi untuk merenung kembali sikap kita terhadap penderitaan orang lain.
Di sebalik jenaka, tanda suka atau ‘likes’ serta komen pedas, ada hati yang sedang hancur.
Kita perlu belajar berhenti membesarkan luka yang bukan milik kita, dan memberi ruang kepada mereka yang terkesan untuk pulih dengan tenang.
Kerana pada akhirnya, mereka bukan cerita kita. Mereka adalah manusia sebenar. Dan setiap manusia berhak untuk sembuh tanpa menjadi tontonan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg