Pengurus produk, Encik Joshua Gei, 28 tahun, memahami keadaan cemas dan gelisah, serta tekanan yang dihadapi seseorang, apabila ada anggota keluarga mengalami sakit teruk.
Datuknya yang berusia 88 tahun diserang angin ahmar teruk sekitar lima tahun lalu dan sejak itu terlantar di atas katil.
Keluarganya terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai tanggungjawab menjaga orang sakit yang sebelum ini asing bagi mereka.
Terlalu banyak perkara yang perlu dibuat dan difikirkan.
Lebih mencabar lagi, maklumat mengenai perkhidmatan penjagaan dan subsidi pula tersebar di beberapa laman web berbeza, kata Encik Gei.
Menyedari kekurangan itu, beliau bersama empat rakan sepasukan – karyawan teknologi dan seorang pelajar – mencipta CareCompass, sebuah aplikasi percuma bagi membantu penjaga pesakit demensia mencari maklumat yang diperlukan.
Idea tersebut tercetus pada 2024 di pertandingan Hackathon, Build for Good (Bina untuk Kebaikan), anjuran Produk Pemerintah Terbuka (OGP), sebuah pasukan teknologi dalam pemerintah yang membangunkan teknologi demi kebaikan awam.
Hackathon tersebut dianjurkan OGP dengan kerjasama Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura (SGPO), yang ditubuhkan untuk memperkukuh kerjasama dan interaksi dengan rakyat Singapura, lapor The Straits Times.
CareCompass adalah antara lima pasukan pemenang pertandingan Hackathon 2024, yang diberi peluang menyertai program Build for Good Accelerator, untuk membangun, merintis dan melancarkan huraian mereka dengan pembiayaan $20,000 yang disediakan OGP.
Dengan aplikasi CareCompass, pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan penjagaan, agensi pembantu rumah, subsidi dan sistem sokongan.
Pengguna boleh mencari pusat jagaan harian untuk warga emas berhampiran rumah, dengan menaip poskod mereka.
Hasil carian akan turut memaparkan subsidi yang diberikan di setiap pusat jagaan.
Pengguna juga boleh menyiarkan ulasan mereka mengenai pusat tersebut.
Aplikasi tersebut, yang bermula secara ‘live’ pada November, bertujuan meringankan beban penjaga, terutama mereka yang baru memikul tanggungjawab sebagai penjaga.
Antara ciri unik hackathon 2024 itu ialah cara SGPO memudahkan perundingan antara para peserta dengan pakar bidang di pelbagai agensi pemerintah bagi membantu pasukan yang menyertai pertandingan itu agar lebih memahami isu yang ingin mereka huraikan.
Pasukan yang membangunkan CareCompass telah mengadakan perbincangan dengan kakitangan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan agensi perkhidmatan sosial seperti Demensia Singapura, di samping bertemu sekitar 30 penjaga untuk memperhalusi dan menambah baik aplikasi mereka.
Encik Isaiah Tan, pereka grafik berusia 36 tahun yang merupakan rakan pasukan itu, berkata:
“Pengguna memberitahu aplikasi kami menjimatkan masa mereka dalam mencari maklumat.”
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi pautan, my.carecompass.sg
CareCompass akan turut menyertakan satu lagi ciri daripada aplikasi yang dikenali sebagai Heartbeat tidak lama lagi, untuk memantau kesejahteraan warga emas yang tinggal bersendirian.
Aplikasi Heartbeat – yang akan dilancarkan pada akhir Mei atau Jun – adalah produk yang dibangunkan oleh satu lagi pasukan karyawan teknologi di hackathon 2024.
Pasukan itu diberikan $5,000 daripada Dana Permulaan Build for Good yang menyokong pasukan berminat untuk terus mengusahakan pelbagai huraian demi kebaikan awam.
Warga emas hanya perlu mendaftar masuk melalui aplikasi Heartbeat setiap hari untuk memaklumkan penjaga bahawa mereka berada dalam keadaan baik.
Penjaga dimaklumkan melalui mesej WhatsApp sekiranya warga emas berkenaan gagal berbuat demikian.
Warga emas juga akan menyatakan sama ada mereka berasa ‘OK’, ‘gembira’ (happy) atau ‘sedih’ (sad) apabila mereka mendaftar masuk.
Sekiranya mereka menekan butang ‘sedih’ selama beberapa hari berturut-turut, penjaga akan dimaklumkan.
Saintis data, Encik Chen Zhihan, 40 tahun, yang merupakan antara rakan pasukan bagi Heartbeat, pernah melalui cabaran sebagai penjaga utama.
Ibunya yang menghidap penyakit Parkinson dan demensia tidak dapat berjalan selepas terjatuh, manakala bapanya pula menjadi uzur akibat serangan jantung, walaupun beliau kini semakin pulih.
“Saya ingin menggunakan kemahiran teknologi saya untuk kebaikan awam,” katanya.
Rakan sepasukannya, Encik Royce Hoe, seorang jurutera perisian kanan berusia 30 tahun, berkata beliau berasa sedih selepas mengetahui masalah warga emas yang meninggal dunia sendirian, berdasarkan maklumat daripada AIC, dan pasukannya ingin menangani masalah itu.
Pasukan yang membangunkan aplikasi Heartbeat sedang bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi Braddell Heights, Persatuan Rakyat (PA) dan pusat penuaan aktif untuk menggalak warga emas dan penjaga mereka agar menggunakan aplikasi tersebut.
Bagi ejen hartanah, Cik Elsa Yeo, 49 tahun, dan keluarganya, kerja sukarelawan telah menjadi cara menghulurkan bantuan kepada masyarakat mengikut kemampuan mereka.
Cik Yeo, suaminya, Encik Epson Ng, 49 tahun, dan anak tunggal mereka, Encik Edus, 19 tahun, melakukan kerja sukarelawan sebagai Duta Warga Emas atau Silver Generation Ambassadors – melawat warga emas di rumah mereka untuk memeriksa keadaan kesihatan dan menggalak mereka supaya terus mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Antara lain, mereka membantu menghubungkan warga tua dengan agensi dan skim pemerintah yang diperlukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg