Sebagai wanita dan tonggak keluarga serta masyarakat, adalah penting untuk kita memahami dan menangani isu serius mengenai vape dan penyalahgunaan bahan terlarang, terutama dalam kalangan generasi muda.
Pendirian tegas pemerintah turut disentuh oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos.
Ia jelas menunjukkan bahawa vape akan dianggap sebagai ‘isu dadah’ dengan hukuman lebih berat, termasuk penjara bagi penjual vape yang mengandungi bahan berbahaya.
Ini adalah isyarat jelas bahawa kita tidak boleh memandang remeh ancaman itu.
Vape menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, termasuk bagi wanita dan generasi muda.
Aerosol yang dihasilkan oleh peranti rokok elektronik (e-rokok) mengandungi bahan toksik seperti nikotin, bahan kimia penyebab barah dan zarah nano logam.
Bahan itu bukan sahaja berbahaya kepada pengguna, malah kepada mereka di sekeliling melalui pendedahan asap kedua.
Nikotin, bahan yang mencetuskan ketagihan, boleh menjejas perkembangan otak dalam kalangan remaja dan anak muda.
Bagi wanita yang mungkin sedang mengandung atau merancang untuk hamil, risiko itu berganda kerana ia boleh menjejas kesihatan ibu dan janin.
Wanita muda khususnya, sering kali lebih mudah terdedah kepada tarikan vape.
Ini sebahagiannya disebabkan oleh pelbagai perisa menarik dan reka bentuk peranti moden.
Namun, kita perlu sedar daya tarikan itu membawa akibat serius.
Ketagihan nikotin, masalah pernafasan dan peningkatan risiko penyalahgunaan bahan terlarang lain adalah sebahagian daripada kesan buruk yang boleh berlaku.
Sebagai wanita, kita perlu lebih peka terhadap risiko itu dan saling menyokong dalam membuat pilihan bijak dan sihat demi masa depan kita dan anak-anak.
Pendidikan menyeluruh dan sokongan berterusan adalah perlu.
Untuk memerangi masalah vape dan penyalahgunaan bahan terlarang itu, program pendidikan yang menyeluruh dan sokongan berterusan adalah amat penting.
Daya usaha itu harus memberi tumpuan kepada:
Tingkatkan Kesedaran: Mendidik golongan muda, termasuk wanita, tentang bahaya sebenar vape dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Pencegahan: Melaksana langkah pencegahan yang berkesan di sekolah dan masyarakat bagi membendung penularan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Ini boleh merangkumi bengkel, ceramah dan kempen kesedaran.
Sokongan: Menyediakan sokongan dan sumber yang mencukupi bagi mereka yang sedang bergelut dengan ketagihan, termasuk kaunseling dan program pemulihan yang mudah diakses dan berkesan.
Penglibatan Masyarakat: Menggalakkan penglibatan masyarakat dan sokongan daripada semua pihak untuk membantu mereka yang terjejas akibat vape dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Sebagai wanita, kita memegang peranan penting dalam menggalak gaya hidup sihat dan saling menyokong dalam masyarakat.
Dengan menjadi peka terhadap keperluan orang di sekeliling, terutama anak-anak, jiran dan rakan-rakan yang mungkin terjejas oleh vape dan penyalahgunaan bahan terlarang, kita boleh membina persekitaran yang memberi sokongan dan menggalakkan pilihan gaya hidup sihat.
Marilah kita saling menyokong dan menggalak mereka di sekeliling kita yang mungkin sedang bergelut dengan ketagihan.
Pendekatan empati dan tidak menghakimi adalah penting.
Kita harus bantu memupuk budaya sihat dan kesejahteraan dalam masyarakat kita, bermula dari rumah.
Dengan mengambil pendekatan secara bersama, kita dapat memerangi masalah vape dan penyalahgunaan bahan terlarang, seterusnya mempromosikan persekitaran yang lebih sihat dan menyokong untuk semua.
Masa depan generasi kita, khususnya anak-anak perempuan kita, terletak di tangan kita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg