Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warisi nilai, pegangan arwah ‘yayi’, bekas bilal Masjid Sultan sekitar 1910

Jul 23, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan) Berita Harian/Berita Minggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan) Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam membina kerjaya dalam bidang media yang sudah jauh melepasi tiga dekad, sekali-sekala saya sering diingatkan agar mencontohi nilai seorang lelaki yang hidupnya jauh berbeza daripada dunia saya.

Namun, nilai yang diwariskannya kekal menjadi kompas dalam kerjaya dan kehidupan saya.

Lelaki itu ialah datuk saya, Allahyarham Yusof Arshad, yang lebih mesra dengan panggilan ‘yayi’ oleh cucu-cucunya.

Seorang bilal, muazin Masjid Sultan selama lebih empat dekad, ‘yayi’ bukan sekadar melaungkan azan, beliau melaungkan makna sebuah pengabdian yang jujur dan murni.

Saya diberi peluang menyumbang sebuah artikel dalam buku, The Grand Mosque of Singapore, buku yang meraikan 200 tahun sejarah pembangunan Masjid Sultan dan telah dilancarkan pada 21 Julai oleh Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Dalam artikel itu, saya menulis tentang jasa ‘yayi’ kepada Masjid Sultan, bukan sekadar sebagai fakta sejarah keluarga, bahkan sebagai penghargaan terhadap prinsip dan nilai yang menyuburkan akar hidup saya sendiri.

‘Yayi’ ke Makkah pada usia 22 tahun, bukan hanya untuk menunaikan haji bahkan juga demi menuntut ilmu – agama, bahasa Arab, dan kemahiran hidup seperti menjahit dan kraf tangan.

Ilmu yang ditimba itu bukan untuk kebanggaan peribadi, tetapi sebagai bekalan untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat.

Sekembalinya ke Singapura, beliau mula berkhidmat di Masjid Sultan sekitar 1910, melaungkan azan dengan suara hati yang penuh takzim selama 40 tahun, sehinggalah kesihatan tidak lagi mengizinkan beliau hadir secara fizikal ke masjid.

Cintanya kepada Masjid Sultan begitu mendalam, sehingga apabila beliau ditanya oleh pihak nazir bagaimana beliau boleh terus menjalankan tugas dalam keadaan uzur, jawapan ‘yayi’ kekal melekat di hati saya hingga ke hari ini:

“Saya tidak mampu pergi menjalankan tugas, tetapi saya tidak memerlukan gaji. Cukuplah bagi saya jika nama saya tetap tercatat sebagai bilal Masjid Sultan. Itu adalah permintaan saya kerana saya mahu meninggal dunia sebagai bilal masjid.”

‘Yayi’ tidak menganggap sagu hati $16 itu sebagai gaji.

Bagi beliau, tugas sebagai bilal adalah sumbangan ikhlas kepada rumah Allah.

Untuk menyara keluarganya, beliau menjalankan perniagaan menjahit jubah, gamis, dan serban, yang disiapkan dari rumah kedai keluarga kami di 27 Bussorah Street.

Kawasan itu, yang dikenali sebagai Kampong Khaji, menjadi saksi kesungguhan beliau membantu jemaah haji menyediakan kelengkapan sebelum berangkat ke tanah suci.

Di situlah juga saya membayangkan nilai kerja keras, kesabaran dan kesenian tangan yang diwarisinya mengalir dalam darah kami.

Semasa zaman penjajahan Jepun, ‘yayi’ mengambil keputusan menghantar keluarganya ke Muar, Johor, demi keselamatan mereka, manakala beliau sendiri kekal di Singapura, menjaga Masjid Sultan yang menjadi tempat berlindung bagi ramai penduduk sekitar.

Meskipun sumber kewangan masjid terjejas ketika itu, beliau tidak meninggalkan tugas.

Sebaliknya, tanah masjid digunakan untuk bercucuk tanam demi kelangsungan hidup.

Apa yang menyentuh hati saya sebagai cucunya ialah, meskipun ditawarkan jawatan lebih tinggi sebagai imam oleh kadi besar ketika itu, ‘yayi’ dengan rendah hati menolaknya.

Baginya, jawatan bilal sudah cukup, kerana beliau sedar akan amanah besar yang perlu dipikul oleh seorang imam, dan beliau percaya masih ramai yang lebih layak.

Walaupun saya tidak berpeluang bertemu ‘yayi’ kerana saya dilahirkan kira-kira sedekad selepas ‘yayi’ meninggal dunia, nilai yang ‘yayi’ tinggalkan, iaitu menzahirkan keikhlasan dalam apa jua bidang, saya berusaha jadikan sandaran.

Tugas saya sebagai wartawan hari ini mungkin jauh daripada dunia masjid atau kain jubah, namun prinsip yang saya junjung tetap sama iaitu bekerja dengan hati, bukan hanya untuk hasil.

Saya belajar daripada ‘yayi’ bahawa satu sumbangan kecil, apabila dilakukan secara tekal, penuh rasa cinta dan tanggungjawab, ia mampu meninggalkan kesan berkekalan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg